Thursday, August 18, 2011
Isu JAIS - Reaksi Dan Tindakan Umno Cukup Mencurigakan
Thursday, June 23, 2011
Semua Diseru Jayakan Bersih 2.0
Semua ahli dan penyokong PAS diwajibkan hadir dalam himpunan BERSIH bagi menyatakan sokongan rakyat terhadap tuntutan 8 perkara bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi Berparlimen.Himpunan demonstrasi aman ini bukanlah perkara baru dalam konteks negara. Selepas PRU ke 12, UMNO ternyata lebih banyak mengadakan demo berbanding PR. Apa yang menarik demo ini dikawal oleh polis tanpa ada prokasi. Ia berjalan dengan aman. Bawa kepala lembu, bakar gambar, bakar bendera dan istihar perang khususnya anjuran PERKASA; seolah-olah sabuah badan yg mempunyai kekebalan.
PAS mengucapkan tahniah kepada kebebalan PERKASA yang mengeluarkan pelbagai kenyataan bersifat provokasi, kerana ini tentulah memudahkan polis untuk menahan mereka yg melakukan provokasi. Kalau yang buat provokasi tentulah PERKASA; tapi jangan terkejut kalau yg kena tahan ialah PAS, PKR atau DAP.
PAS juga mengalu-alukan penyertaan Pemuda UMNO yang akan ikut sama demo pada 9hb Julai nanti. Keberanian Khairy kali ini agak luar biasa, cabar polis dan sedia ditangkap. Cuma PAS hairan Pemuda UMNO sertai demo untuk menuntut apa?. Kalau tuntutan kita atas 8 perkara, maka Pemuda UMNO nak tuntut apa?.
Kata Khairy mereka menuntut penambahbaikan sistem Pilihanraya di Malaysia. Maknanya Pemuda nampaknya lebih faham berbanding UMNO tua yg berlindung di bawah dagu PERKASA.
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
Munajat Perdana - Kenyataan rasmi Dewan Ulamak PAS Pusat
Setiap Dewan Ulamak PAS Negeri/Wilayah diberikan tugas untuk menggerakkan dan merealisasikan ketetapan ini.
Seluruh ahli dan pendokong PAS diseru supaya berdoa dan memohon kepada Allah s.w.t dengan rasa rendah diri dan tawadhuk di atas luar keupayaan kita untuk menghadapi tipu daya dan kejahatan oleh pihak-pihak tertentu yang mencemarkan proses pilihanraya di negara ini.
Sebelum ini kita telah mendengar pelbagai penyelewengan yang telah berlaku untuk mengkhianati suara rakyat yang mahukan perubahan terhadap Negara Malaysia yang tercinta ini. Apa yang berlaku di Terengganu dalam pilihanraya tahun 2004 menyedarkan kita bahawa BN-UMNO sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan survival mereka terus kekal di Malaysia.
Manakala baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan laporan yang menyatakan bahawa terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba menyalahgunakan pendatang-pendatang asing untuk mencemarkan kemurniaan dan keBERSIHan pilihanraya di Negara ini.
Dewan Ulamak PAS Pusat tidak akan merelakan perkara tersebut daripada terus berlaku di bumi Malaysia ini.
Dewan Ulamak PAS Pusat akan menggunakan keupayaan yang syar'ie dan berlandaskan undang-undang negara untuk menjadi benteng bersama sayap yang lain untuk mempertahankan kemurniaan ini.
Dewan Ulamak PAS Pusat tidak akan membiarkan mana-mana pihak tertentu samada parti atau NGO untuk menangguk di air yang keruh bagi merosakkan hubungan yang harmoni di antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini.
Dewan Ulamak PAS Pusat insyaAllah akan memastikan agar Himpunan BERSIH menjadi platform dan simbol perpaduan dan kesatuan rakyat dari pelbagai latar belakang.
Sunday, June 19, 2011
Himpunan Bersih 2.0 Cetusan dan Hasrat Rakyat
PAS menganggap laporan Polis yg dibuat oleh Umno membuktikan mereka adalah golongan yg mempertahankan ketidakadilan dalam sistem politik negara. Bahkan mereka akan terus mempertahankan kebobrokan sistem ini bagi mengekalkan pengaruh dan kekuasaan mereka. Sepatutnya mereka melihat secara rasional kenapa himpunan ini diadakan. PAS ingin tegaskan bahawa Himpunan ini diadakan setelah pelbagai saluran digunakan bagi memperbaiki sistem politik negara. Pelbagai dialog, diskusi laporan polis dan SPRM telah dibuat bagi memperbaiki kelemahan dalam perjalanan sistem pilihanraya umum di Malaysia.Rakyat sepatutnya melihat kenapa himpunan ini diadakan. Ia bukan himpunan saja suka-suka bagi menimbulkan kegawatan, atau mengganggu ketenteraman awam sebagaimana yg dibimbangi oleh orang ramai. Himpunan ini akan berjalan lancar dan aman sekiranya tiada provokasi dari pihak yg tidak bertanggungjawab. Dengan ratusan petugas unit amal dan kawalan pemuda PR kita yakin ia mampu berjalan dengan aman dan baik.
Tindakan Umno membuat laporan polis mencerminkan sikap dauble standard mereka kerana mutakhir ini merekalah menjadi juara dalam menganjurkan demonstrasi di negeri PR, sayang polis hanya menonton sahaja walaupun demo tersebut bersifat provokasi agama dan kaum.
Sebenarnya pihak kerajaan mampu mengatasi himpunan ini dengan menerima tuntutan BERSIH kerana ianya bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilaksanaskan. Kerajaan mesti sedar tindakan menyalahgunakan kuasa atas nama demokrasi hanya akan menanam kemarahan rakyat. Kerajaan mesti menyediakan saluran bagi melempias kemarahan dan rasa tidak puashati rakyat. Tunaikan tuntutan atau sedia hadapi himpunan aman rakyat. Tujuan kami satu, demokrasi yang lebih adil untuk semua demi kebaikan negara.
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
Wednesday, May 11, 2011
Gula Naik 20 Sen, BN Gagal
Alasan daripada kerajaan ia akan menjimatkan wang negara ialah RM116.6 juta setahun apabila gula dinaikkan 20 sen. Apakah kerajaan BN tidak ada jalan lain untuk menguruskan kewangan negara. Nampaknya pemimpin negara jika tidak ada wang, jalan keluarnya dengan menyusahkan rakyat seperti saman ekor, menaikan minyak petrol, naik harga gula, naik harga tol.
PAS hairan kenapa Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup memberi peruntukan kepada Permata yang dipengerusikan oleh Datin Rosmah sebanyak RM111 juta untuk tahun 2011. Apa lebih Permata, hanya setaraf dengan pasukan kompang sahaja, tetapi memperolehi peruntukan begitu banyak hampir dengan pelupusan subsidi gula RM116.6 juta.Sedangkan peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat hanya RM95 juta sahaja.
Alasan yang dangkal untuk menipu rakyat ialah harga gula di Malaysia masih lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina. Kenaikan harga gula sebagai langkah untuk hidup sihat supaya rakyat kurang mengambil gula.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Monday, May 9, 2011
PAS Alat DAP, Tun Mahathir Semakin Merapu
PAS alat DAP adalah modal lapok Umno ketika orang Melayu menolak Umno dan cuba untuk menutup kelemahan Umno yang menjadi kuda tunggangan MCA, Gerakan dan MIC. Siapa yang bagi kerusi majoriti Melayu kepada MCA, MIC dan Gerakan.? Apa bukti PAS alat DAP?. PAS boleh buktikan pengkhianatan Umno kepada Melayu atas nama Melayu terutama di zaman beliau memerintah negara selama 22 tahun. Tahun 1990 seramai 80 penduduk di Pantai Chenang Langkawi yang tinggal di tanah rezab Melayu dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort. 300 ekar tanah rezab Melayu di Pulau Redang Terengganu dijual kepada Vicent Tan.
Nampaknya Tun Dr Mahathir masih cuba untuk membodohkan rakyat kononnya ulama' yang berada di dalam Umno menubuh PAS, kerana tidak mendapat tempat kerana tidak pandai berbahasa Arab. Faktanya ialah ulama' keluar untuk menubuhkan PAS kerana teguran ulamak mengenai judi tidak diperdulikan, maka ulamak merasakan perlu ada jamaah yang bebas daripada Umno supaya Islam terpelihara. Dulu Tun menipu rakyat mengatakan PAS ditubuhkan restu penjajah, hakikatnya Umno ditubuhkan atas restu penjajah. PAS ingin mengingatkan kepada Tun Mahathir tidak boleh tipu orang dalam setiap masa, insyaAllah PAS akan membetulkan fakta yang ditipu oleh Tun supaya rakyat tahu siapa pengkhianat Melayu dan Islam.
PAS merasa geli hati apabila Tun memuji perjuangan PAS zaman Dr Burhanudin Helmi dan Datuk Asri, kerana perjuangan mereka betul. Bukankah beliau orang yang bertanggungjawab sehingga PAS ditendang daripada BN, ketika krisis politik di Kelantan. Beliaulah orang yang diamanahkan oleh Umno untuk menyelesaikan kemelut tersebut, akhirnya PAS ditendang kerana menentang undang-undang darurat di Parlimen. Bukankah waktu itu PAS dipimpin oleh Datuk Asri Muda? Kenapa sekarang baru memuji Datuk Asri?
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Sunday, May 8, 2011
DAP Ganti PAS, Hishamudin Pembohong
Thursday, May 5, 2011
Nasihat Pemimpin Umno Dulu, Sebelum Minta Penyatuan PAS Umno.
PAS bimbang kenyataan ini akan diperalatkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, terutama Umno yang akan menjaja pandangan ini bahawa Umno hendak kepada perpaduan, yang tidak mahu kepada perpaduan ialah PAS, sehingga rakyat nampak PAS jahat, manakala Umno baik.
Pas tegas dengan prinsip bahawa penyatuan yang tidak berlandaskan kepada prinsip Islam, seperti bersatu dengan parti yang jelas mengkhianati amanah rakyat selama mereka memegang tampuk kuasa 54 tahun. Ketika bercakap soal perpaduan Melayu dalam masa yang sama tabiat jahat tidak pernah dibuang, seperti diskriminasi pada Kelantan mengenai tuntutan royalti minyak.
PAS menasihat kepada Sahibussamahah supaya menggunakan platform Mufti untuk menasihat pemimpin Umno BN supaya kembali kepada penghayatan agama dan laksanakan amanah dengan baik. Tegur mereka supaya tidak zalim kepada rakyat yang berlainan ideologi.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Keluar Pakatan,Najib Seperti Ketam Mengajar Anak Berjalan Betul
Alasan beliau PAS perlu jauh dengan DAP kerana PAS bekerja, yang menang ialah DAP. PAS perlu berpisah dengan DAP kerana PAS tidak boleh melaksanakan agenda Islam. PAS hendak bertanya sejak bila pula Umno iktiraf PAS sebagai sebuah parti Islam. Dengan kenyataan Najib sahlah teori yang mengatakan Umno akan bercakap Islam dan Melayu ketika orang Melayu menolak Umno. Ketika rakyat tolak Umno, baru mereka sedar, PAS parti orang Melayu. Selama ini merekalah membunuh bisnes kontraktor dan ahli perniagaan PAS, berapa ramai aktivis PAS di letakkan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Terbaru mereka menukar Cikgu Maaruf Mutalib suami cikgu Normala bekas calon Tenang. Siapa punya angkara? Sekarang bila lemas kerana pelampong Umno, iaitu pengundi bukan Melayu sudah meninggal mereka, baru teringat kepada PAS.
PAS hendak mengingatkan kepada Datuk Seri Najib bahawa PAS membayar harga begitu mahal untuk berada bersama Pakatan Rakyat. Kejayaan PAS yang menjinakkan orang bukan Islam kepada Islam satu imbuhan yang cukup berharga. Hendak harap kepada Umno memberi kefahaman Islam kepada orang bukan Islam di negara ini amat jauh sekali. Malahan merekalah yang meliarkan orang bukan Islam dengan Islam. Sikap hipokrit mereka dengan berjumpa pengundi bukan Islam supaya menjauhkan dengan PAS kerana mereka hendak melaksanakan agenda Islam, bila berjumpa pengundi Islam mereka mendakwa PAS sudah tidak bercakap Islam kerana takut kepada DAP.
Ustaz Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Gambar Lucah Di Media; Mana Peranan KDN
Sudah dua kali media perdana menyiarkan gambar lucah berhubung dengan video seks yang dituduh pelakunya Datuk Seri Anuar Ibrahim.
PAS ingin mengingatkan kerja ini ialah kerja yang menempah dosa dan akan mendapat pembalasan daripada Allah. Sejak mutakhir ini media perdana tidak lagi segan silu untuk menyiarkan berita yang tidak layak disiarkan lebih-lebih lagi keputusan belum lagi diputuskan oleh mahkamah. Begitu juga berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian bertajuk "Lelaki Y ialah Anwar". Ini merujuk kepada kes yang sedang dibicarakan mengenai kes liwat Anwar. Lelaki Y yang dilaporkan ialah hujah pendakwa, yang belum lagi ditentukan kesahihannya. Kenapa hujah balas pembela tidak disiarkan sama di tajuk muka depan? Ini sudah tentu ada agenda jahat yang tersirat.
PAS hairan ke mana pergi peranan Kementerian Dalam Negeri yang hanya pandai memantau penerbitan Pakatan Rakyat sahaja. Apakah semua laporan yang disiarkan mengenai pemimpin Pakatan Rakyat walaupun fitnah dan menyalahi akta penerbitan dan mesin cetak tidak boleh diambil tindakan. Apakah akta ini hanya untuk menjaga parti Umno/BN sahaja?
Ustaz Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tuesday, June 15, 2010
Ustaz Hasan Shukri: Kembalinya seorang pejuang Islam tulen
AL-FATIHAH...KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.
Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.
Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.
Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.
Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.
Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.
Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli.
Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.
"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Naznah.
Sebelum Timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh lalu.
Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.
Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah antara pemimpin parti yang awal menziarahi allahyarham di kediamannya di Taman Melewar.
Turut menziarah ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, Mohd Hanipa Maiden, Khalid Samad serta Datuk Nakhaie Ahmad.
Ustaz Nasharudin menyifatkan parti kehilangan tokoh yang merupakan kamus dan rujukan parti berikutan kematian Ustaz Hassan Shukri.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bachok berkata, baru dua hari lepas, allahyarham menerangkan struktur Perlembagaan PAS kepada tetamu luar PAS di JKR 10, Kota Bharu.
“Saya kenal Ustaz Hassan sejak awal perjuangan di Malaysia,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menziarahi petang ini.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang menyifatkan allahyarham adalah tokoh perjuangan Islam yang asal dan kekal hingga kini.
“Kita hilang satu sumber rujukan yang besar,” katanya.
Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Selangor kehilangan seorang tokoh yang berjuang untuk rakyat.
“Saya pernah berbincang dengan beliau bagaimana nak bantu rakyat yang tiada rumah dengan menggunakan wang zakat di atas tanah kerajaan,” ujarnya yang juga Menteri Besar Selangor.
Katanya, Selangor telah memilih beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah sebelum ini.
Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 8.30 pagi esok di Surau Taman Melewar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2.
Monday, June 14, 2010
Hanya Islam Mampu Selamatkan Melayu, Bukan Perkauman - PRESIDEN PAS
Hanya ketakwaan, ilmu dan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi mampu membebaskan bangsa Melayu dari belenggu penindasan dan kejahilan.Presiden Abdul Hadi Awang berkata jatidiri Melayu dapat diangkat dan dimartabatkan jika ia bertaut pada prinsip keadilan, ehsan dan kesaksamaan sepertimana yang diberi penekanan khusus oleh agama Islam.
Pemimpin Pakatan Rakyat ini dalam ucapan pergulungan beliau berkata kerangka rasis bawaan Umno hanya memenjarakan bangsa Melayu dalam kitaran permusuhan dan kejahilan yang berterusan.
Presiden Abdul Hadi Awang sekali lagi mengulangi seruannya kepada akar umbi Pas untuk membebaskan diri dari syak-wasangka yang ditanam Umno terhadap masyarakat bukan Islam.
Islam, tegas Hadi, adalah obor menerangi kegelapan manusia dan ahli-ahli Pas harus menunjukkan teladan Islam yang tinggi dengan membawa agenda politik yang merentasi keterbatasan kaum dan agama.
"Penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas tidaklah sama dengan kerjasama Umno dan parti-parti Barisan Nasional. Dalam Pas, kerjasama bersandarkan undang-undang dan prinsip Islam. Kerjasama dalam Umno menggadaikan prinsip dan akhlak," tegas Presiden Pas.
Hadi menegaskan bangsa Melayu tidak mampu bergerak ke hadapan jika ia terus mengabaikan Islam yang memupuk kerjasama antara kaum berbilang budaya.
"Kita mempunyai tanggungjawab yang besar, iaitu menyedarkan orang Melayu dari politik perkauman. Tidak salah sekiranya menyayangi kaum: orang Melayu sayang pada bangsanya, begitu juga orang Cina dan India pada bangsa mereka. Tetapi yang salahnya apabila perkauman dijadikan aqidah," tegas Hadi.
Menyedari mesej Islam menghakis kekebalan Umno-Barisan Nasional, pemerintah giat menanam benih ketakutan di kalangan rakyat dengan harapan ia mampu menjauhkan orang Melayu dari Pas.
"Orang Melayu dibayangi penjajahan, dan Umno membayangkan hanya merekalah tempat bergantung orang Melayu. Sebenarnya, hanya Islam yang mampu menyelamatkan orang Melayu, bukan politik perkauman yang sempit," tegas Hadi.
Hadi menggesa akar umbi Pas untuk merapatkan saf dan berganding-bahu dalam menghadapi cabaran Malaysia baru yang adil, saksama dan peduli kepada nasib rakyat semuanya.
"Kita mengajak manusia untuk bersama-sama dalam bahtera Al-Quran. Meskipun ada yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, janganlah dibocorkan bahtera ini," tegas Hadi
Parti Islam SeMalaysia mengumumkan ia akan menggerakkan kempen memenangi 60 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang dalam usaha menafikan majoriti dua-pertiga Umno-Barisan Nasional.
Kempen ini mensasarkan 37 kerusi Parlimen baru yang kini dalam tangan Ahli Parlimen Umno.
sumber : tvselangor.com
Friday, May 21, 2010
1000 bantah kerajaan luluskan lesen judi bola
KUALA TERENGGANU - 1000 orang telah berhimpun secara aman di hadapan Masjid Kampung Pengadang Baru Jalan Kuala Berang, bagi menyatakan membantah tindakan kerajaan pusat meluluskan judi bola sepak sempena piala dunia 2010.
Demonstrasi aman itu bermula kira-kira jam 2.10 petang sebaik sahaja selesai solat Jumaat yang diimamkan oleh Presiden PAS, Dato’ Abdul Hadi Awang.
Antara pimpinan PAS Terengganu yang berucap kepada orang ramai adalah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Yahaya Ali, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Setiausaha Pemuda PAS Terengganu, Wan Mohd Faizol Wan Abas, Ketua Pemuda PAS Hulu Terengganu, Ustaz Kamarulzaman Abdullah dan Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Ahmad Kamal Ali.
Turut berucap memberikan ucapan dalam himpunan tersebut adalah Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Faris Muda.
Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali berkata pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak wajar ditaati kerana menganjurkan kemungkaran dalam beragama.
Malah, katanya pemimpin Umno-BN tersebut harus ditentang kerana meluluskan lessen judi yang bertentangan dengan perintah Allah SWT.
“Kita (PAS) ingin menyatakan sikap dan pendirian kita (umat Islam) dengan sekeras-kerasnya bahawa, kita (PAS) menentang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan kerajaan yang ada pada hari ini.
“Mereka (pemimpin Umno-BN) telah menghalalkan perjudian yang merupakan suatu kemaksiatan dan kemungkaran kepada Allah SWT.
“Walau pun, ajaran Islam mengajar taat kepada pemimpin tetapi pemimpin Umno dan Barisan Nasional hari ini adalah pemimpin yang harus ditentang kerana keputusan yang mereka (Umno) buat itu bertentangan dengan perintah dari Allah SWT,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menyatakan bantahan dalam Perhimpunan Aman Membantah Lesen Judi Bola di hadapan Masjid Pengadang Baru, dekat sini, 21 Mei lalu.
Kata Yahaya, sekiranya perjudian ini diteruskan bakal mengundang kerosakkan kepada umat manusia dan rakyat seluruhnya.
Manakala Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah menyifatkan pemimpin Uno dan kerajaan Barisan Nasional bersikap biadap terhadap bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.
Katanya, bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini sedar dan benci terhadap semua jenis perjudian yang diharamkan oleh Allah Ta’ala.
“Demo kita (PAS) pada hari ini untuk menyatakan kebencian dan kemarahan umat Islam. Bahkan, rakyat seluruhnya.
“Kita (PAS) menentang kelulusan lesen judi yang dibuat oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional. Sikap yang sangat biadap terhadap agama.
“Waktu, mereka (Umno) menyatakan mereka memperjuangkan bangsa Melayu, memperjuangkan agama tetapi diwaktu yang sama, mereka (Umno) menyakiti bangsa Melayu yang bangsa Melayu sedar judi itu adalah haram,” tegasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong mendakwa kemungkinan Umno-BN mendapat bantuan serta ‘habuan’ besar dari taukeh judi di negara ini.
Katanya, taukeh-taukeh judi tesrebut telah membelanjakan sejumlah wang yang besar kepada pemimpin Umno-BN setiap kali pilihan raya.
“Umno mungkin mendapat bantuan dan ‘habuan’ besar daripada taukeh-taukeh judi dalam pilihan raya.
“Oleh itu, tidak ada cara lain untuk mereka (Umno) membalas budi kepada taukeh-taukeh judi yang telah membelanjakan jumlah wang yang besar dalam setiap kali pilihan raya,” ujarnya.
Menurutnya, perjudian bukan sahaja dibenci dan diharamkan oleh Islam tetapi turut ditentang oleh bangsa bukan Melayu dan penganut agama lain.
Sementara itu, Ketua AMK Terengganu, Faris Musa berkata tindakan kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak meluluskan lesen judi merupakan suatu kesilapan besar.
Ini, katanya secara jelas menggambarkan sikap serta wajah pemimpin sebenar Umno-BN yang meletakkan agama di bawah ‘tapak kaki’.
“Inilah wajah dan sikap Umno dan Barisan Nasional yang secara jelas terbukti bahawa agama dia (pemimpin) letak bawah ‘tapak kaki’.
“Inilah sikap Umno-BN yang dipimpin oleh ‘agen’ Yahudi di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak,” ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan AMK Pusat menyatakan pendirian parti menentang bersama-sama dengan Pemuda PAS terhadap kelulusan lesen judi tersebut.
Malah, menurutnya tindakan pemimpin Umno-BN yang meluluskan lesen judi kepada Berjaya Group itu merupakan kesilapan besar Najib.
“Rakyat harus menyatakan pendirian untuk menolak segala tindakan kelulusan lesen judi oleh Umno-BN kepada Berjaya Group.
“Kami (AMK) akan bersama dengan Pemuda PAS untuk bangkit menentang sehingga lesen judi ditarik balik dan dibatalkan.
“Tindakan pemimpin Umno-BN meluluskan lesen judi itu adalah suatu kesilapan besar Najib dan tindakan yang bodoh, biadap, tidak bermoral dan tidak berakhlak,” jelasnya.
Perhimpunan secara aman tersebut berakhir dengan bacaan doa oleh Ketua Pemuda PAS Hulu Terengganu, Ustaz Kamarulzaman Abdullah kira-kira jam 2.30 petang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini serta aman.
Saturday, May 1, 2010
POLIS DIMINTA SIASAT UGUTAN BUNUH TOK GURU NIK AZIZ
KUALA LUMPUR, 1 Mei: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menggesa pihak polis menyiasat ugutan bunuh terhadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh seorang pemilik akaun Facebook, Mohd Safuan Hilmi. Nasrudin yang membaca kenyataan berbaur ugutan itu pada 30 April 2010 meminta supaya kes tersebut ditangani secara berkesan bagi mengelakkan budaya mengugut yang mengancam keselamatan orang lain berleluasa.
"Saya juga meminta supaya pergerakan Pemuda Umno menafikan bahawa Mohd Safuan ini adalah ahli mereka," kata beliau merujuk pendirian politik Mohd Safuan di dalam profil Facebooknya.
Dalam profil tersebut juga turut menyatakan bahawa Safuan bekerja di Syarikat Prasarana Berhad.
Nasrudin turut menyatakan bahawa Facebook Safuan Hilmi telah di tutup selepas perkara itu menjadi perbincangan orang ramai di laman web sosial tersebut.
"Perkara ini jelas bertentangan dengan norma masyarakat dan adat ketimuran orang Melayu.
"Saya juga menyeru kepada semua pihak supaya mengamalkan politik sihat dan mengelakkan budaya ugut dan kekerasan antara sesama kita," tambahnya yang membuat laporan di Balai Polis Chot Kit, di sini tengah hari tadi.
Turut hadir bersama ialah timbalannya, Azman Shapawi Abdul Rani dan Kamaruzaman Mohamad.
Sementara itu, Nasrudin dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara itu di Balai Polis Dang Wangi pada jam 3.00 petang ini.
TEGUR PEMIMPIN : MUKTAMAR PLATFORM SEBENAR
MARANG – Muktamar atau mesyuarat agung parti merupakan platform paling sesuai untuk menegur pemimpin atau memberikan pandangan tehadap apa-apa dasar parti.
Namun sesetangah ahli PAS cenderung menggunakan teknologi maklumat seperti blog, facebook dan laman sembang sosial bagi menyalurkan kritikan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata tindakan tersebut kurang sesuai dan boleh mendedahkan PAS kepada perselisihan sesame sendiri dan perpecahan dalaman
Beliau berkata ahli-ahli PAS boleh memberi pandangan dan teguran kepada pimpinan parti tetapi mesti menggunakan saluran yang betul.
“Kita (ahli PAS) boleh beri pandangan, teguran dan nasihat kepada pimpinan parti tetapi atas platform yang betul.
“Kritikan kita (ahli) bukan diblog atau di alam maya yang boleh dilihat oleh semua orang termasuk musuh-musuh Islam,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu Kali Ke-41, di Dewan Banat, Rusila, Marang, hari ini.
Menurutnya, kecenderungan manusia menggunakan kemudahan teknologi maklumat mendorong kepada kritikan terbuka melalui blog-blog di alam maya ini.
Akhirnya, kata Ustaz Idris perbuatan tersebut boleh mengundang perselisihan serta perpecahan sesama sendiri dalam parti.
Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Mohammad Zawawi Salleh, Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Khairil Nizam Khairuddin dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Saturday, April 17, 2010
Lebih 500 Bantah APCO 1 Malaysia di masjid Pengadang Bharu
Himpunan aman yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS negeri Terengganu (DPPNT) dimulakan sebaik selesai jamaah masjid menyemprnakan solat Jumaat.
Antara yang berucap dalam himpunan tersebut adalah Ketua Dewan Pemuda Ustaz Mohd Nor Hamzah, Setiausaha, Wan Faizul Abas, Ketua Penerangan, Sheikh Hanafi dan Exco DPPNT Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi kdpp timbalan ketua pemuda kawasan marang.
Himpunan tersebut turut membakar bendera Negara Israel, menjadi lambing syarikat Apco Worldwide yang telah dibayar sebanyak RM77 juta oleh kerajaan Malaysia bagi menasihatkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
Antara program yang dikaitakan dengan perundingan Apco adalah program 1 Malaysia yang telah dipopularkan oleh Najib.
Thursday, April 15, 2010
CALON TEMPATAN : BELUM MULA, MUHYIDIN TELAH BOHONG
HULU SELANGOR, 15 April(HRKH): Belum lagi penamaan calon bermula, timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin telah berbohong kepada penduduk Hulu Selangor.Ini kerana, beliau dengan tegas sebelum ini berkata, akan menamakan anak tempatan sebagai calon BN di Hulu Selangor.
Muhyidin membuat janji ini Isnin lalu ketika bercakap kepada penduduk Sungai Buaya, Hulu Selangor dan disiarkan kemudiannya oleh media Umno sendiri.
Tetapi, hari ini beliau mengumumkan seorang penduduk Rawang dari bahagian Selayang, Selangor iaitu P Kamalanathan sebagai calon BN di Hulu Selangor.
“Hari itu (Isnin lalu) timbalan perdana menteri mengatakan anak tempatan... tapi hari ini orang luar dibawa masuk. Apakah ini bukan cakap bohong?
“Kalau mengatakan bahawa hendakkan anak tempatan, dan jika tidak mahu Datuk G. Palanivel juga, lebih baik pilih V. Mugilan atau Balasundram (naib ketua MIC Hulu Selangor,” kata Ketua Penerangan MIC Hulu Selangor Raily Muniandy ketika dihubungi laman web The Malaysian Insider.
Menurut beliau, MIC mempunyai ramai calon anak tempatan, yang berpelajaran. Tetapi mereka kesal kerana BN telah membawa calon dari luar iaitu dari Bahagian Selayang.
Kamalanathan, menurut beliau adalah calon yang pernah kalah dalam saingan merebut Ketua Pemuda MIC bahagian Selayang.
Sebelum ini, MIC Hulu Selangor menolak cadangan agar V. Mugilan, Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat diletakkan sebagai calon.
Muhyidin mengumumkan Kamalanathan (gambar atas), seorang ahli perhubungan awam sebagai calon BN di Bilik Gerakan BN Bukit Sentosa, Bukit Beruntung petang tadi.
“Kita memilih beliau kerana pengundi mahukan orang baru sebagai wakil rakyat.
“Beliau seorang yang kuat bekerja, lurus dah seorang yang pegang janji,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan Kamalanathan sebagai calon BN.
Sebelum ini, Pakatan Rakyat mengumumkan calonnya dari PKR, Datuk Zaid Ibrahim akan diletakkan bertanding untuk pilihan raya kecil ini.
Tuesday, April 13, 2010
PRK P94 : ZAHID IBRAHIM CALON PAKATAN RAKYAT
HULU SELANGOR, 13 April: Datuk Zaid Ibrahim (gambar) yang dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mewakili Pakatan Rakyat adalah tokoh yang telah teruji, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar IbrahimPengumuman itu dibuat pada jam 11.00 malam ini di hadapan kira-kira 5,000 orang yang memenuhi Dewan Komuniti Serendah dan pekarangannya.
Zaid yang berucap selepas diberikan laluan oleh Anwar berkata, beliau menyedari dan menginsafi amanah yang dipikul itu sangat berat.
“(Tuan Guru) Nik Aziz sewaktu bercakap dengan saya minta kita semua bekerja untuk umat. Saya bukan asing di Selangor, saya tahu masalah orang Selangor, saya tahu masalah orang Hulu Selangor. “Saya boleh menjadi suara untuk semua rakyat di sini,” ujarnya.
Berucap sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon PR yang ditonjolkan PKR itu.
“Saya mengarahkan seluruh jentera PAS seluruh kawasan Hulu Selangor turun padang dan bekerja keras. Calon yang dipilih adalah yang terbaik untuk bawa suara rakyat ke parlimen. “Pilihan raya kecil ini medan rakyat untuk tegur kerajaan, rakyat perlu jadi hakim,” ujarnya.
Zaid yang dilahirkan pada 10 April 1951 di Kota Bharu adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas kapasiti senator yang pernah mencetuskan kontroversi apabila bertindak melepaskan jawatannya pada 15 September 2008 selepas beberapa bulan saja dilantik sebagai menteri ekoran tidak dapat menerima penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pengamal media, orang awam dan ahli politik.
Dalam memperjuangkan isu-isu seperti ISA, Zaid di antara tokoh pemimpin Umno yang paling berani apabila mengirim surat terbuka kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Badawi di samping mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan akta tersebut.
Pada 3 Disember 2008, beliau dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakannya termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang dan menyalahi peraturan parti.
Antaranya dilaporkan pernah menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam. Justeru Zaid menyertai PKR di Bangi, Selangor pada 13 Jun 2009.
Sehubungan itu, Anwar menyifatkan Zaid sebagai serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia dalam memperjuangkan isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman.
Sepanjang penglibatan Zaid bersama PKR, beliau dilihat sebagai tokoh amat komited dalam usaha merangka dasar bersama PR sehingga berjaya merapatkan lagi jurang pakatan yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.
Friday, April 2, 2010
MEB: PAS bantah hapus kuota Bumiputera, bukan Bumiputera
KUALA LUMPUR,(hrkh) 2 April: PAS menolak sebarang usaha untuk menafikan kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera yang jelas menghina kedaulatan negara dan seluruh warga negara ini. Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad terkejut dengan pendedahan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz yang mengakui bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin akan menghapuskan kuota pemilikan termasuk Bumiputera.
Tambahnya, tahun lepas Perdana Menteri mengumumkan Dasar Liberalisasi Ekonomi negara di mana kerajaan menurunkan pegangan ekuiti Bumiputera daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus dan menurunkan ekuiti bukan Bumiputera daripada 25 peratus kepada 12.5 peratus.
Seterusnya, kata beliau pegangan ekuiti asing telah ditingkatkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus, serta pemansuhan FIC dan Penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) manakala nilai hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing pula ditingkatkan daripada RM250,000 kepada RM500,000.
“Dengan pendedahan Pengerusi MPEN itu, bermakna kuota 12.5 peratus Bumiputera dan bukan Bumiputera akan terhapus sama sekali. Secara ekonominya, saham-saham syarikat di Malaysia sudah boleh dimiliki oleh pelabur asing 100 peratus,” ujarnya.
PAS, katanya menganggap MEB adalah dasar yang jelas menindas rakyat dan akan menyebabkan rakyat di negara ini akan menjadi 'hamba' yang bekerja keras untuk kepentingan individu dan pelabur asing di masa hadapan.
Baginya, pengkhianatan Umno/BN yang menghapuskan kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera itu tidak boleh dimaaf.
“PAS mencabar ahli Umno dalam Perkasa untuk bangkit menentang dasar ini dan mengembalikan hak Bumiputera dan rakyat bukan Bumiputera di negara ini untuk menguasai kuota 30 peratus dan 25 peratus,” ujarnya lagi.
Tegasnya, PAS yakin kalau perkara penghapusan kuota Bumiputera itu disuarakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat maka akan berlakulah demonstrasi jalanan oleh abdi Umno dari kalangan NGO dan pembodek Umno.
“Tetapi apabila yang mengeluarkan idea ini tuan kepada hamba-hamba moden di negara ini, maka suara mufti Umno dan profesor Umno macam cicak makan kapur.
“PAS yakin bahawa keputusan ini banyak dipengaruhi oleh beberapa pihak lain yang dilantik sebagai perunding atau penasihat Kerajaan Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, tidak mustahil syarikat-syarikat yang dikuasai Yahudi akan masuk ke negara ini melalui proksi mereka dan mengambil alih aset-aset penting negara seperti Pos Malaysia yang sedang dalam proses penjualan sekarang.
Katanya lagi, jelas dasar yang tidak dibentang di Parlimen itu juga adalah satu dasar yang dipaksakan kepada rakyat dan membelakangi mandat rakyat.
Beliau berkata, seharusnya dasar sepenting itu dibentang di Parlimen kerana rakyat mahu tahu kerangka nasional yang ada dalam dasar itu.
“Umno/BN dilihat sedang menjual negara dan hilang semangat patriotisme melalui dasar yang menafikan kepentingan rakyat di negara ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Malaysia tidak kekurangan pelabur dan pemodal tempatan, seharusnya kuota itu dikekalkan bagi memberikan peluang kepada mereka agar tidak melabur di luar negara.
Thursday, March 25, 2010
Mahfuz: "Apa perlu lantik perunding Zionis?"
Tindakan kerajaan mengupah Apco Inc, yang didakwa mempunyai kaitan dengan gerakan Zionis antarabangsa, sebagai perunding medianya dibidas oleh pembangkang di Dewan Rakyat, hari ini. "Apakah tidak ada kepakaran itu di kalangan perunding media tempatan?," soalan wakil Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar. Jelas beliau tugas perunding media seperti itu sepatutnya dijalankan oleh syarikat-syarikat tempatan "Soalnya sekarang ini kenapa kalian melantik Apco.
Apa perlu untuk kerajaan melantik Apco?," katanya lagi ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini. "Banyak lagi syarikat-syarikat yang kalau nak bercakap tentang soal bumiputera soal orang Melayu, yang dimiliki kepakaran itu oleh orang Melayu, oleh Bumiputera.
"Tiba-tiba kerajaan mengambil syarikat yang dimiliki oleh orang asing yang ada kaitan dan hubungan dengan gerakan Zionis antarabangsa," katanya lagi. Tambah Mahfuz, tindakan itu tidak konsisten dengan sikap kerajaan terhadap negara Israel. "Dalam satu masa dia menjerit kononnya anti-Israel, menentang Zionis dan kezaliman oleh Israel terhadap orang Islam di Palestin dan sebagainya.
"Tapi dalam masa sama dia mengambil syarikat yang dalam syarikat itu merupakan pemuka-pemuka, pembesar-pembesar Israel yang pernah berkhidmat dengan negara haram Israel," katanya lagi yang turut menyebut beberapa nama 'pembesar' berkenaan. Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan supaya menjelaskan bentuk tindakan yang diambil terhadap pihak yang didakwa 'membocorkan maklumat rahsia negara.'
"Sehingga sekarang menteri pertahanan belum memperjelaskan kepada kita siapa yang terlibat dan apa bentuk tindakan yang diambil kepada orang yang membocorkan maklumat terbabit.
sumber : malaysiakini