Sunday, June 13, 2010

Tidak Guna Tahu Memandu Tapi Tidak Tahu Jalan' - Mursyidul Am

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Tidak guna jika tahu membawa kereta tidak tahu jalan menuju ke sesuatu tempat, demikian ditegaskan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) petang ini.


Tambahnya, tiada gunanya jika seseorang itu tidak mengetahui jalan dan hanya sekadar pandai memandu kenderaan.

"Membawa Islam seperti membawa kereta, perlu tahu cara dan jalan yang hendak dituju," katanya kepada para pimpinan, perwakilan dan pemerhati.

Jelasnya, ketika membawa Islam perlu diingati bahawa pemandu pertama di kalangan manusia ialah Rasulullah saw yang memandu umatnya dengan menggunakan al-Quran dan sunnah.

Walaupun baginda tinggal bersama bapa saudara, Abu Talib yang membesarkannya itu tidak beragama Islam tetapi baginda tetap teguh mendapat pembelaan Abu Talib ketika baginda disiksa kaum Musyrikin Mekah.

Mengulas lanjut mengenai hal berkaitan, Menteri Besar Kelantan itu menceritakan beberapa kisah pada ketika itu yang dilakukan oleh Rasulullah termasuklah beberapa kerjasama bersama orang Yahudi sebelum berlakunya peristiwa hijrah ke Madinah.

"Baginda mengadakan sulh atau perbincangan dengan kalangan Yahudi termasuk Mut'am bin Adi, Abdullah Uraiqih termasuh peristiwa Hudaibiyah yang menyaksikan tindakan yang mengguris hati sahabat, Saidina Ali Abi Talib sebagai penulis surat perjanjian sehingga terpaksa memadamkan nama Rasulullah dalam surat tersebut.

"Ali tidak mahu tetapi Rasulullah mengambil air liurnya lalu memadamkan namanya sebagai syarat dalam perjanjian tersebut - ini merupakan antara panduan untuk mengadakan tahaluf siyasi dengan orang bukan Islam," ujarnya.

Justeru ujarnya jika timbul masalah berkaitan tahaluf siyasi maka perlu merujuk kepada sejarah Islam.

Tuan Guru turut menyentuh mengenai kepentingan bertindak secara berhikmah termasuk menggunakan kata-kata yang baik ketika bertutur.

"Kita hendaklah bergerak dan bertindak secara berhikmah sebagaimana dianjurkan al-Quran," katanya.

Beliau menegur sesetengah perwakilan yang menggunakan perkataan yang boleh melukakan hati pihak yang lain dalam perbahasan muktamar semalam.

"Jangan guna perkataan yang tidak disukai seseorang," katanya lagi.

Tuan Guru juga menyahut saranan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa agar menjadikan Rejab sebagai bulan Isra' Mikraj dan juga bulan Palestin dan Gaza.

No comments:

Post a Comment