Thursday, June 10, 2010

DPPP SELAR TINDAKAN KERJASAMA KERAJAAN MALAYSIA & APCO

KOTA BHARU, 10 Jun - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hasan menyatakan berita mengenai kerajaan Malaysia yang telah menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara di peringkat antarabangsa sangatlah memeranjatkan dan mendukacitakan.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS tidak boleh bertolak ansur dengan perlantikan firma asing semata-mata untuk membersihkan imej kepimpinan negara yang tercalar di peringkat antarabangsa.

Tambahan lagi apabila status kredibiliti syarikat APCO yang dilantik sangat diragukan kerana sayarikat tersebut mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis Israel.

"Kita didedahkan bahawa APCO mempunyai Majlis Penasihat Antarabagsa (IAC) dari pelbagai latar belakang dan pengalaman termasuklah bekas duta, pemimpin negara dan penasihat dari pelbagai badan dan organisasi dunia," katanya.

Malah, antara ketiga-tiga penasihat yang mempunyai bertanggungjawab itu mempunyai pengalaman bekerja dengan Israel.

Mereka ialah Doron Bergerbest Eilon [bekas pegawai kanan di Agensi Keselamatan Israel], Itamar Rabinovich [bekas duta Israel ke Amerika Syarikat & presiden Tel Aviv University ] dan Shimon Stein [ bekas duta rejim Israel ke Jerman ]

Dewan Pemuda PAS Pusat katanya, menyelar tindakan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian ini ketika kekejaman rejim Israel dan penderitaan di Palestin terutamanya Gaza masih tiada kesudahan seperti yang diperakui oleh semua pihak.

"Serangan darat dan udara oleh rejim Isreal tanpa henti ke atas ummat Islam Palestine bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda, tetapi kehilangan ribuan nyawa yang tidak berdosa tanpa mengenal usia dan jantina," jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam ucaptema Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sempena dengan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke 51 yang diadakan di Kelantan Trade Center, Kota Bharu yang bertajuk “Murniakan Perjuangan, Maknakan Kemenangan” yang telah dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

"Jelas sekali, pelbagai maklumat dan harta strategik negara telah terdedah kepada anasir luar negara seperti APCO Worldwide sepanjang perkhidmatan mereka, apatah lagi telah terbukti adanya hubungan APCO Worldwide dengan rejim zionis Israel," ujarnya.

Malaysia sebagai sebuah Negara yang menganggotai OIC, kerap kali menyuarakan kecaman terhadap kekejaman rejim zionis Israel.
"Oleh sebab itu, bagaimana mungkin Malaysia boleh membenarkan sebuah syarikat yang ada hubungan rapat dengan rejim zionis Israel untuk menguruskan perkara strategik negara?" soal beliau.

Justeru itu, Dewan Pemuda PAS amat kesal dengan sikap bermuka-muka dan hipokrit yang dipamerkan oleh kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN berhubung dengan perkara ini.

"Maka dengan ini Dewan Pemuda PAS mendesak agar perjanjian antara kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worlwide ini ditamatkan dengan serta-merta, atau kami akan menggerakkan rakyat untuk sekali lagi turun beramai-ramai menyatakan bantahan terhadap pengkhianatan ini," ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment