Sunday, June 13, 2010

Tugas penerangan, sampaikan kepada Pengundi - UST IDRIS AHMAD

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad hari ini mengumumkan beberapa isu yang perlu dijawab dan disampaikan kepada para pengundi di kawasan luar langkah awal menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

Isu-isu tersebut adalah sebagai menjawab tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan oleh UMNO terhadap PAS.

"Antara isu-isu tersebut adalah UMNO khianati agama dengan membina masjid tanpa mengimarahkannya, UMNO khianati tanah orang Melayu seperti kes tanah rizab yang berlaku di Perak, UMNO menderhakai Raja dan UMNO khianati orang Melayu," jelasnya dalam sesi menjawab persoalan perwakilan pagi tadi.

Beliau berkata, pihak Penerangan PAS Pusat telah membuat kenyataan yang berbentuk artikel bagi menjawab isu-isu tersebut dan berharap agar semua Ketua Penerangan PAS di semua peringkat cawangan, negeri dan kawasan akan menghubungi beliau melalui emel bagi mendapatkan artikel-artikel tersebut seterusnya mencetak dan menyebarkan risalah tersebut ke seluruh kawasan pendalaman di setiap pelusuk negeri.

Beliau menegaskan bahawa tugasan menyampaikan maklumat perlu sampai ke rumah pengundi untuk menyampaikan risalah tersebut.

"Namun begitu, ceramah juga perlu terus dibuat dan setiap kita perlu menjadi jentera penerangan dan menyampaikan maklumat sebenar kepada masyarakaT" katanya lagi

Tambahnya, video klip penerangan yang menayangkan segala pengkhianatan UMNO terhadap rakyat juga akan dibuat dan bakal diedarkan kepada semua pengundi sasaran.

Pada masa yang sama, pendekatan melalui media-media baru seperti Facebook dan Twitter juga akan terus dibuat bagi mendekati dan menyampaikan maklumat kepada golongan kelas pertengahan dan terpelajar.

No comments:

Post a Comment