Tuesday, June 15, 2010

Kenyataan Media PRESIDEN PAS: Ucapan Takziah Di Atas Pemergian Almarhum Ustaz Hasan Shukri Ke Rahmatullah

KENYATAAN MEDIA

UCAPAN TAKZIAH DI ATAS PEMERGIAN
ALMARHUM USTAZ HASAN SHUKRI KE RAHMATULLAH

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga, ahli PAS, seluruh pendukung dan pejuang Islam yang dirundung kesedihan setelah pulangnya Ustaz Hj. Hassan Shukri ke rahmatullah pada petang hari Isnin 14 Jun 2010.

Sumbangan Almarhum kepada perjuangan Islam di Malaysia dan dunia Islam tidaklah dapat diungkapkan dengan catatan tulisan yang memenuhi penulisan sejarah yang pernah dibukukan. Almarhum adalah merupakan kutubkhanah organisasi dan perlembagaan PAS, terus berkhidmat dengan parti hingga ke saat beliau menemui Tuhan Rabbul Jalil. Sesungguhnya, nadi perjuangan yang ditiupkan oleh Almarhum akan terus berdenyut dalam PAS, merupakan satu contoh kepimpinan parti yang gigih dan istiqamah di kala senang dan susah, untuk memimpin ahli dan seluruh warga parti tanpa mengenal jemu dan lelah. Biar pun Almarhum meninggalkan kita, tetapi jadikanlah ceramah, taklimat, perbualan beliau sebagai pemberi semangat kepada kita yang tinggal untuk meneruskan perjuangan Islam di muka bumi ini.

Bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS, sekali lagi saya merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai, pendukung dan penyokong PAS di serata tempat agar dapat bersabar dengan ketentuan Allah SWT ini. Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, InsyaAllah.


DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
2 Rejab 1431 H / 14 Jun 2010 M

ISLAM ADIL UNTUK SEMUA

sumber : presiden.pas.org

No comments:

Post a Comment