Tuesday, June 8, 2010

Jangan anggap usul Naib Presiden Muslimat isu feminisme

KUALA LUMPUR, 8 Jun - Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Siti Zailah Mohd Yusoff (gambar) meminta semua perwakilan muktamar supaya tidak menganggap usul ‘Naib Presiden Muslimat’ sebagai isu feminisme.

Bercakap ketika merasmikan Kempen Meriahkan Jubli Emas DMP semalam, beliau berkata, cadangan tersebut sekadar untuk mengiktiraf sumbangan muslimah sebagai tiang seri pada pergerakan Islam PAS.

“Usul muslimat ini semata-mata untuk mengiktiraf sumbangan muslimat dan bukan niat kita sebenarnya untuk mengejar jawatan itu,” ujar beliau.

Melihat pada representasi muslimah dalam Dewan Harian iaitu hanya Ketua DMPP sahaja, beliau berpandangan bahawa usul yang dibuat itu adalah suatu keperluan demi memperkukuhkan pergerakan PAS pada masa depan.


Pun begitu, beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, para perwakilan seharusnya terlebih dahulu meneliti mekanisme berkaitan tiga kerusi Naib Presiden sebagaimana yang telah pun termaktub dalam Fasal 14, Perlembagaan PAS.

“Memang perlembagaan kita (PAS) tidak menghalang pencalonan muslimah untuk kerusi Naib Presiden, namun mekanisme khusus perlu sekiranya perwakilan bersetuju dengan usul Dewan Muslimat PAS tersebut,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya ditambah satu lagi kerusi Naib Presiden yang hanya menerima percalonan muslimat sahaja, di samping tiga kerusi Naib Presiden yang sedia ada terus dibenarkan muslimat untuk bertanding secara terbuka bersama-sama perwakilan muslimin.

Bagaimanapun, beliau memulangkan kepada para perwakilan untuk memperhalusi cadangan tersebut atas semangat untuk memperkukuhkan parti.

Ditanya tentang kesediaan perwakilan muslimat dalam menerima usul tersebut, beliau berkata, kepemimpinan DMPP umumnya bersedia untuk menggalas cabaran tersebut sekiranya usul tersebut diterima.

Namun, beliau berkata, rata-rata perwakilan muslimat mungkin masih menganggap bahawa kepemimpinan muslimin lebih diperlukan untuk mengisi jawatan setinggi itu di peringkat parti.

Bercakap pada sidang media yang sama di Pejabat Agung PAS itu, Ketua Lajnah Dakwah DMPP, Aiman Athirah al-Jundi pula berpandangan bahawa cadangan tersebut tidak wajar dijadikan usul dalam muktamar kali ini, walaupun beliau mengakui keperluan muslimat mengisi jawatan itu seperti yang dijelaskan oleh Siti Zailah.

Ini kerana, usul tersebut boleh menggamit para perwakilan untuk berbahas atas dasar gender walaupun niat kepemimpinan DMPP sebenarnya demi memperkukuh serta mengangkat peranan muslimat di dalam parti.

Tambahnya lagi, mana-mana kepemimpinan DMPP sepatutnya bertanding secara terbuka untuk ketiga-tiga kerusi Naib Presiden yang sedia ada sekiranya mereka merasa keperluan muslimat dalam memperkukuhkan parti.

Baginya, usul tersebut seakan tidak menggalakkan pendemokrasian dalam memilih kepemimpin terbaik di peringkat parti, sedangkan kaum wanita dalam sektor awam dan swasta sebelum ini telahpun membuktikan bahawa mereka berkemampuan dalam mengisi jawatan strategik dalam sektor masing-masing.

No comments:

Post a Comment