Tuesday, February 22, 2011

Kebangkitan Kuasa Rakyat di Libya

Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kejam pembunuhan ke atas ratusan rakyat Libya yang meyuarakan tuntutan hak mereka. Rakyat Libya yang tidak bersenjata telah turun ke jalan raya menuntut hak mereka yang dinafikan selama puluhan tahun. Tindakan pihak keselamatan kerajaan di bawah pimpinan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang telah menggunakan senjata berat ke atas rakyat yang menunjukkan perasaan mereka adalah tindakan tidak bertamadun dan tidak patut berlaku pada zaman moden ini.

Masyarakat antarabangsa, yang bermati-matian mempertahankan hak asasi manusia, demokrasi dan perundangan antarabangsa wajar untuk memberikan tekanan kepada kepimpinan negara Libya agar menghentikan segera kezaliman berkenaan dan menubuhkan badan siasatan bebas bagi menyiasat pembunuhan ini bagi memberi keadilan kepada mangsa-mangsa pembunuhan tentera dan polis Libya. Kepimpinan Libya yang telah menyekat hak rakyat selama puluhan tahun ini pula wajar untuk melepaskan jawatan dan mengembalikan demokrasi yang tulen kepada rakyat.

PAS bersama dengan gerakan Islam juga menyeru agar dunia barat tidak memandang serong terhadap peranan gerakan Islam dalam melakukan perubahan secara demokrasi. Dunia barat juga tidak wajar mengamalkan sikap double standard dalam mencadangkan penyelesaian kemelut di Asia Barat, kerana tindakan meminggirkan peranan gerakan Islam yang ingin bersama rakyat untuk melakukan perubahan secara demokrasi akan hanya merumitkan lagi penyelesaian ke arah keamanan sejati.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Selasa 19 Rabiul Awal 1432 / 22 Februari 2011

Buktikan Kenyataan TGNA Sesat?

Tuduhan Tun Mahathir yang mengatakan PAS telah longgar pegangan agama sejak berkawan dengan Pakatan Rakyat adalah tidak benar. Tolong buktikan di manakah kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang menyalahi syariat dan merugikan perjuangan Islam. PAS mempunyai bukti kenyataan Tun yang mengguris Islam dan umat Islam selama ini. PAS boleh buktikan dengan tahalluf siyasi Pakatan Rakyat lebih baik daripada Umno bersama Barisan Nasional dalam program Islamisasi. Masjid di negeri Pakatan Rakyat makmur dengan majlis ilmu sedangkan di waktu yang sama, di negeri Umno memerintah masjid mati sebelum penduduk mati. MCA berkawan dengan Umno 53 tahun gagal untuk memahami hukum salam lelaki dengan perempuan. Puncanya pemimpin orang seperti Tun gagal menunjukkan watak sebagai seorang Muslim yang hakiki.

Kenyataan Tun agak kelakar, kerana menuduh Tuan Guru Nik Aziz hanya hendak menang pilihanraya. Mana ada parti politik yang bertanding tidak mahu menang. Parti tupperware saja yang tidak mahu menang. Sepanjang Tun memimpin Umno, bermati-matian melanggar segala undang-undang dan mencabul demokrasi, semuanya kerana hendak menang pilihanraya.

Memang PAS hendak menang pilihanraya, supaya Islam dihayati. Bukan dapat kuasa supaya Islam dimatikan dan syiar Islam dipadamkan. Perjuangan PAS berbeza dengan umno. Umno menjadikan Islam sebagai alat, bukan matlamat. Sepanjang PAS bertahalluf dengan parti yang berlainan ideologi, tidak ada yang rugi kepada Islam dan PAS di negara ini. Malah PAS mengambil peluang untuk berdakwah dan menjelaskan keadilan Islam. Selama ini mereka kabur, membuktikan 53 tahun Umno gagal menjelaskan Islam yang sebenar.

Tun juga mengatakan PAS tidak bela penindasan umat Islam di luar negara. Mungkin Tun buat-buat lupa atau sengaja membuat tuduhan jahat kepada PAS. Seolah-olah PAS parti bawah tempurung sahaja, tanpa memperdulikan umat Islam lain yang tertindas. Tun tidak sedarkah peranan yang dimainkan oleh PAS dalam isu Pelestin, perang teluk, perang Afghanistan, Selatan Mindanou, Acheh. PAS membantu dengan sekadar kemampuan sebagai parti yang tidak memerintah negara dengan memberi nasihat dan menghantar barang-barang keperluan kepada mereka yang memerlukan ketika misi kemanusiaan ke negara tersebut.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tuesday, February 8, 2011

Himpuanan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT 2011)

- Masa Untuk Berubah, PAS Ganti Umno (PGU)
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu akan mengadakan program tahunannya Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) pada 11 Februari 2011 ini bertempat di Padang Bola Pekan Batu Enam.

Himpunan kali ini sangat berlainan daripada yang diadakan pada sesi-sesi lalu kerana ia bertemakan MASA UNTUK BERUBAH, PAS GANTI UMNO.

DPPNT menyambut dengan penuh semangat program Himpunan Kebangkitan Rakyat anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu pada 15 Januari 2011 yang lalu di Dataran Tok Guru Geliga Kemaman.

Berdasarkan kepada penyertaan pemuda yang sangat memberangsangkan di program tersebut, kami yakin akan dapat menghimpunkan seramai 11 ribu pemuda pada 11 Februari ini.

Program Himpunan kali ini juga berbeza dengan yang lepas kerana ia cuma memakan masa sehari suntuk, berbanding HIMPIT tahun-tahun sudah yang memerlukan peserta bermalam di tapak program.

Program akan bermula seawal 8 pagi dengan pendaftaran peserta di tapak program, kemudian akan dimulakan dengan Motivasi Jihad pada jam 9 pagi yang bakal disampaikan oleh Tuan Haji Mohamad Sabu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hasan sudah menyatakan kesanggupan untuk menghadirkan diri ke program tersebut dan akan memberi amanat kepada pemuda pada jam kira-kira 10.30 pagi.

Lebih menarik lagi, Dato’ Seri Presiden Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga akan bersama-sama dengan pemuda pada pagi hari tersebut, dan akan menyampaikan amanat beliau kira-kira jam 11.30 pagi.

Pada sebelah petang pula, seawal jam 3 petang, pemuda akan dihidangkan dengan ucapan-ucapan beberapa tokoh pemuda dari pelbagai jurusan kehidupan, termasuklah selingan lagu-lagu persembahan bekas pemain gitar kumpulan Visa, Ustaz Zul.

Kemuncak program siang hari ialah Sembang Pemuda Bersama Al Fadhil Ustaz Azhar Idrus, seorang penceramah bebas yang tidak asing lagi, sekitar jam 4 petang.

Program akan berakhir pada malamnya dengan Ceramah Perdana oleh Yang Berhormat Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Pemuda Negeri Terengganu, Tuan Haji Mohamad Sabu, dan juga Tuan Haji Salleh Embong, bekas ahli Umno yang akan membongkarkan kezaliman Umno dalam isu pengambilan tanah di Kampung Banggol Donas.

Seperti biasa, kami akan sediakan kaunter-kaunter pendaftaran ahli Pas, daftar pemilih, dan keahlian Alternatif Riding Club (ARC).

MURNIKAN PERJUANGAN, MAKNAKAN KEMENANGAN
ISLAM ADIL UNTUK SEMUA

WAN MOHD FAIZUL WAN ABAS
Setiausaha DPPNT

Monday, February 7, 2011

Pengundi Muda Kelantan Tolak Gelombang Merah

PAS berpandangan harapan Datuk Seri Mustafa Mohamed yang hendak memikat 400,000 orang muda hanya angan-angan mat jenin sahaja. Orang muda Kelantan adalah generasi yang sedar dan bermaklumat. Mereka anti penindasan, diskriminasi dan penyelewengan. Orang muda Kelantan tidak boleh terima slogan Umno hendak membela Kelantan, sedangkan Umno perlu membela rakyat negeri lain yang berada di bawah pemerintahan Umno yang tertinggal jauh dari segi kuasa membeli dan memiliki hartanah

400,000 orang muda Kelantan bukan hidup di dalam gua yang tidak tahu perkembangan dunia. Orang muda Kelantan yang terkenal sebagai golongan terpelajar dan memenuhi kerusi di pusat pengajian tinggi di dalam atau luar negeri. Mereka menguasai ketua jabatan di Putrajaya. Ini petanda rakyat Kelantan, cerdik dan berjaya dalam pelajaran dan kerjaya.

Mereka tidak dapat menerima pengkhianatan kerajaan pusat yang tidak iktiraf kerajaan rakyat di Kelantan. Tindakan kerajaan pusat yang menyekat 118 projek sejak Rancangan Malaysia Keenam 1991. Merampas hak royalti minyak satu lagi bukti penyelewingan konsep federalisme. Kenapa pemimpin Umno Kelantan yang berada di peringkat pusat telah mengkhianat rakyat Kelantan sehingga sanggup menyalurkan minyak ke Songkla Thailand, pada hal lebih ekonomik ia mendarat di Kelantan. Kesemua sikap ini tidak boleh diterima oleh orang muda Kelantan untuk menerima umno memerintah semula di Kelantan, kenapa mereka hendak menyerahkan diri mereka ke mulut naga untuk merosakkan sistem yang sudah dibina selama 20 tahun.

PAS hendak menasihat Datuk Seri Mustafa Mohamed, lebih baik beliau ambil perhatian negeri-negeri di bawah BN dahulu seperti Sabah dan Sarawak. Pulihlah ekonomi negara yang menghadapi kadar inflasi yang semakin tinggi, semuanya gara-gara kegagalan kerajaan BN. Kelantan sudah selesa di bawah kepimpinan PAS yang boleh bersaing dengan negeri-negeri di bawah pemerintahan BN. Umno janganlah jadi tikus membaiki labu.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Sokong Tuan Guru Nik Aziz Berdialog

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyokong penuh kesediaan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat untuk berdialog dengan Majlis Fatwa Kebangsaan sekiranya Majlis Fatwa Kebangsaan mahu mengkaji semua kenyataannya yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini. Kalau boleh biarlah disiarkan secara langsung supaya orang ramai menjadi hakim dan boleh buat penilaian antara dua pihak.

Umno bolehlah mengumpul ulamak yang ada dalam parti Umno untuk turut serta. Supaya selepas ini tidak berbangkit lagi tuduhan yang sering dilemparkan kepada PAS.

Tindakan yang diambil oleh Tuan Guru Nik Aziz menepati dengan sejarah peradaban Islam untuk mencari kebenaran. PAS yakin dengan kemampuan Mursyidul Am dari segi keilmuan dan amalan yang memang telah teruji dan terbukti. Sebenarnya tindakan Tuan Guru Nik Aziz merupakan ulangan yang berkali-kali diajak oleh pemimpin PAS bagi menyelesaikan kemelut yang ada di negara ini dengan cara ilmiah. Pihak Umno sering menuding jari kepada PAS dengan tuduhan, PAS membawa ajaran yang sesat, parti anti perpaduan, menafsir Islam yang salah, parti yang menyekat kemajuan.

Malangnya segala tuduhan terhadap PAS hanya disiarkan sebelah pihak melalui media BN. Segala tuduhan ini tidak diberikan peluang untuk Pas menjawab balik.

PAS mengharapkan kesediaan Tuan Guru Nik Aziz untuk berdialog akan disambut dengan baik, jangan pula sampai waktu dan ketika maka diumumkan anak bulan tidak kelihatan, maka dialog dibatalkan.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Wednesday, February 2, 2011

Selamat Tahun Baru Cina

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia berbangsa Cina. Masyarakat Cina di Malaysia yang merupakan komuniti kedua terbesar di negara ini, merupakan juga penyumbang besar kepada pembinaan negara Malaysia.

Tahun Baru Cina yang biasanya dimulakan dengan semangat kekeluargaan dengan majlis makan besar setiap anggota keluarga merupakan sesuatu yang sangat baik ke arah membina masyarakat yang sejahtera. Di tengah kemelut masyarakat Malaysia yang berhadapan dengan keruntuhan moral dan jenayah yang parah, yang antaranya juga berpunca daripada keruntuhan institusi keluarga, masyarakat Cina tampil membawa budaya baik iaitu ‘makan besar’ yang merapatkan semangat kekeluargaan.

Kita juga berhadapan dengan kemelut ekonomi yang menyebabkan rakyat berhadapan dengan tekanan hidup akibat kenaikkan harga barang keperluan. Masyarakat Cina juga tidak terlepas menyambut Tahun Baru Cina dalam situasi tersebut. Keadaan ekonomi yang parah ini juga dibayangi oleh pengumuman-pengumuman manis pemerintah yang menjanjikan persekitaran ekonomi yang lebih baik, namun dalam masa yang sama keperluan rakyat terus terhimpit akibat salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku.

Saya menyeru kepada seluruh masyarakat Cina di negara ini, semoga terus melakukan perubahan untuk menukar pemerintah yang ada kepada Pakatan Rakyat, bagi mencuba alternatif yang baru untuk menyelesaikan kemelut ekonomi negara. Semoga dengan sambutan Tahun Baru Cina ini akan meningkatkan lagi hubungan kekeluargaan dan hubungan antara kaum di negara ini dan seterusnya berjaya membina masyarakat dan negara yang lebih sejahtera.

Selamat Tahun Baru Cina.

Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Kebangkitan rakyat Mesir: Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah

Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.

Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.

Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).

Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?

Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.

Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.

Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.

Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M

Islam Nasionalis Mengelirukan

Pegangan Islam nasionalis yang dipegang oleh Tun Dr Mahathir teruk dan mengelirukan. Acuan yang diikut bukan berdasarkan kepada apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Islam yang difaham oleh Tun dan rakan-rakan dalam Umno hanyalah alat untuk berpolitik dan membeli undi sahaja. Bercakap Islam ikut musim dan suasana, menjauhkan Islam ketika luar musim perayaan Islam. Fahaman inilah yang mengelirukan orang bukan Islam di negara ini, dengan tindak tanduk pemimpin Umno.

Parti Islam Se-Malaysia PAS merasa geli hati apabila mendengar kenyataan Tun yang mengatakan Tuan Guru Nik Aziz akan bersetuju jika pendapat rakan bukan Islam dalam Pakatan menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan.

PAS hendak mengingatkan kepada Tun bahawa Tuan Guru Nik Aziz bukanlah berpolitik sehingga menggadaikan prinsip agama dan memperalatkan agama seperti yang disangka oleh Tun. Banyak salah tanggapan terhadap Islam diperbetulkan oleh Tuan Guru Nik Aziz sepanjang memerintah Kelantan melalui tindakan dan amalan.

Yang menggunakan agama dan orang agama ialah pemimpin Umno seperti Tun Mahathir sendiri. PAS daripada dulu lagi menentang tindak tanduk Lee Kuan Yew dalam politik dan pandagan agama yang tidak betul. PAS tidak dengar pula Tun Mahathir marah, ketika ayam sabung beliau, Datuk Seri Najib menyerahkan tanah Keretapi Tanah Melayu kepada Singapura seluas 217 hektar. Kenapa beliau tidak berkokok, mungkin kerana kehendak dan nafsu serakah beliau ditunaikan oleh Datuk Seri Najib. Kenapa beliau marah dengan Tun Abdullah Badwi dalam setiap langkah yang dibuat oleh Tun Abdullah. Masyarakat nampak semua berpunca daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dizaman beliau.

Dakwaan Tun Mahathir mengatakan kewujudan PAS membawa perpecahan orang Melayu juga tertolak. Bukankah kewujudan Umno yang direstu oleh penjajah Inggeris. Malah ketika Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946, sudah ada parti Melayu yang pertama, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945. Malah ketika semua parti di tanah Melayu diharamkan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1948, yang dibenarkan hidup hanya Umno. Bukankah ini bukti kewujudan Umno untuk memecah belah peraduan Melayu dan menjadi alat penjajah untuk melawan sesama sendiri.

Kenapa hendak salahkan PAS dan Tuan Guru Nik Aziz apabila lahirnya Parti Semangat 46. Bukankah Tun merupakan orang yang bertanggungjawab di atas perpecahan di dalam Umno, sehingga lahir team A dan team B. Begitu juga lahirnya Parti Keadilan Rakyat kerana kebangkitan ahli Umno yang tidak puas hati dengan cara Tun memimpin parti pada waktu itu dan melakukan kezaliman terhadaap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apakah Islam nasionalis yang difahami oleh Tun menepati dengan kehendak Islam. Tindakan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memperlekeh hukum salam mungkin ini adalah anutan Islam nasionalis. Mungkin Soi Lek belajar daripada Tun yang pernah mengatakan bahawa Nabi simpan janggut , kerana tidak ada pisau cukur. Beliau juga melihat bagaimana isteri pemimpin Umno berpeluk dengan Shah Rukh Khan. Jadi tidak hairanlah Dr Soi Lek memperlekehkan hukum salam dalam Islam. Siapa gurunya?


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tuesday, February 1, 2011

Janji 100 Hari Untuk Rakyat, Bukan Untuk Kroni Najib

Parti Islam Se-Malaysia PAS berasa hairan dengan kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan janji 100 hari Pakatan Rakyat akan membawa anak cucu merana kerana tidak ada kemampuan kewangan.

Sepatutnya seorang Perdana Menteri mesti berfikiran positif apabila perancangan baik untuk rakyat di negara ini. Apakah salah apabila Pakatan Rakyat mengemukakan rancangan untuk manfaat majoriti rakyat? Salahkah Pakatan Rakyat hendak menghapuskan Felda Plantation dan membuka ladang-ladang baru kepada generasi kedua dan ketiga? Salahkah Pakatan Rakyat hendak menyusun kembali tol yang dianggap sebagai penyebab bebanan terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan peningkatan kos operasi. Salahkah Pakatan Rakyat untuk memberi imbuhan bulanan tambahan kepada guru RM500 sebulan?.

Datuk Seri Najib cuba menimbulkan keraguan tentang kemapuan kewangan jika janji 100 hari dilaksanakan. PAS mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana baru sedar tentang hal ini, kalau hendak belanja ukurlah kemampuan dahulu. PAS juga hendak mengingatkan kepada Datuk Seri Najib, janganlah kalau untuk kepentingan rakyat umum, tidak mampu, tetapi untuk kepentingan kroni mampu pula diluluskan peruntukan. Adakah Datuk Seri Najib sudah ambil kira kemampuan kewangan negara ketika mencadang untuk membina Menara Warisan 100 tingkat?. Wang sebanyak RM5 bilion mampu membina 1667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah dan mampu memberi biasiswa pelajar perubatan seramai 5 ribu orang di United Kingdom dengan kos RM1 juta seorang dan boleh menampung biasiswa 10 ribu pelajar di fakulti perubatan di Mesir. Kenapa peruntukan untuk Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang boleh dimanfaatkan hampir 3 juta di tiga negeri hanya RM178 juta iaitu 3.6% daripada kos pembinaan Menara Warisan

Apakah peruntukan untuk PERMATA yang dikendalikan oleh Datin Rosmah sebanyak RM111 juta tidak membazir, sedangkan untuk Sekolah Agama Rakyat RM95 juta.

PAS berasa hairan dengan kenyataan seorang Perdana Menteri yang mengatakan negara kita akan menjadi seperti negara Greece kalau ikut perancangan PR. Kenyataan yang sama juga ketika PAS memerintah di Kelantan pada tahun 1990. Pemimpin Umno mendakwa PAS hanya mampu memerintah selama 3 bulan sahaja. Dakwaan mereka hanya menurut kaca mata mereka yang penuh dengan rasuah, ketidakcekapan dan salah urus. Begitu juga ketika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu, pemimpin Umno kata ini perbelanjaan membazir. Pendek kata untuk rakyat semuanya membazir, kerana bimbang apabila rakyat senang, BN tidak ada harapan untuk menjerat leher pengundi dalam setiap pilihanraya.

PAS ingin menjawab keraguan Perdana Menteri Malaysia ragu tentang daripada mana sumber yang akan PR perolehi. Antara sumbernya ialah kita akan memerangi rasuah yang menyebabkan wang negara hilang sebanyak RM28 bilion. Pakatan Rakyat tidak akan membuat Persidangan Wanita Pertama seperti kendalian Datin Rosmah selama 3 hari hampir RM4.5 juta. Subsidi untuk penjana kuasa bebas sebanyak RM19 bilion perlu dikaji semula kerana membebankan negara.

PAS berkeyakinan janji 100 hari, Pakatan rakyat mampu laksanakan, berdasarkan pengalaman di Kelantan yang mampu memberi kebajikan kepada rakyat walaupun sumber yang terhad. Keadaan berbeza apabila Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat yang mempunyai sumber kewangan yang lebih luas untuk dijanakan bagi manfaat rakyat.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Ulama' Umno Pedagangkan Agama

Umno yang memperdagangkan Islam dan memperkudakan mereka yang arif dalam agama untuk menghalalkan apa tindakan Umno. Ucapan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menuduh PAS memperdagangkan agama kerana PAS telah melanggar fatwa dengan mencalonkan wanita menjadi calon di pilihanraya kecil Tenang.. Nampaknya fikiran Menteri yang jaga urusan agama sama seperti Tun Dr Mahathir yang membangkitkan isu yang sama.

PAS tidak hairanlah dengan Tun yang sudah berada di hujung senja, jika dibandingkan dengan Datuk Jamil Khir yang masih muda dan arif berkenaan agama. Mungkin beliau buat-buat lupa, kerana PAS pernah melantik Khatijah Sidik di Parlimen Dungun pada tahun 1959. Sila buka balik sejarah, baru boleh beri komen dan keluar hukum.

Kenyataan Presiden MCA Chua Soi Lek dan diikuti pula oleh Ketua Wanita Gerakan Datuk Seri Tan Lian Hoe yang memainkan isu Cikgu Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki adalah lambang orang agama dalam Umno gagal menerapkan Islam dalam BN. PAS boleh memberi maaf kepada dua tokoh daripada parti komponen BN yang tidak memahami situasi ini. Persoalannya apa yang tokoh-tokoh agama Umno buat sepanjang 53 tahun berkawan dengan MCA dan Gerakan untuk menerangkan masalah hukum asas. Mungkin mulut orang agama dalam Umno sudah penuh dengan sagon. PAS merasa bangga isu bersalam ini dijawab oleh rakan-rakan DAP dan PKR yang bukan Islam.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat