Saturday, January 22, 2011
Malangnya Datuk Najib cuba mengalih isu debat kepada isu liwat. Nampaknya saf kabinet negara memang pemimpin lebai malang. Tan Seri Muhyiddin Yasin suruh Pakatan Rakyat naikkan gaji guru yang berkhidmat di negeri Pakatan. Manakala Datuk Ahmad Maslan Ketua Penerangan Umno merangkap Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri menyuruh negeri Pakatan Rakyat menurun harga barang di negeri pakatan. Kesemua pemimpin tertinggi Umno fikiran mereka satu skima sahaja gagal menjawab soalan yang berbentuk fakta. Sepatutnya menjawab masalah, bukan lari daripada masalah yang dibangkit.
PAS yakin Datuk Seri Najib bimbang dengan kadar inflasi pada tahun ini dijangka berada sekitar 2.5 hingga tiga peratus dan peningkatannya diramal lebih pantas menjelang separuh kedua ekoran pertumbuhan ekonomi dunia.
Penganalisis ekonomi AmResearch, Manokaran Mottain tidak menolak inflasi bakal meningkat lebih pantas sekiranya kerajaan melaksanakan cadangan di bawah rasionalisasi subsidi yang dikemukakan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu)
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Wednesday, January 19, 2011
Fwd: Hasil Perjuangan ANAK, Generasi Kedua Dapat 500 Lot Tanah
Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucap tahniah kepada perjuangan Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang dipimpin oleh Saudara Mazlan Aliman Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang telah berjaya menampakkan hasil, sehingga memaksa Datuk Najib Tun Razak selaku orang yang menjaga urusan FELDA meluluskan peruntukan sebanyak RM8.5 juta untuk 500 lot bagi generasi kedua Felda Johor.
PAS memanjat syukur kepada Allah kerana tuntutan untuk rakyat sudah di ambil berat oleh Datuk Seri Najib. Walaupun beliau mengumumkan sempena lawatan beliau ke Felda Chempelak dalam DUN Tenang. Apa yang pentingnya kerajaan sudah mula mengambil perhatian atas usaha gigih perjuangan ANAK selama ini.
Keputusan kerajaan mengambil berat masalah peneroka Felda kesan daripada kesedaran peneroka bahawa hak mereka selama ini dinafikan oleh kerajaan BN. Semuanya hasil perjuangan melalui wadah ANAK. PAS yakin keputusan ini dibuat terutama sambutan di kalangan masyarakat Felda amat menggalakkan, ditambah dengan janji 100 hari Pakatan Rakyat yang akan menghapuskan Felda Plantation yang dianggap tidak adil kepada rakyat.
PAS yakin stok penimbal Umno di Felda semakin reput, sebab itu tindakan Datuk Najib meluluskan projek di Tenang. Mungkin inilah risikan yang telah sampai kepada beliau, jika tidak generasi kedua akan beralih sokongan. PAS mengharapkan Datuk Seri Najib perlu juga mengumumkan peruntukan kepada generasi kedua selain daripada negeri Johor, kerana di seluruh negara terdapat 317 rancangan dengan bilangan 900,000 peneroka. Tidak adillah jika peneroka Johor sahaja yang dapat, kebetulan ada pilihnaraya kecil Tenang, bagaimana pula nasib peneroka yang tidak ada pilihanraya kecil.
Walau bagaimana pun PAS yakin peneroka sudah celik maklumat, terutama generasi muda Felda. Selama setengah abad hak mereka dinafikan oleh kerajaan BN. Sekarang baru kerajaan sedar untuk cakna kepada peneroka kerana BN tidak lagi boleh berada di zon selesa hasil daripada perjuangan ANAK di bawah kendalian PAS.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Monday, January 17, 2011
KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS : Kebangkitan Rakyat Tunisia
Lanjutan dari itu, maka kami menyeru agar semua kumpulan Islam yang ada di Tunisia perlulah diberikan peluang yang adil dan saksama melalui sistem politik demokrasi dalam proses membuat pemilihan menerusi pilihanraya yang akan dilaksanakan nanti. Pihak dari Barat pula yang memperjuangkan demokrasi moden ini perlulah menerima hakikat akan pilihan oleh rakyat Tunisia nanti, dengan tidak memberikan tekanan kepada mana-mana pihak terutamanya terhadap kumpulan Islam yang selama ini menghadapi berbagai tekanan dan tindakan zalim.
Islam ditekan dengan sebegitu lama sehingga menyebabkan ulama-ulamanya di kenakan tindakan yang zalim berupa hukuman dan ada yang hidup dalam buangan sejak sekalian lama. Sedangkan mereka ini cuba membawa kehidupan Islam yang wajar dijadikan contoh dalam kehidupan rakyat di Tunisia, setelah puluhan tahun Islam telah dipinggirkan di negara Tunisia ini.
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Isnin 12 Safar 1432 H / 17 Januari 2011
Friday, January 14, 2011
Ahli Akademik Pengampu Membisu Isu Rakyat
Parti Islam Semalaysia PAS berasa hairan dengan segelintir ahli akademik pengampu yang memberi kenyataan seperti ketua cawangan Umno. Mereka cuba berlakon seperti orang yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, hakikatnya masyarakat kampus kenal siapa mereka ini.
Mereka hanya memberi kritikan kepada pelan 100 hari Pakatan Rakyat yang dianggap boleh memusnahkan negara kerana negara akan pincang dari segi kewangan. Rakyat tidak dengar pula komen mereka mengenai projek Menara Warisan 100 tingkat yang bernilai RM5 bilion, peruntukan kepada projek PERMATA sebanyak RM111 juta, pada hal ia bukan sebuah kementerian, tarafnya seperti belia 4B Rembau sahaja. Ahli akademik pengampu ini membisu ketika wang negara di faraid kepada APCO Yahudi sebanyak RM77 juta setahun. Tidak memberi apa-apa komen mengenai subsidi kepada Penjana Kuasa (IPP) sebanyak RM19 bilion, sedangkan untuk 27 juta rakyat sebanyak 11bilion dihapuskan. Ketika rakyat bawahan mengikat perut kerana kenaikan harga barang akibat kenaikan harga petrol, waktu ini mana suara ahli akademik pengampu ini.
PAS juga hendak mengingatkan kepada ahli akademik jangan rosakkan nilai akademik dan memalukan status intelektual dengan memberi komen untuk mengampu dan tidak mempunyai nilai akademik. Mereka ini ialah kelompok yang tidak popular di kampus baik dari segi pengajaran dan penyelidikan. Kelebihan yang ada ialah mengampu penguasa negara dengan harapan untuk naik pangkat. Jangan kerana nila setitik, susu sebelanga rosak.
Ahli akademik yang hendak menjadi pengampu dan melawan arus kebangkitan rakyat supaya memikirkan dengan matang, sekarang bukan zaman batu, tetapi zaman rakyat boleh mengetahui maklumat beribu batu. Sepatutnya sebagai ahli akademik mereka cuba membentuk pemikiran rakyat dengan berfakta, walaupun teguran itu terkena kepada Pakatan Rakyat. Inilah politik Malaysia yang diidam-idamkan oleh rakyat Malaysia.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat