Thursday, August 18, 2011

Isu JAIS - Reaksi Dan Tindakan Umno Cukup Mencurigakan

Isu siapa dalang di sebalik tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kini semakin hangat diperkatakan; terutama apabila Setiausaha Agong PAS, Dato Mustafa Ali menegaskan beliau mempunyai bukti kukuh penglibatan Umno dalam isu ini. Dengan ledakan pelbagai bukti di blog pro-Umno, umum mengetahui dan boleh menjangkakan sememangnya wujudnya tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan yang aneh ini.
Antaranya ialah:
1. Media pro-Umno yang terus melonjak isu ini dengan membuat serangan kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri.

2. Semua bukti wujudnya usaha pengkristianan dibongkar oleh blog-blog pro-Umno dan bukan oleh Jais, sedangkan semua bukti itu adalah bahan sulit yang tidak sepatutnya dikeluarkan selagi belum ada dakwaan di mahkamah.
Ini termasuklah soal-selidik, nama mereka yang hadir, jumlah wang yang dibekalkan, dan terbaru klip video serbuan tersebut dan juga laporan Jais yang sepatutnya diberikan kepada Sultan Selangor terlebih dahulu. Kenapa bukti-bukti Jais ini dapat keluar dan disiarkan oleh blog-blog pro-Umno?

3. Demonstrasi oleh Mohamad Ezam Mohd Nor dibuat di masjid negeri dengan membuat kecaman kepada kerajaan Selangor, termasuk penyapu tandas, mangkuk tandas dihantar ke pejabat Menteri Besar.
Anehnya, mereka ini dikatakan menentang proses kristianisasi yang dilalukan pihak gereja, bukankah ia sepatutnya demonstrasi dibuat di hadapan gereja?

4. Tindakan Jais melengah-lengah isu ini sehingga menimbulkan polemik umum tentulah tidak mendatangkan kebaikan kepada semua di waktu yang sama, ada pihak dalaman yang meledakkan pelbagai bukti dalam blog pro-Umno.
Kini, rakyat tengah menanti tindakan Jais, lebih-lebih lagi PAS Pusat telah menyatakan pendirian mempertahankan aqidah umat Islam dari sebarang usaha untuk mengganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

Kita sedar dalam sebarang tindakan kita perlu berhemah dan tepat dalam tindakan, kerana bukan soal kita tidak pertahan aqidah ummah, tetapi tindakan yang terburu-buru hanya menjerumus kita kepada perangkap yang sengaja dipasang oleh Umno dan merosakkan lagi nama baik agama Islam yang kini sudah tercacat cela akibat perbuatan Umno selama ini.
Bayangkan, setelah 54 tahun Umno mentadbir negara, ada lagi kes orang Melayu nak keluar Islam? Tak terfikirkah kita mengapa? Tak sedihkah kita?
Apa yang dipentingkan puak Umno ini dalam isu murtad ini ialah untuk mencari mangsa untuk menanggung kelalaian mereka dalam menjalankan tugas ‘demi bangsa, agama dan negara’ selama 54 tahun ini.
Adakah Umno cuba mencari penyelesaian dalam isu murtad ini? Tengoklah kenyataan-kenyataan mereka, mereka hanya nak cari siapa yang harus dipersalahkan dalam isu ini, dan tiada satu pun cadangan penyelesaian dibuat.
Padahal, selama ini umat Islam sentiasa bertanya:
Kenapa kerajaan tidak sedia menggubal akta pencegahan murtad?
Kenapa ajaran Qadiani terus dibiarkan di Kg Nakhoda, Batu Caves yang banyak merosakkan aqidah umat Islam?
Di mana Umno dalam isu Lina Joy dan Ayah Pin yang sehingga kini masih bebas?
PAS tegas menjaga aqidah umat Islam, dan pada masa yang sama PAS juga pentingkan cara menyelesaikan isu murtad ini dengan baik supaya keamanan dan keharmonian antara rakyat Malaysia sentiasa dipelihara dan dijaga berbanding dengan Umno yang hanya ingin keuntungan politik dalam sebarang hal.
Isu aqidah – Umno marah pada PAS kononnya PAS tak mempertahankan aqidah umat Islam sebab ada kepentingan politik yang memihak kepadanya.
Isu jual kerakyatan rakyat – Umno bukan sahaja membisu malah meraikannya dengan segala penafian kepada segala bukti yang PAS bawa sebab ada kepentingan politik yang tidak memihak kepadanya.
Itulah Umno – dah jual agama selama ini dengan menakutkan Islam kepada rakyat bukan Islam untuk kekal berkuasa tetiba ingin menjadi hero Islam.
Apabila rakyat bukan Islam dah sedar atas penipuan mereka, sekarang mereka jual negara dengan beri kerakyatan kepada warga asing, terutama warga Indonesia supaya boleh meningkatkan jumlah ‘undi Melayu’ pada mereka atas slogan pembela orang Melayu untuk kekal berkuasa.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Monday, August 15, 2011

Demi Agama, Bangsa dan Negara –Bila Hanya Ada Keuntungan Politik

Tindakan UMNO cuba mempolitikkan semua isu yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat (PR), terutamanya isu agama memperlihatkan betapa dangkalnya pemikiran dan sifat hipokrit mereka.

Dalam isu fatwa pembesar suara yang mengarahkan pembesar suara tidak digunakan untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran sebelum waktu Subuh di negeri Pulau Pinang, Umno kelihatan ingin mempolitikkan isu tersebut sehingga tidak boleh membezakan mana keputusan fatwa negeri, dan mana satu tindakan kerajaan negeri. Isu bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara pada waktu pagi bukanlah isu baru, kerana ianya sudah acap kali ditimbulkan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan rakyat.

Apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah keputusan mufti dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang yang melihat isu ini bercanggah dengan nas yang jelas, kerana tindakan memperdengarkan bacaan al-Quran, walaupun ia satu kebaikan; namun Islam juga mengambil kira soal sensitiviti orang lain yang inginkan ketenangan, ada kanak- kanak yang sedang tidur, orang yang uzur, terutamanya yang tua sakit dan sebagainya.

Tindakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertikaikan keputusan Fatwa Kerajaan Pulau Pinang merupakan satu penghinaan kepada wibawa Mufti dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang telah membua kajian dan keputusan yang teliti.

Bayangkan kalau kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pualau Pinang, Lim Guan Eng, tentu ia akan menimbulkan kegilaan huru-hara para pemimpin Umno dan saudara baiknya Perkasa dan juga mengkritik beliau.

Akan tetapi, bilamana Kerajaan Negeri Melaka memanjang tempoh hiburan sehingga jam 3 pagi, tiada suara pemimpin Umno dan Perkasa yang tampil mengatakan Kerajaan Melaka tidak sensitif kepada umat Islam di bulan Ramadhan. Inilah gelagat pimpinan Umno Perkasa yang hanya nampak ada mata pada perkara yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat, sebaliknya membiarkan kemungkaran di negeri yang diperintah mereka.

Sikap sedemikian mencerminkan Umno sebagai sebuah parti yang mengutamakan kepentingan politik berbanding tuntutan agama, sehingga sesuatu kemungkaran terang-terangan, terutamanya yang berlaku di negeri pimpinan Umno dibiarkan tanpa sebarang kritikan dikeluarkan. Demikian juga bilamana usul pencegahan umat Islam murtad dikemukakan dalam Parlimen oleh pimpinan PAS, mereka bukan sahaja tidak menyokong, sebaliknya usul itu berkali- kali ditolak oleh Parlimen.

Tapi kini dalam kemelut gereja-Jais, lebih-lebih lagi apabila berlaku di negeri Pakatan Rakyat maka golongan ini, seperti skrip drama yang tidak berubah terus riuh-rendah di media kononnya ingin menyelamatkan aqidah umat Islam dari murtad. Sekiranya ini berlaku di negeri mereka, percayalah isu ini akan menjadi senyap sunyi seperti isu warga asing menjadi pengundi, nama pengundi bertindih yang berlambak, bukti pengundi hantu ahli Umno sendiri dan sebagainya.

Sekiranya ada keuntungan politik, di sanalah mereka akan berkokok. Demi agama, bangsa dan negara – hanya dan bila hanya ada keuntungan politik - inilah sikap bermuka-muka pimpinan Umno.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerngan PAS Pusat

Jawapan SPR Ibarat Pak Pandir

Setelah diasak bertubi-tubi dengan pelbagai bukti kelemahan dalam daftar pemilih negara, SPR, yang telah berkeras kepala dalam menafikan kelemahannya selama ini akhirnya terpaksa membuat pusingan U dan mengakui bahawa mereka sedar ada kelemahan dalam daftar pemilih negara.

Namun begitu, pengakuan SPR tidak ikhlas apabila Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sekadar menyalahkan “kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)” sehingga menyebabkan kelemahan dalam daftar pemilih yang dikendalikan SPR selama ini.

Beliau juga dipetik sebagai berkata “tiada daftar pemilih yang bersih di dunia ini” sebagai jawapan kepada pelbagai kelemahan yang dibongkar oleh PAS dalam daftar pemilih negara. PAS kesal dengan jawapan yang diberikan Abdul Aziz dan lebih mendukacitakan ialah sikap lepas tangan SPR, seolah-olah isu ini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja, bahkan berlaku di kebanyakan negara berlaku.

Jawapan ini mengingatkan kita kepada kisah Pak Pandir yang menyatakan "bukan anak kita je mati, anak orang lain mati jugak". Kenyataan ini jelas menggambarkan sikap sebenar SPR, yang tiada niat langsung untuk memihak kepada rakyat untuk bersungguh-sungguh membersihkan daftar pemilih yang ada.

Lebih malang dalam sistem serba canggih sekarang, SPR masih ketinggalan zaman sehingga berlaku perkara yang sangat mengaibkan. Bayangkan kalau Kg Baru pun didaftar sebagai pengundi, siap ada bersama nombor kad pengenalan. Ketidakikhlasan SPR dalam memperbaiki sistemnya cukup terserlah dalam isu nama Kg Baru (MyKad: 830527115422) yang didaftarkan sebagai pengundi, dimana SPR hanya menukar nama Kg Baru kepada nama pengundi “Noraini binti Abdullah” berdasarkan data JPN tanpa usul periksa mengapa kesilapan demikian boleh berlaku.

Demikian juga pendedahan warga asing yang mendapat kerakyatan, dan didaftarkan sebagai pengundi dengan jumlah ribuan orang adalah gambaran kelemahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR. Pengakuan SPR ini jelas kepada rakyat kenapa himpunan BERSIH 2.0 diadakan dan kini rakyat mula nampak akan hasil himpunan tersebut.

Meskipun SPR dan pihak berkuasa di bawah telunjuk Umno Barisan Nasional terus menggambarkan himpunan tersebut dalam nada yang sangat negatif ; tetapi disebabkan itu juga rakyat juga telah mula membuka mata dan dapat melihat betapa kotornya sistem pilihanraya negara kita yang dipenuhi dengan sampah sarap dan diancam oleh pendatang asing yang mendapat kerakyatan dan hak mengundi dengan begitu senang.

Rakyat boleh bayangkan apabila satu hari nanti undi warga asinglah yang bakal menentukan keputusan politik dan masa depan negara – siapakah yang telah menjual negara secara senyap-senyap demi kekal berkuasa dengan cara yang haram?

Dengan keruntuhan keyakinan rakyat jelata terhadap kelayakan SPR menjadi pengadil pilihanraya sekarang inilah yang menuntut satu reformasi dalam sistem pilihanraya kita bagi membina keyakinan tinggi kepada semua pihak supaya keputusan pilihanraya umum nanti dapat diterima dengan hati terbuka dan tanpa was-was.

SPR dituntut melakukan segera satu reformasi bagi membina keyakinan rakyat khususnya parti- parti politik terhadap sistem pilihanraya yang bersih dan adil. Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki, seperti undi pos yang terdedah kepada pelbagai manipulasi, persempadanan pilihanraya yang tidak adil, pengundian bertindih, tuntutan daftar automatik dan sebagainya.

Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat