Monday, January 17, 2011

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS : Kebangkitan Rakyat Tunisia

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PARTI ISLAM SE-MALAYSIA

"Kebangkitan Rakyat Tunisia"

Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengalu-alukan tindakan tegas rakyat Tunisia yang telah bangkit menentang kezaliman yang wujud dalam negara mereka sejak sekalian lama. Hakikat yang perlu disedari ialah bahawa tiada mana-mana kuasa pemerintahan yang akan bertahan sampai bila-bila kecualilah kekuasaan kerajaan Allah SWT. Apatah lagi sekiranya pemerintah itu bertindak zalim terhadap rakyat dengan menafikan hak rakyat, sekaligus menidakkan peluang rakyat dalam sesebuah negara untuk membuat perubahan melalui demokrasi yang adil.

Lanjutan dari itu, maka kami menyeru agar semua kumpulan Islam yang ada di Tunisia perlulah diberikan peluang yang adil dan saksama melalui sistem politik demokrasi dalam proses membuat pemilihan menerusi pilihanraya yang akan dilaksanakan nanti. Pihak dari Barat pula yang memperjuangkan demokrasi moden ini perlulah menerima hakikat akan pilihan oleh rakyat Tunisia nanti, dengan tidak memberikan tekanan kepada mana-mana pihak terutamanya terhadap kumpulan Islam yang selama ini menghadapi berbagai tekanan dan tindakan zalim.

Islam ditekan dengan sebegitu lama sehingga menyebabkan ulama-ulamanya di kenakan tindakan yang zalim berupa hukuman dan ada yang hidup dalam buangan sejak sekalian lama. Sedangkan mereka ini cuba membawa kehidupan Islam yang wajar dijadikan contoh dalam kehidupan rakyat di Tunisia, setelah puluhan tahun Islam telah dipinggirkan di negara Tunisia ini.

Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Isnin 12 Safar 1432 H / 17 Januari 2011

No comments:

Post a Comment