Friday, May 21, 2010

1000 bantah kerajaan luluskan lesen judi bola



KUALA TERENGGANU - 1000 orang telah berhimpun secara aman di hadapan Masjid Kampung Pengadang Baru Jalan Kuala Berang, bagi menyatakan membantah tindakan kerajaan pusat meluluskan judi bola sepak sempena piala dunia 2010.

Demonstrasi aman itu bermula kira-kira jam 2.10 petang sebaik sahaja selesai solat Jumaat yang diimamkan oleh Presiden PAS, Dato’ Abdul Hadi Awang.

Antara pimpinan PAS Terengganu yang berucap kepada orang ramai adalah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Yahaya Ali, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Setiausaha Pemuda PAS Terengganu, Wan Mohd Faizol Wan Abas, Ketua Pemuda PAS Hulu Terengganu, Ustaz Kamarulzaman Abdullah dan Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Ahmad Kamal Ali.

Turut berucap memberikan ucapan dalam himpunan tersebut adalah Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Faris Muda.

Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali berkata pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak wajar ditaati kerana menganjurkan kemungkaran dalam beragama.

Malah, katanya pemimpin Umno-BN tersebut harus ditentang kerana meluluskan lessen judi yang bertentangan dengan perintah Allah SWT.

“Kita (PAS) ingin menyatakan sikap dan pendirian kita (umat Islam) dengan sekeras-kerasnya bahawa, kita (PAS) menentang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan kerajaan yang ada pada hari ini.

“Mereka (pemimpin Umno-BN) telah menghalalkan perjudian yang merupakan suatu kemaksiatan dan kemungkaran kepada Allah SWT.

“Walau pun, ajaran Islam mengajar taat kepada pemimpin tetapi pemimpin Umno dan Barisan Nasional hari ini adalah pemimpin yang harus ditentang kerana keputusan yang mereka (Umno) buat itu bertentangan dengan perintah dari Allah SWT,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menyatakan bantahan dalam Perhimpunan Aman Membantah Lesen Judi Bola di hadapan Masjid Pengadang Baru, dekat sini, 21 Mei lalu.

Kata Yahaya, sekiranya perjudian ini diteruskan bakal mengundang kerosakkan kepada umat manusia dan rakyat seluruhnya.

Manakala Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah menyifatkan pemimpin Uno dan kerajaan Barisan Nasional bersikap biadap terhadap bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.

Katanya, bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini sedar dan benci terhadap semua jenis perjudian yang diharamkan oleh Allah Ta’ala.

“Demo kita (PAS) pada hari ini untuk menyatakan kebencian dan kemarahan umat Islam. Bahkan, rakyat seluruhnya.

“Kita (PAS) menentang kelulusan lesen judi yang dibuat oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional. Sikap yang sangat biadap terhadap agama.

“Waktu, mereka (Umno) menyatakan mereka memperjuangkan bangsa Melayu, memperjuangkan agama tetapi diwaktu yang sama, mereka (Umno) menyakiti bangsa Melayu yang bangsa Melayu sedar judi itu adalah haram,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong mendakwa kemungkinan Umno-BN mendapat bantuan serta ‘habuan’ besar dari taukeh judi di negara ini.

Katanya, taukeh-taukeh judi tesrebut telah membelanjakan sejumlah wang yang besar kepada pemimpin Umno-BN setiap kali pilihan raya.

“Umno mungkin mendapat bantuan dan ‘habuan’ besar daripada taukeh-taukeh judi dalam pilihan raya.

“Oleh itu, tidak ada cara lain untuk mereka (Umno) membalas budi kepada taukeh-taukeh judi yang telah membelanjakan jumlah wang yang besar dalam setiap kali pilihan raya,” ujarnya.

Menurutnya, perjudian bukan sahaja dibenci dan diharamkan oleh Islam tetapi turut ditentang oleh bangsa bukan Melayu dan penganut agama lain.

Sementara itu, Ketua AMK Terengganu, Faris Musa berkata tindakan kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak meluluskan lesen judi merupakan suatu kesilapan besar.

Ini, katanya secara jelas menggambarkan sikap serta wajah pemimpin sebenar Umno-BN yang meletakkan agama di bawah ‘tapak kaki’.

“Inilah wajah dan sikap Umno dan Barisan Nasional yang secara jelas terbukti bahawa agama dia (pemimpin) letak bawah ‘tapak kaki’.

“Inilah sikap Umno-BN yang dipimpin oleh ‘agen’ Yahudi di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan AMK Pusat menyatakan pendirian parti menentang bersama-sama dengan Pemuda PAS terhadap kelulusan lesen judi tersebut.

Malah, menurutnya tindakan pemimpin Umno-BN yang meluluskan lesen judi kepada Berjaya Group itu merupakan kesilapan besar Najib.

“Rakyat harus menyatakan pendirian untuk menolak segala tindakan kelulusan lesen judi oleh Umno-BN kepada Berjaya Group.

“Kami (AMK) akan bersama dengan Pemuda PAS untuk bangkit menentang sehingga lesen judi ditarik balik dan dibatalkan.

“Tindakan pemimpin Umno-BN meluluskan lesen judi itu adalah suatu kesilapan besar Najib dan tindakan yang bodoh, biadap, tidak bermoral dan tidak berakhlak,” jelasnya.

Perhimpunan secara aman tersebut berakhir dengan bacaan doa oleh Ketua Pemuda PAS Hulu Terengganu, Ustaz Kamarulzaman Abdullah kira-kira jam 2.30 petang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini serta aman.

Thursday, May 13, 2010

Langkah Mundur oleh Kerajaan Dalam Isu Judi Sukan - PRESIDEN PAS

Langkah pihak kerajaan ingin memperkenalkan lesen judi sukan dalam negara kita pada masa sekarang ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini. Ianya menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan UMNO-BN yang ada pada waktu sekarang ini telah bankrap idea dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam. Inilah yang dirancang oleh penjajah dan UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan yang ada di waktu ini telah membawa semakin banyak perkara-perkara negatif selepas negara mencapai kemerdekaan, malah lebih banyak dari yang dilaksanakan oleh penjajah itu sendiri.

Hasilnya wajah Islam yang cuba dibawa oleh UMNO dengan mendirikan masjid, Pusat Islam dan aktiviti keagamaan ini menjadi topeng dan tempelan kosmetik sahaja, dan dalam masa yang sama mereka merobek Islam dari belakang. Akibatnya UMNO juga telah menunjukkan satu wajah yang sangat salah dengan hakikat tasawwur ajaran Islam yang sebenar.

Maka sudah tiba masanya bagi orang Melayu beragama Islam untuk memahami bahawa di sana terdapat perbezaan di antara Islam dengan bangsa. Islam adalah agama untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan kaum. Dalam hal ini kita telah mendapat respon yang sangat baik dari kalangan orang bukan Islam, malah kita juga telah berjaya menarik sokongan rakan-rakan dari DAP dan PKR yang bukan Islam untuk menyokong bagi mengharamkan judi. Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam.

PAS menyeru kepada penyokong-penyokong UMNO yang cintakan agama untuk membuat muhasabah terhadap diri mereka supaya melaksanakan perubahan secara ilmu dan mengkaji kefahaman Islam yang betul melalui sumber-sumber Islam dan bukan melalui media-media yang memberikan maklumat yang salah yang terus menerus menjahilkan mereka dari ajaran Islam.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

26 JamadilAwal 1431 bersamaan 11 Mei 2010

Saturday, May 1, 2010

POLIS DIMINTA SIASAT UGUTAN BUNUH TOK GURU NIK AZIZ

KUALA LUMPUR, 1 Mei: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menggesa pihak polis menyiasat ugutan bunuh terhadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh seorang pemilik akaun Facebook, Mohd Safuan Hilmi.

Nasrudin yang membaca kenyataan berbaur ugutan itu pada 30 April 2010 meminta supaya kes tersebut ditangani secara berkesan bagi mengelakkan budaya mengugut yang mengancam keselamatan orang lain berleluasa.

"Saya juga meminta supaya pergerakan Pemuda Umno menafikan bahawa Mohd Safuan ini adalah ahli mereka," kata beliau merujuk pendirian politik Mohd Safuan di dalam profil Facebooknya.

Dalam profil tersebut juga turut menyatakan bahawa Safuan bekerja di Syarikat Prasarana Berhad.

Nasrudin turut menyatakan bahawa Facebook Safuan Hilmi telah di tutup selepas perkara itu menjadi perbincangan orang ramai di laman web sosial tersebut.

"Perkara ini jelas bertentangan dengan norma masyarakat dan adat ketimuran orang Melayu.

"Saya juga menyeru kepada semua pihak supaya mengamalkan politik sihat dan mengelakkan budaya ugut dan kekerasan antara sesama kita," tambahnya yang membuat laporan di Balai Polis Chot Kit, di sini tengah hari tadi.

Turut hadir bersama ialah timbalannya, Azman Shapawi Abdul Rani dan Kamaruzaman Mohamad.

Sementara itu, Nasrudin dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara itu di Balai Polis Dang Wangi pada jam 3.00 petang ini.

TEGUR PEMIMPIN : MUKTAMAR PLATFORM SEBENAR

MARANG – Muktamar atau mesyuarat agung parti merupakan platform paling sesuai untuk menegur pemimpin atau memberikan pandangan tehadap apa-apa dasar parti.

Namun sesetangah ahli PAS cenderung menggunakan teknologi maklumat seperti blog, facebook dan laman sembang sosial bagi menyalurkan kritikan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata tindakan tersebut kurang sesuai dan boleh mendedahkan PAS kepada perselisihan sesame sendiri dan perpecahan dalaman

Beliau berkata ahli-ahli PAS boleh memberi pandangan dan teguran kepada pimpinan parti tetapi mesti menggunakan saluran yang betul.

“Kita (ahli PAS) boleh beri pandangan, teguran dan nasihat kepada pimpinan parti tetapi atas platform yang betul.

“Kritikan kita (ahli) bukan diblog atau di alam maya yang boleh dilihat oleh semua orang termasuk musuh-musuh Islam,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu Kali Ke-41, di Dewan Banat, Rusila, Marang, hari ini.

Menurutnya, kecenderungan manusia menggunakan kemudahan teknologi maklumat mendorong kepada kritikan terbuka melalui blog-blog di alam maya ini.

Akhirnya, kata Ustaz Idris perbuatan tersebut boleh mengundang perselisihan serta perpecahan sesama sendiri dalam parti.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Mohammad Zawawi Salleh, Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Khairil Nizam Khairuddin dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Tok Guru diugut Bunuh oleh Pemuda UMNO!

1. Insyaallah , Esok [sabtu / 1 Mei] jam 12.30 tengahari , Dewan Pemuda PAS Pusat akan membuat satu report polis [ di Balai Polis Jalan Chow Kit ] terhadap satu ugutan bunuh ke atas Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat al Mursyidul Am PAS oleh Mohd Safuan Hilmi yang mengaku sebagai anggota pemuda UMNO .

2. Dewan Pemuda PAS Pusat [DPPP] mengesa pihak Polis menyiasat ugutan bunuh tersebut yang disiarkan dalam laman sosial facebook .

3. Mohd Safuan Hilmi, 24 bekas pelajar UiTM yang mengaku sebagai ahli pemuda Umno membuat ugutan itu dengan berkata "aku sanggup dihukum gantung jika aku dapat bunuh Nik Aziz".


4. Sama ada beliau mempunyai niat untuk melakukan jenayah itu atau tidak pihak Polis perlu menyiasat dan jika benar ia adalah anggota pemuda Umno maka ia sangatlah dikesali kerana terdapat anggotanya yang samseng dan sanggup melakukan ugutan jenayah sebegini.

5. DPPP menyeru Pemuda PAS disemua negeri turut membuat laporan Polis bagi memastikan percubaan untuk melakukan jenayah ini dapat dihalang dan kita sesekali tidak akan membiarkan peristiwa lama berulang kembali.

6. Dalam lipatan sejarah :

a] Julai 1967, Ahli Parlimen PAS-Pasir Mas Hulu, YB Abdul Samad Gul Ahmad Mianji mati ditetak dengan kapak ketika selesai sahaja acara Maulid Nabi di bangunan Pas Kelantan di Kota Bharu, Kelantan. Beliau yang ketika itu Ketua Pemuda PAS diserang ketika sedang membuka pintu keretanya.

b] 8 Mac 1970, YB Cikgu Tahrim Ariffin
wakil tunggal PAS dalam Dewan Undangan Negeri Perlis, meninggal dunia dalam satu peristiwa pembunuhan yang memeranjatkan di rumahnya di Perlis.

c] 18 Januari 1985, tragedi ngeri Lubuk Merbau dalam pilihanraya kecil Parlimen Padang Terap. Seramai lebih 200 ahli Umno bersenjata parang, botol pecah, batu-bata telah menyerang, menetak, memukul dan menghentak petugas PAS di Felda Lubuk Merbau. Tujuh daripada ahli PAS cedera parah, berpuluh cedera ringan dan seorang daripada mereka, saudara Osman Talib syahid.

7. Serangan berulang beberapa kali lagi semasa Pilihanraya kecil Ijok dan Bagan Pinang tahun lepas hingga menyebabkan petugas PAS tercedera.





sumber : http://episodeperjuangan.blogspot.com/