Tuesday, February 22, 2011

Buktikan Kenyataan TGNA Sesat?

Tuduhan Tun Mahathir yang mengatakan PAS telah longgar pegangan agama sejak berkawan dengan Pakatan Rakyat adalah tidak benar. Tolong buktikan di manakah kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang menyalahi syariat dan merugikan perjuangan Islam. PAS mempunyai bukti kenyataan Tun yang mengguris Islam dan umat Islam selama ini. PAS boleh buktikan dengan tahalluf siyasi Pakatan Rakyat lebih baik daripada Umno bersama Barisan Nasional dalam program Islamisasi. Masjid di negeri Pakatan Rakyat makmur dengan majlis ilmu sedangkan di waktu yang sama, di negeri Umno memerintah masjid mati sebelum penduduk mati. MCA berkawan dengan Umno 53 tahun gagal untuk memahami hukum salam lelaki dengan perempuan. Puncanya pemimpin orang seperti Tun gagal menunjukkan watak sebagai seorang Muslim yang hakiki.

Kenyataan Tun agak kelakar, kerana menuduh Tuan Guru Nik Aziz hanya hendak menang pilihanraya. Mana ada parti politik yang bertanding tidak mahu menang. Parti tupperware saja yang tidak mahu menang. Sepanjang Tun memimpin Umno, bermati-matian melanggar segala undang-undang dan mencabul demokrasi, semuanya kerana hendak menang pilihanraya.

Memang PAS hendak menang pilihanraya, supaya Islam dihayati. Bukan dapat kuasa supaya Islam dimatikan dan syiar Islam dipadamkan. Perjuangan PAS berbeza dengan umno. Umno menjadikan Islam sebagai alat, bukan matlamat. Sepanjang PAS bertahalluf dengan parti yang berlainan ideologi, tidak ada yang rugi kepada Islam dan PAS di negara ini. Malah PAS mengambil peluang untuk berdakwah dan menjelaskan keadilan Islam. Selama ini mereka kabur, membuktikan 53 tahun Umno gagal menjelaskan Islam yang sebenar.

Tun juga mengatakan PAS tidak bela penindasan umat Islam di luar negara. Mungkin Tun buat-buat lupa atau sengaja membuat tuduhan jahat kepada PAS. Seolah-olah PAS parti bawah tempurung sahaja, tanpa memperdulikan umat Islam lain yang tertindas. Tun tidak sedarkah peranan yang dimainkan oleh PAS dalam isu Pelestin, perang teluk, perang Afghanistan, Selatan Mindanou, Acheh. PAS membantu dengan sekadar kemampuan sebagai parti yang tidak memerintah negara dengan memberi nasihat dan menghantar barang-barang keperluan kepada mereka yang memerlukan ketika misi kemanusiaan ke negara tersebut.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment