Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad terkejut dengan pendedahan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz yang mengakui bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin akan menghapuskan kuota pemilikan termasuk Bumiputera.
Tambahnya, tahun lepas Perdana Menteri mengumumkan Dasar Liberalisasi Ekonomi negara di mana kerajaan menurunkan pegangan ekuiti Bumiputera daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus dan menurunkan ekuiti bukan Bumiputera daripada 25 peratus kepada 12.5 peratus.
Seterusnya, kata beliau pegangan ekuiti asing telah ditingkatkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus, serta pemansuhan FIC dan Penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) manakala nilai hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing pula ditingkatkan daripada RM250,000 kepada RM500,000.
“Dengan pendedahan Pengerusi MPEN itu, bermakna kuota 12.5 peratus Bumiputera dan bukan Bumiputera akan terhapus sama sekali. Secara ekonominya, saham-saham syarikat di Malaysia sudah boleh dimiliki oleh pelabur asing 100 peratus,” ujarnya.
PAS, katanya menganggap MEB adalah dasar yang jelas menindas rakyat dan akan menyebabkan rakyat di negara ini akan menjadi 'hamba' yang bekerja keras untuk kepentingan individu dan pelabur asing di masa hadapan.
Baginya, pengkhianatan Umno/BN yang menghapuskan kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera itu tidak boleh dimaaf.
“PAS mencabar ahli Umno dalam Perkasa untuk bangkit menentang dasar ini dan mengembalikan hak Bumiputera dan rakyat bukan Bumiputera di negara ini untuk menguasai kuota 30 peratus dan 25 peratus,” ujarnya lagi.
Tegasnya, PAS yakin kalau perkara penghapusan kuota Bumiputera itu disuarakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat maka akan berlakulah demonstrasi jalanan oleh abdi Umno dari kalangan NGO dan pembodek Umno.
“Tetapi apabila yang mengeluarkan idea ini tuan kepada hamba-hamba moden di negara ini, maka suara mufti Umno dan profesor Umno macam cicak makan kapur.
“PAS yakin bahawa keputusan ini banyak dipengaruhi oleh beberapa pihak lain yang dilantik sebagai perunding atau penasihat Kerajaan Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, tidak mustahil syarikat-syarikat yang dikuasai Yahudi akan masuk ke negara ini melalui proksi mereka dan mengambil alih aset-aset penting negara seperti Pos Malaysia yang sedang dalam proses penjualan sekarang.
Katanya lagi, jelas dasar yang tidak dibentang di Parlimen itu juga adalah satu dasar yang dipaksakan kepada rakyat dan membelakangi mandat rakyat.
Beliau berkata, seharusnya dasar sepenting itu dibentang di Parlimen kerana rakyat mahu tahu kerangka nasional yang ada dalam dasar itu.
“Umno/BN dilihat sedang menjual negara dan hilang semangat patriotisme melalui dasar yang menafikan kepentingan rakyat di negara ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Malaysia tidak kekurangan pelabur dan pemodal tempatan, seharusnya kuota itu dikekalkan bagi memberikan peluang kepada mereka agar tidak melabur di luar negara.
No comments:
Post a Comment