Sunday, June 13, 2010

Pindah kemarahan & kebencian ke dalam Peti Undi - YB MAHFUZ

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Setiap ahli dalam PAS perlu mengambil kesempatan dalam suasana kemarahan rakyat kian memuncak kepada kerajaan di bawah pimpinan Umno-BN untuk memindahkan kemarahan tersebut dalam bentuk sokongan kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum kelak.

Penegasan tersebut dibuat Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) pagi ini.

"Kemarahan dan kebencian terhadapa Umno kini cukup tinggi kerana mereka mengharapkan perubahan berlaku dalam tempoh terdekat.

"Maka apa yang penting adalah bagaimana untuk menterjemahkan kemarahan rakyat tersebut ke dalam peti undi untuk memberikan sokongan kepada Pakatan rakyat pada pilihan raya," ujarnya kepada perwakilan dan pemerhati.

Perkara ini ujarnya tidak boleh dibiarkan dan tindakan yang secara strategik, kritis dan tektikal perlu dilakukan.

"Kita kena selami apa yang berlaku dalam masyarakat dan jika kita gagal maka kesannnya akan merugikan masa depan rakyat dan negara," katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz juga mengingatkan agar tindakan yang ingin dilakukan itu perlu disesuaikan dengan perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat berdasarkan lokaliti.

"Untuk memastikan perkara ini direalisasikan memerlukan anjakan paradigma daripada segenap peringkat sama ada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

"Ianya pastikan tidak bercanggah dengan ajaran Islam," ujarnya lagi.

Turut diketengahkan Mahfuz agar semua entiti dalam PAS perlu mencari rakan strategik untuk memastikan segala matlamat yang digariskan PAS tercapai.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menyatakan PAS kini sedang menguruskan beberapa isu penting yang sedang berlaku dalam negara dalam bentuk tindakan termasuk yang terbaru isu judi sukan.

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa khas yang dibentuk bagi menguruskan isu-isu yang kian melambak yang dibuat secara agihan.

"Contohnya terdapat kaitan antara isu judi-yahudi-GST-subsidi tetapi isu gerakan Mansuhkan Judi atau GMJ yang diserahkan tugas kepada Dewan Pemuda PAS Pusat," katanya lagi.


Sambil mengucapkan tahniah kepada Pemuda, Mahfuz mencadangkan agar semua yang akan turun menyertai perhimpunan anjuran GMJ pada 3 Julai nanti mengenakan jersi bola sepak serta membawa sebiji bola sepak.

"Ia merupakan simbolik kepada mesej kita mengatakan ya pada bola tetapi tidak kepada judi," katanya sambil disambut gelak ketawa serta kedengaran perwakilan berbisik-bisik antara satu sama lain.

Pada awal ucapannya, beliau sempat mengimbau kenangan bersama bekas perwakilan dari Kupang, Ustaz Suhaimi yang berani memberi teguran kepada pimpinan.

"Saya dapati tiada lagi sindiran yang pedas dan tajam seperti arwah Ustaz Suhaimi dari Kupang, Kedah yang berani memberi teguran termasuk kepada Presiden PAS.

"jangan takut kerana kita (pimpinan) bersikap terbuka kerana kita menganggap ahli adalah cermin kepada pemimpin bagi melihat kedudukan atas landasan yang betul," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment