Wednesday, June 9, 2010

KEMERIAHAN MUKTAMAR PAS SUDAH BERMULA

PENGKALAN CHEPA, 9 Jun - Sesuai dengan temanya, Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 yang berlangsung di Pusat Tarbiyyah Islam Kelantan (Putik) membuka tirainya dengan begitu baik sekali.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan daripada pintu masuk ke negeri Cik Siti Wan Kembang daripada Lembah Kelang mendapati para perwakilan dan pemerhati disambut dengan kain rentang dan bendera yang menghiasi gerbang di daerah Gua Musang.

Ianya turut kelihatan di beberapa bandar utama seperti Gua Musang, Machang, Ketereh, Kota Bharu, dan lain-lain.

Jalan-jalan di sekitar bandar yang menjadi lokasi muktamar dewan-dewan seperti Dewan Pemuda di Kelantan Trade Center di Kota Bharu, Dewan Ulama di Markaz Dewan Ulama (Madu) di Machang dan Dewan Muslimat di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan.

Manakala di Putik yang merupakan lokasi bagi muktamar penuh pula meriah dengan gerai-gerai yang telah beroperasi sejak beberapa hari sebelum tarikh ianya bermula iaitu 11 Jun.

Perasmian ekspo dan gerai-gerai tersebut disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah semalam yang di ikuti ceramah yang disampaikan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Antara keistimewaan acara tahunan parti Islam Se-Malaysia pada kali ini ialah pameran sempena 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan serta bukan kerajaan yang bertempat di ruang lobi Putik.

Selain itu, satu jamuan rakyat juga akan diadakan sempena perasmian muktamar tersebut dengan menu istimewa gulai kawah beserta umbut kelapa.

Pelbagai acara telah diatur bagi memeriahkan muktamar yang berlangsung beberapa minggu selepas Kongres Parti Keadilan Rakyat pada 28 Mei lalu.

Ianya termasuk ceramah perdana serta sambutan jubli emas Dewan Muslimat PAS Pusat.

No comments:

Post a Comment