Sunday, June 13, 2010

Pindah kemarahan & kebencian ke dalam Peti Undi - YB MAHFUZ

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Setiap ahli dalam PAS perlu mengambil kesempatan dalam suasana kemarahan rakyat kian memuncak kepada kerajaan di bawah pimpinan Umno-BN untuk memindahkan kemarahan tersebut dalam bentuk sokongan kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum kelak.

Penegasan tersebut dibuat Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) pagi ini.

"Kemarahan dan kebencian terhadapa Umno kini cukup tinggi kerana mereka mengharapkan perubahan berlaku dalam tempoh terdekat.

"Maka apa yang penting adalah bagaimana untuk menterjemahkan kemarahan rakyat tersebut ke dalam peti undi untuk memberikan sokongan kepada Pakatan rakyat pada pilihan raya," ujarnya kepada perwakilan dan pemerhati.

Perkara ini ujarnya tidak boleh dibiarkan dan tindakan yang secara strategik, kritis dan tektikal perlu dilakukan.

"Kita kena selami apa yang berlaku dalam masyarakat dan jika kita gagal maka kesannnya akan merugikan masa depan rakyat dan negara," katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz juga mengingatkan agar tindakan yang ingin dilakukan itu perlu disesuaikan dengan perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat berdasarkan lokaliti.

"Untuk memastikan perkara ini direalisasikan memerlukan anjakan paradigma daripada segenap peringkat sama ada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

"Ianya pastikan tidak bercanggah dengan ajaran Islam," ujarnya lagi.

Turut diketengahkan Mahfuz agar semua entiti dalam PAS perlu mencari rakan strategik untuk memastikan segala matlamat yang digariskan PAS tercapai.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menyatakan PAS kini sedang menguruskan beberapa isu penting yang sedang berlaku dalam negara dalam bentuk tindakan termasuk yang terbaru isu judi sukan.

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa khas yang dibentuk bagi menguruskan isu-isu yang kian melambak yang dibuat secara agihan.

"Contohnya terdapat kaitan antara isu judi-yahudi-GST-subsidi tetapi isu gerakan Mansuhkan Judi atau GMJ yang diserahkan tugas kepada Dewan Pemuda PAS Pusat," katanya lagi.


Sambil mengucapkan tahniah kepada Pemuda, Mahfuz mencadangkan agar semua yang akan turun menyertai perhimpunan anjuran GMJ pada 3 Julai nanti mengenakan jersi bola sepak serta membawa sebiji bola sepak.

"Ia merupakan simbolik kepada mesej kita mengatakan ya pada bola tetapi tidak kepada judi," katanya sambil disambut gelak ketawa serta kedengaran perwakilan berbisik-bisik antara satu sama lain.

Pada awal ucapannya, beliau sempat mengimbau kenangan bersama bekas perwakilan dari Kupang, Ustaz Suhaimi yang berani memberi teguran kepada pimpinan.

"Saya dapati tiada lagi sindiran yang pedas dan tajam seperti arwah Ustaz Suhaimi dari Kupang, Kedah yang berani memberi teguran termasuk kepada Presiden PAS.

"jangan takut kerana kita (pimpinan) bersikap terbuka kerana kita menganggap ahli adalah cermin kepada pemimpin bagi melihat kedudukan atas landasan yang betul," katanya lagi.

PEMUDA SEDIA CIPTA PEMBAHARUAN DALAM PAS - Ustaz Nasarudin Hassan Tantawi

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi menyeru semua ahli dan pimpinan mengorak langkah ke seluruh negara mengumpul daftar pemilih serta bangun berdemontrasi melawan lesen judi bola pada 3 Julai nanti.

Beliau yang mewakil Dewan Pemuda menyeru para pemuda PAS bersiap sedia menjadi rijal tagyir dalam mencipta pembaharuan dalam PAS.

Memberitahu Pemuda yang mendepani isu pengundi muda 2.2 yang tidak berdaftar untuk mengundi akan dilaksanakan melalui agenda rangka kerja bersama pemuda untuk melakukan gerak-gempur ke seluruh negara, turun padang untuk meraih undi dari orang Melayu dan bukan Melayu.

Dalam perlaksaaan ini, pemuda katanya akan bersama pemuda Pakatan Rakyat bersama-sama menjayakan gerak-gempur ini.

Selain dari itu, beliau juga berharapa program tersebut juga akan dijalankan di peringkat kawasan dan negeri di samping cuba memberikan penerangan dalam beberapa isu yang dimainkan oleh Media UMNO dan BN sejak akhir-akhir ini, supaya setiap pengundi mendapat penjelasan yang baik dalam setiap isu yang dimainkan oleh BN sekalipun mereka kurang terdedah dengan maklumat dari internet.

Beliau berharap agar usaha ini dengan sendirinya dapat menangani tohmahan yang dilemparkan oleh UMNO dan BN selama ini.

Beliau juga menyarankan agar seluruh ahli dan pimpinan turun menyertai demontrasi membantah Judi Bola pada 3 Julai nanti.

Bagi menjayakan lagi bantahan ini, beliau turut menyeru semua mufti di setiap negeri untuk turun bersama menyertai demontrasi ini.

Mengakhiri ucapan tersebut,beliau menyeru semua ahli bangun menentang kerajaan yang menerima Yahudi sebagai penasihat pentadbiran UMNO dan BN.

Tugas penerangan, sampaikan kepada Pengundi - UST IDRIS AHMAD

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad hari ini mengumumkan beberapa isu yang perlu dijawab dan disampaikan kepada para pengundi di kawasan luar langkah awal menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

Isu-isu tersebut adalah sebagai menjawab tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan oleh UMNO terhadap PAS.

"Antara isu-isu tersebut adalah UMNO khianati agama dengan membina masjid tanpa mengimarahkannya, UMNO khianati tanah orang Melayu seperti kes tanah rizab yang berlaku di Perak, UMNO menderhakai Raja dan UMNO khianati orang Melayu," jelasnya dalam sesi menjawab persoalan perwakilan pagi tadi.

Beliau berkata, pihak Penerangan PAS Pusat telah membuat kenyataan yang berbentuk artikel bagi menjawab isu-isu tersebut dan berharap agar semua Ketua Penerangan PAS di semua peringkat cawangan, negeri dan kawasan akan menghubungi beliau melalui emel bagi mendapatkan artikel-artikel tersebut seterusnya mencetak dan menyebarkan risalah tersebut ke seluruh kawasan pendalaman di setiap pelusuk negeri.

Beliau menegaskan bahawa tugasan menyampaikan maklumat perlu sampai ke rumah pengundi untuk menyampaikan risalah tersebut.

"Namun begitu, ceramah juga perlu terus dibuat dan setiap kita perlu menjadi jentera penerangan dan menyampaikan maklumat sebenar kepada masyarakaT" katanya lagi

Tambahnya, video klip penerangan yang menayangkan segala pengkhianatan UMNO terhadap rakyat juga akan dibuat dan bakal diedarkan kepada semua pengundi sasaran.

Pada masa yang sama, pendekatan melalui media-media baru seperti Facebook dan Twitter juga akan terus dibuat bagi mendekati dan menyampaikan maklumat kepada golongan kelas pertengahan dan terpelajar.

AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR SECARA BERJAMAAH - Ustazah Nuridah

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Menyentuh isu kelahiran anak luar nikah yang semakin berleluasa di negara ini, Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat menggariskan beberapa faktor yang menjadi punca hal ini berlaku.

Faktor utama adalah kurangnya penghayatan dan pembinaan jati diri Islam di kalangan umat Islam sendiri. Ibu bapa bertanggungjawab penuh dalam memastikan agama Islam dihayati di dalam keluarga.

Begitu juga dengan perlaksanaan undang-undang negara yang jauh dari ajaran Islam yang menyebabkan gejala sosial semakin menjadi-jadi. Beliau berharap pihak media massa berperanan dengan lebih baik dalam membantu menangani masalah yang kian meruncing dalam masyarakat kita.

Beliau turut menyeru agar semua peringkat masyarakat mengambil peranan dalam menjalankan amar makruf nahi mungkar. "Sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad yang tidak berdakwah secara bersendirian tetapi secara berjemaah," ujarnya.

Oleh itu, beliau mohon agar ahli-ahli PAS membawa bersama anak dan isteri menyertai PAS, sebagai tanda kasih kepada keluarga.

Menyentuh isu penglibatan muslimat di semua peringkat, beliau amat kecewa kerana hampir suku dari jumlah keseluruhan cawangan, tiada ketua muslimat di cawangan tersebut.

Di akhir ucapan, beliau memberi jaminan muslimat akan turun bersama-sama dalam demonstrasi 3 Julai nanti.

SUMBANGAN DANA KOMPLEKS PAS - Dr. Hatta Ramli

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Bendahari PAS Pusat Dr Mohd Hatta Ramli dalam menjawab persoalan salah seorang perwakilan berkata, kompleks baru PAS yang dirancang pembinaannya merupakan satu keperluan semasa kepada jemaah.

Bagi merealisasikan hasrat segera ini, selain melalui sumbangan sijil wakaf, kutipan akan diteruskan dalam bentuk konvensional dan bukan konvensional seperti melalui surat rayuan dan emel.

Berkenaan defisit dalam kewangan PAS, beliau berkata hal tersebut adalah benar tetapi perwakilan tidak perlu bimbang kerana PAS masih mempunyai aset yang boleh dicairkan.

Tambahnya, sumber kewangan PAS yang utama ialah daripada sumbangan ahli yang merupakan sumbangan terbesar selain sumbangan daripada pimpinan dan ahli parlimen PAS.

Selain itu katanya, sebahagian ruang tingkat bawah bangunan Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur telah disewakan kepada muslimat untuk dijadikan kafetaria untuk dewan itu menjana pendapatan parti.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan seruan memohon sumbangan selama ini diteruskan kerana dana yang ada masih jauh dari mencukupi.

A STRATEGI TEKTIKAL JPP - Dato' Hj Abdul Halim Abdul Rahman

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - YB Ustaz Dato' Hj Abdul Halim Abdul Rahman menjelaskan bahawa menjelang pilihanraya Umum ke-13 akan datang PAS bakal menumpukan strateginya kepada dua segi iaitu stategi politik (political strategy) dan strategi taktikal (tactical strategy).

Beliau sebagai Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat itu berkata, strategi secara politik dan taktikal ini menjadi penanda aras tahap kesediaan dan kemampuan bagi setiap kawasan menghadapi pilihanraya nanti.

"4 item penting dalam strategi taktikal ialah pertama, setiap kawasan mengundi mesti mempunyai satu cawangan atau sekurang-kurangnya Jawatankuasa Unit Peti Undi (UPU)," terang beliau.

Jelasnya, Unit Peti Undi ini penting bagi membantu kerja-kerja pendaftaran pengundi dan gerak kerja semasa pilihanraya.

Kedua, menubuhkan Unit Pendaftaran Pengundi Negeri (UPPN) di setiap peringkat negeri dengan mempunyai bilangan sasaran pengundi yang perlu didaftarkan menjelang pilihanraya.

Ketiga, penyediaan dana untuk pilihanraya sebanyak RM 5000.00 bagi setiap UPU berdasarkan buku panduan dana yang akan diedarkan ke setiap negeri.

Keempat, penubuhan Institut Latihan PAS (ILPAS) di peringkat PAS Pusat bagi menyediakan para petugas pilihanraya yang mantap.

ILPAS mensasarkan kira-kira 50-60 orang petugas mahir dan amilin yang mantap melalui penyediaan 4 modul iaitu asas perjuangan PAS adalah ibadah, model perundangan pilihanraya, strategi pilihanraya dan teknikal yang terlibat sepanjang gerak kerja piliharaya seperti agen tempat mengundi (polling agent), agen kira undi (counting agent) dan undi pos.

Berkenaan calon bukan Islam, beliau memberitahu, "Kita juga mungkin mempertimbangkan untuk menghantar calon bukan Islam bagi mewakil PAS dan menghantar calon wanita di kawasan mengundi sewajarnya sebagai strategi politik nanti".

Segala panduan dan perancangan sistematik yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Pilihanraya PAS Pusat diharap dapat dijadikan panduan agar seluruh gerakan tenaga JPN dan JPRK dapat digembleng sebaiknya demi memacu PAS mencapai kemenangan dalam Pilhanraya Umum ke-12 akan datang.

PENUBUHAN DHPP TIDAK CANGGAH PRINSIP SYARIAH - DR. MUJAHID

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr. Mujahid Yusuf Rawa menerangkan tentang rentetan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS menerangkan permulaan penubuhan Kelab Penyokong PAS yang bermula pada hujung tahun 2004.

Jelasnya, selama hampir 5 tahun tempoh yang diambil dan sebelum dewan ini ditubuhkan dan beberapa peringkat telah dilalui sebelum ia benar-benar direalisasikan pada 23 Mei yang lalu.

"Draf awal yang dibentuk oleh Ustaz Hassan Shukri telah dibentang sebanyak 3 kali dan dibuat pembaikan sebelum diterima sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa PAS pada 10 Januari yang lalu," terangnya.

Melalui penubuhan dewan ini katanya, maka PAS telah melakar satu sejarah agung apabila menjadi satu-satunya parti Islam yang mempunyai ahli dari kalangan orang bukan Islam.

Sehubungan itu katanya, pihak lajnah telah membuat penerangan di seluruh negara tentang apa tindakan ahli PAS bagi menyambut kelahiran 'anak' yang baru lahir ini.

Berkenaan hak dan kedudukan mereka dalam parti pula, semuanya terdapat di dalam Aturan dan Peraturan yang telah dibentuk. Beliau meminta Dewan Himpunan menyediakan ruang untuk pihak lajnah turun ke negeri-negeri bagi menerangkan aturan ini.

Oleh itu, beliau turut meminta agar ahli lajnah menjadi fasilitator dan membantu agar proses ini berjalan lancar. Bagi memastikan penubuhan dan perjalanan dewan ini tidak menyeleweng dari dasar PAS, maka Dewan Himpunan telah berikrar untuk:

1- Menjunjung dasar perjuangan PAS.
2- Mentaati arahan pimpinan.
3- Menjaga nama baik PAS

Satu lembaga penasihat telah ditubuhkan bagi tujuan memberi bimbingan kepada dewan. Ianya bukan bersifar pengawasan kerana mereka tetap dibenarkan bebas bergerak.

Beliau turut memberi jaminan kepada semua ahli bahawa apa sahaja tindakan yang diambil oleh PAS tidak akan bercanggah dengan prinsip syariah kerana setiap perkara akan dirujuk kepada Majlis Syura.

PEKA SENTIMEN GOLONGAN WANITA - DR. MARIAH MAHMUD

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Pimpinan PAS adalah diingatkan agar lebih peka dengan istilah-istilah yang tidak menyinggung mana-mana pihak khususnya golongan wanita yang mewakili lebih 50% pengundi.

Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, sebagai sebuah kerajaan yang akan memerintah (government in waiting), PAS dan Pakatan Rakyat perlu lebih peka dengan beberapa istilah atau bahasa yang akan menyinggung perasaan golongan wanita khasnya dan mana-mana golongan lain secara umum.

"Sebagai contoh, isu poligami. Ia seharusnya dihormati dan bukan dibuat gurauan. Secara umum ia masih menajdi isu yang agak sensitif kerana ramai lagi diluar sana, wanita dan anak-anak menjadi mangsa ketidakadilan pengamal poligami yang tidak mengikut landasan syariah sebenarnya," sambungnya yang turut menegaskan bahawa ia bukan bermaksud muslimat menentang hukum poligami.

Dalam ucapan ketika sesi menjawab persoalan perwakilan itu juga, beliau yang mewakili YB Dr Lo' Lo' Ghazali bagi Lajnah Kebajikan PAS Pusat turut memperingatkan sidang muktamar agar dalam mana-mana program umum untuk lebih peka kepada keperluan bukan muslim khususnya menu makanan.

'SKUAD PRIHATIN', PAS LEBIH DAHULU JUARAI KEBAJIKAN RAKYAT - DR. MARIAH MAHMUD

PENGKALAN CHEPA,13 Jun - PAS mestilah menjuarai hal-hal kebajikan dan kepedulian masyarakat di Malaysia dan antarabangsa untuk semua kaum dan agama.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Dr. Siti Mariah Mahmud, mewakili YB Dr Lo' Lo' Ghazali dalam sesi menjawab persoalan perwakilan oleh Lajnah Kebajikan PAS Pusat.

"Semua kawasan dan negeri mestilah menubuhkan dan mengaktifkan 'Skuad Prihatin' yang telah dilancarkan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat", tambahnya lagi.

"Konsep yang telah digariskan oleh Skuad Prihatin ini adalah pertamanya, melebihkan mesra serta kasih sayang dan keduanya, kurangkan menghukum serta menilai orang lain terlebih awal," tegasnya lagi.

Bagi membantu semua pimpinan setempat, Skuad Prihatin ini turut digesa agar menjalankan usaha kebajikan berteraskan formula KBSM iaitu menjalankan aktiviti ziarah semasa kenduri, bersalin, sakit dan kematian.

Usaha ini juga digesa untuk dilaksanakan secara berterusan dan tidak hanya bermusim sahaja.

Sementara itu, dikesempatan yang sama, beliau juga menyarankan semua pihak mendidik masyarakat Islam khususnya untuk menjaga kebersihan khususnya di masjid dan surau.

Beliau juga menggesa pihak ulama' muda untuk turun bersama Skuad Prihatin dalam menangani masalah sosial termasuklah masalah dadah, HIV/AIDS, zina, pelacuran, rempit dan sebagainya.

PIMPINAN PAS PERLU TURUN AMBIL TAHU HAL AHLI - HANIFA MAIDIN

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Penasihat Lajnah Guaman PAS Pusat (JUHAM), Hanipa Maidin berpendapat bahawa isu PAS untuk menyaman kerajaan Malaysia berkaitan dengan APCO Worldwide dalah kurang releven melainkan mahkamah Malaysia di adalah seperti di England.

Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini yang melibatkan parti dengan mahkamah, hakim di Malaysia berfikiran PAS suka menyibuk dan membuang masa.

Walau bagaimanapun, beliau akan membawa isu ini ke peringkat pusat untuk dibincangkan dan dikaji.

Selain itu, beliau juga menyentuh isu kezaliman yang dilakukan oleh Israel supaya jangan lupa dikaitkan bahawa polis dan UMNO di Malaysia adalah sama sahaja seperti Israel.

"Sebagai contoh, polis di Malaysia sanggup tidak menunaikan solat dalam menjalankan tanggungjawab menangkap aktivis-aktivis semasa demostrasi kriket,

"Mereka juga biadap semasa penangkapan Mat Sabu ketika berlangsungnya majlis perkahwinan anak sulungnya... memecah cermin tingkap kereta... tindakan ini jelas zalimnya polis Malaysia," jelasnya.

Tambah, pimpinan atasan PAS juga diingatkan agar peka terhadap isu semasa yang berlaku di peringkat bawahan di mana apabila ada ahli PAS yang sanggup berkorban masa berkerja dan bermotosikal dari jauh untuk mengiringi pimpinan PAS ke mahkamah.

Kepekaan ini harus diambil peduli oleh semua pimpinan untuk mengambil tahu masaalah dan keperluan ahli jemaah di peringkat bawahan.

Sebagai Pengamal undang-undang, beliau kesal kerana terdapat perwakilan yang ingin menyuarakan tentang hak kemanusiaan disekat dan tidak berpeluang untuk mengupas dengan lebih lanjut.

Sebagai sebuah parti Islam, PAS perlu menonjolkan kepada masyarakat bahawa Islam terlebih dahulu bercakap tentang hak manusia berbanding dengan yang lain.

"Demi keperluan parti, harapan kepada para ulamak dan ustaz agar lebih berani berhujah selain menggunakan nas al-Quran ketika bermujadalah,

"Ini dianggap penting dalam gerak kerja dakwah kepada golongan Etis dan golongan Islam Liberal seperti Sister in Islam," tambahnya lagi.

TANAH : PAS DEDAH PENYELEWENGAN UMNO - MAZLAN ALIMAN

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman mengajak PAS memberi kesedaran yang mantap kepada masyarakat Felda di atas penyelewengan pentadbiran UMNO dan BN terhadap masalah masyarakat Felda.

"Bagi mendedahkan agenda untuk menyedarkan masyarakat, PAS perlu mengadakan pelbagai program ke arah itu, termasuklah temubual, seminar dan program-program lain selain dari ceramah bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan FELDA dan FELCRA," ujarnya dalam sesi jawab persoalan perwakilan semalam.

Menyentuh hak tanah masyarakat, beliau menjelaskan satu persiapan himpunan masyarakat yang tidak mendapat keadilan dari kerajaan negeri akan diadakan.

"Usaha ini juga adalah bertujuan menyedarkan rakyat berkenaan kezaliman kerajaan BN yang tidak adil kepada rakyat dan juga merupakan perampas rakyat,dan kerajaan BN perlu dijatuhkan dengan segera," katanya.

Begitu juga dengan masalah penyelewengan hak yang berlaku ke atas masyrakat Felcra, beliau memberitahu satu perhimpunan sedang diaturkan pada 1 ogos bertujuan bagi memperolehi keadilan yang sejagat terhadap kepincangan yang berlaku.

"Masyarakat melayu boleh berubah, perubaahan besar akan berlaku pada masa akan datang," tambahnya.

Beliau sebelum itu turut mempromosikan sebuah buku "Dulu Tolong sekarang Along" yang ditulisnya berkenaan penjelasan ketidakadilan BN-UMNO terhadap tanah rakyat.

PERJUANGAN PAS, JAUHI SENTIMEN PERKAUMAN - NIZAR JAMALUDIN

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - "Ayuh sama-sama kita buangkan sentimen perkauman ini kerana ianya tiada tempat dalam perjuangan kita," demikian tegas Dato' Seri Nizar Jamaludin dalam ucapan balasnya terhadap perbahasan Ucapan Dasar Presiden oleh para perwakilan semalam.

Beliau menyifatkan bahawa sebarang sikap yang menonjolkan sentimen perkauman di kalangan ahli PAS sebagai kegagalan ahli dalam mencerminkan akhlak sebenar yang telah ditarbiyahkan oleh PAS.

"Ini hanya akan merugikan perjuangan PAS jika kita hilang kehormatan, kepercayaan, kredibiliti dan kemampuan memimpin di mata kaum bukan Islam," jelasnya.

Katanya, usaha dan pendekatan yang tersusun perlu dipertingkatkan bagi membersihkan segala tanggapan negatif yang sering dipersepsikan oleh media perdana terhadap PAS.

Tambahnya, isu kalimah Allah dan APCO merupakan dua hadiah istimewa daripada Allah kepada PAS.

"Dua isu ini memberikan PAS akses kepada masyarakat di seluruh pelosok negara. Inilah masanya semua ahli memainkan peranan masing-masing di setiap peringkat untuk menyampaikan maklumat yang terkini dan benar kepada masyarakat", seruanya mengakhiri sesi tersebut.

HIBURAN ISLAM PAS, IGAUAN NGERI UMNO - DR DZULKIFLI AHMAD

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Pengerusi lajnah baru dalam PAS, Lajnah Seni dan Budaya, Dr. Dzulkifli Ahmad mengucapkan penghargaan kepada Mursyidul Am dan Presiden PAS yang meluluskan penubuhan lajnah ini.

"Atas kesedaran perlunya PAS menampilkan kesyumulan Islam dalam setiap aspek kehidupan termasuklah dari aspek hiburan, lajnah ini dengan rasminya dilancarkan dalam Jumaat lalu dalam Konsert Naskhah Cinta.

Lajnah ini tertubuh setelah 7 tahun cadangan dan kertas kerja berkaitan penubuhannya dibentangkan ketika Wacana Intelek pada tahun 2003.

Bercakap tentang konsep hiburan Islami, beliau juga menyatakan penghargaan kepada Mursyidul Am PAS yang telah mendahului dalam menampilkan konsep hiburan Islami melalui beberapa konsert yang telah diadakan di Kelantan.

Pendekatan ini sekaligus telah menjawab segala kebimbangan dan keraguan para penggiat seni terhadap pandangan PAS berkaitan hiburan; apakah mereka perlu gulung tikar jika PAS yang memerintah.

Antara penggiat seni seperi Amy Search, ringgo dan Dendang Anak kini kelihatan selesa dengan penampilan baru PAS ini.

Tambahnya, penubuhan lajnah ini sekaligus menjadi igauan ngeri UMNO yang selama ini menunjukkan mereka sahajalah yang merupakan juara dalam menyediakan hiburan.


"Isu yang sering mereka momokkan bahawa PAS menutup terus ruang untuk hiburan dan tidak bergaul dengan semua golongan masyarakat kini terbukti tidak benar,

"kerana PAS kini telah memiliki sebuah lajnah yang secara khusus memberi tumpuan kepada hiburan secara Islam," ujarnya memberitahu taktik UMNO yang cuba menimbulkan persoalan ahli PAS terhadap perubahan PAS dalam menerima hiburan itu.

Tegasa beliau, PAS adalah sebuah parti yang membawa pendekatan Siasatud Dakwah iaitu siasah dalam dakwah dan dakwah dalam siyasah. Kedua-dua elemen ini bergerak seiring dalam setiap langkah dan tindakan yang diambil PAS dalam menghadapi dan menangani sesuatu isu.

Mengambil contoh bagaimana pendekatan yang diambil oleh PAS dalam menangani dan menyelesaikan isu kalimah Allah dengan pendekatan dakwah terlebih dahulu dengan menjelaskan maksud eksklusif kalimah Allah dalam pandangan orang Islam. Kemudian dengan pendekatan siyasah dijelaskan bahawa individu bukan Islam juga boleh menggunakan kalimah Allah dengan syarat-syarat tertentu.

Di akhir ucapannya beliau yakin berkata, PAS mampu untuk mentadbir dan menjadi kerajaan persekutuan melalui dimensi baru PAS ini yang mula membuka ruang untuk seni dan budaya berkembang sekaligus menampilkan kesyumulan Islam.

HIMPUNAN MOBILASI RAKYAT - MOHAMAD SABU

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Tuan Haji Mohamad Sabu sewaktu sesi menjawab persoalan perwakilan memberitahu bahawa satu himpunan dirancang akan diadakan bagi memobilasi rakyat untuk meningkatkan mood rakyat bagi menolak Umno/BN.

Katanya, himpunan ini hanya akan berjaya sekiranya mendapat kerjasama yang baik dari semua parti Pakatan Rakyat dan NGO.

Beliau dalam pada itu sempat melancarkan derma khusus untuk diserahkan oleh Presiden PAS kepada Muassasah Al-Quds bagi tujuan membina masjid dan sekolah di Gaza.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Ahli Jawatankuasa Muassasah tersebut telah menyatakan kesediaan untuk menyumbang sebanyak 200 ribu kepada rakyat Gaza.

Mohamad Sabu turut meminta agar ahli PAS bersama-sama menyumbang bagi merealisasikan hasrat Presiden PAS.

DAFTAR PEMILIH, PAS SERIUS HADAPI PRU13 - DEWAN PEMUDA PAS

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - PAS perlu memberi perhatian yang lebih serius kepada Daftar Pemilih sebagai salah satu perkara utama dalam membuat persediaan menjelang pilihanraya umum ke-13 nanti.

Demikian cadangan yang dibuat Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ridhuan Mohamad Nor yang mewakili Dewan Pemuda PAS dalam menyampaikan usul terima kasih dan perbahasan ucapan dasar Presiden semalam.

Beliau menyatakan bahawa terdapat 2.2 juta orang muda yang masih tidak mendaftar sebagai pengundi.

"Keadaan ini boleh merugikan kerana kebanyakan pengguna internet yang mendapat maklumat sebenar terdiri dari kalangan orang muda," jelasnya.

Atas kesedaran itu, beliau dengan lantang menyeru kepada semua jentera di setiap peringkat supaya bersama-sama bekerja keras dan berusaha untuk menarik perhatian golongan ini untuk mendaftar sebagai pengundi.

Mendepani cara penyelesaian bagi masalah itu, beliau meminta PAS mencontohi usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri selangor untuk mendaftarkan para pengundi muda ini.

Beliau turut menyeru para pimpinan PAS untuk turut bersama-sama dengan para ahli turun untuk berdemonstrasi, demonstrasi mansuhkan judi bola.

Pada 3 Julai depan himpunan 100,000 mansuhkan judi bola akan diadakan di Kuala Lumpur bagi menyerah memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Thursday, June 10, 2010

"PENGKHIANATAN KERAJAAN PERIKATAN" PEMUDA PAS SAMBUT BAIT PERINGATAN MURSYIDUL AM

KOTA BHARU, 10 Jun - Pemuda PAS menyambut baik peringatan yang dilontarkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung pengkhinatan Umno/BN terhadap PAS sewaktu menyertai Kerajaan Perikatan.

Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi berkata, peringatan yang disampaikan Tok Guru itu adalah satu 'guide line' kepada gerakan PAS hari ini.

"Saya rasa ia satu ucapan yang sangat baik.Ia beri peringatan kepada kita tentang sejarah dan sirah kerana Nabi Muhammad s.a.w ada menyebut "jangan sampai kita ini orang beriman disengat dua kali dalam satu lubang", katanya kepada wartawan ketika mengadakan sidang media selepas menyampaikan Ucaptama Muktamar Pemuda PAS ke-51 dekat sini 10 Jun lalu.

Turut serta dalam sidang media tersebut, Timbalannya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani; Naib, Ahmad Sabkhi Yusof; Setiausaha, kamaruzzaman Mohamad dan AJK Pemuda PAS.

Beliau juga menyatakan, apa yang diutarakan Tok Guru itu satu iktibar namun, ia bukan bermakna ia menandakan PAS perlu menutup ruang untuk berbincang atau interkasi dengan semua pihak.

Cuma ujar Nasrudin, apa yang diperingatkan Tok Guru itu ialah agar sejarah hitam pengalaman ketika bersama kerajaan perikatan itu agar tidak ulang kembali.

Sebaliknya hari ini Pakatan Rakyat telah diterima oleh rakyat dan diyakini oleh seluruh rakyat sebagai pengganti kepada kerajaan yang ada hari ini, katanya.

"Kalau Umno mahu terima dasar kita dia boleh bersama, bubar Umno dan BN yang mengamalkan satu dasar dan idelogi yang perkauman.Kita ajak mereka bersama dengan kami kerana kita sentiasa bergerak kehadapan," ujarnya.

Ujarnya, Pemuda PAS akan tetap bersama dengan gagasan Pakatan Rakyat yang menjadi aspirasi rakyat untuk membentuk kerajaan pada masa akan datanf.

Terdahulu, dalam sidang media yang sama, beliau turut menjawab beberapa persoalan mengenai komitmen kerajaan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan premis judi berikutan isu lesen judi bola yang diluluskan oleh kerajaan Umno/BN.

Beliau menyatakan, negeri-negeri Pakatan Rakyat setakat ini memberikan komitmen untuk tidak memperbaharui, atau memberi lesen baru terhadap mana-mana premis judi di negeri masing-masing.

'Kita semua tahu, judi ini semua agama tolak, justeru kita yakin isu ini bukan isu umat Islam sahaja tetapi isu seluruh rakyat berbilang bangsa," katanya.

Beliau menafikan komitmen PAS dalam membantah judi ini akan menyurutkan sokongan bukan Islam terhadap PAS, sebaliknya ia sebagai satu kekuatan semua rakyat untuk menentangnya.

UMNO-BN 'HANCUR' PEMUDA PAS SERU NAKHAEI, JAMIL KHIR, SHABERY DAN PUAD SERTAI PAS

KOTA BHARU, 10 Jun -Ketua pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan menyeru kepada bekas Yang diPertua Yadim, Dato' Nakhaie Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom, Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Chik, dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Mohd Puad Zarkashi dan seluruh ahli-ahli Umno yang cintakan Islam dan pernah bersama dalam;perjuangan menyertai PAS.

Ujar Nasrudin mereka yang disebutkan itu pernah bersama-sama dengan PAS dan baginya adalah sangat baik jika semua mereka kembali ke pangkuan perjuangan dengan panggilan "Jom Sertai PAS".

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Ketua Pemuda PAS sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ke-51 di Kota Bharu Trade Centre, dekat sini 10 Jun lalu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Azman Shafawi Abdul Rani; saf kepimpinan Pemuda PAS, tetamu antaranya ustaz Yahya Othman; bekas Naib Ketua Pemuda, Mazlan Aliman dan perwakilan dari kawasan-kawasan seluruh negara.

Ujar Nasrudin berkata, seruan itu dibuat kerana melihat kerajaan Umno/BN yang disertai hari ini semakin zalim dan rakus dalam menerajui negara.

Beberapa keputusan dan dasar yang dilaksanakan menjuruskan negara ke arah kehancuran, sementara kemelut sosial yang runcing semakin parah, katanya.

Terbaru, kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara di peringkat antarabangsa sangatlah memeranjatkan dan mendukacitakan.

Pemuda PAS tidak boleh bertolak ansur dengan perlantikan firma berkepentingan Israeln ini semata-mata untuk membersihkan imej kepimpinan negara yang tercalar di peringkat antarabangsa, katanya.

Dewan Pemuda PAS menyelar tindakan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian ini ketika kekejaman rejim Israel dan penderitaan di Palestin terutamanya Gazza masih tiada kesudahan seperti yang diperakui oleh semua pihak.

Selain itu, Pemuda PAS kesal dengan sikap bermuka-muka dan hipokrit yang dipamerkan oleh kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak berhubung dengan isu di Gazza.

Bagi Pemuda PAS kontrak kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worlwide ini perlu ditamatkan dengan serta-merta, jika tidak pihaknya akan menggerakkan rakyat ke jalan untuk membantahnya, kata beliau.

Selain itu Nasrudin juga menyatakan, kerajaan yang diterajui Najib, terus menerus terbabit dengan kes-kes rasuah berprofail tinggi yang mempunyai kaitan dengan beliau termasuk semasa menjawat jawatan Menteri Pertahanan yang mulai terdedah.

Malah kedudukan Malaysia dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah 2009 yang lalu, semakin menjunam teruk ke tangga 56 daripada 180 negara yang dikaji, katanya.

Lebih parah lagi, kerajaan Umno/BN dengan angkuh sombongnya meluluskan lesen judi sukan dan kemudiannya dianugerahkan kepada tauke judi yang banyak berjasa kepada mereka, katanya.

Dewan Pemuda PAS memberikan komitmen 200 peratus untuk menggerakkan rakyat agar bangkit menentang kemungkaran judi yang tiada agama membenarkannya, katanya.

Beliau berkata,pihaknya melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan Menteri Agama (Jamil Khir), penasihat agama dan mufti–mufti hanya membisu sejuta bahasa berdepan dengan kemungkaran yang tiada ruang khilaf dan takwil ini.

Nasrudin berkata, pihanya akan menggerakkan massa untuk berhimpun pada 3 Julai ini bagi membantah kelulusan lesen judi dan mengharapkan rakyat turut serta dengan misi tersebut.

Melihat ‘Tsunami Politik’ yang berlaku dan kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan seperti yang disebutkan, beliau mengharapkan kesempatan yang terbaik dianugerahkan oleh Allah untuk seluruh rakyat semua melakukan perubahan ke arah kebaikan.

"Kepada semua golongan yang mencintai tertegaknya keadilan Rabbani, marilah kita berganding bahu untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut. Golongan yang mempelopori kezaliman di negara ini semakin goyah dan cuba berpaut kepada apa sahaja yang difikirkan dapat menjadi talian hayat mereka," katanya.

Justeru atas sebab yang disebutkan, beliau menyeru kepada seluruh golongan yang telah dan pernah menerima tarbiyah PAS seperti di segenap peringkat untuk berperanan membantu PAS ke arah mencapai cita-cita murni ini.

"Oleh kerana itu, seluruh rakyat yang sedar tentang situasi ini sepatutnya berganding bahu untuk menyelamatkan negara dari golongan yang zalim dan rakus," tegasnya.

DPPP SELAR TINDAKAN KERJASAMA KERAJAAN MALAYSIA & APCO

KOTA BHARU, 10 Jun - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hasan menyatakan berita mengenai kerajaan Malaysia yang telah menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara di peringkat antarabangsa sangatlah memeranjatkan dan mendukacitakan.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS tidak boleh bertolak ansur dengan perlantikan firma asing semata-mata untuk membersihkan imej kepimpinan negara yang tercalar di peringkat antarabangsa.

Tambahan lagi apabila status kredibiliti syarikat APCO yang dilantik sangat diragukan kerana sayarikat tersebut mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis Israel.

"Kita didedahkan bahawa APCO mempunyai Majlis Penasihat Antarabagsa (IAC) dari pelbagai latar belakang dan pengalaman termasuklah bekas duta, pemimpin negara dan penasihat dari pelbagai badan dan organisasi dunia," katanya.

Malah, antara ketiga-tiga penasihat yang mempunyai bertanggungjawab itu mempunyai pengalaman bekerja dengan Israel.

Mereka ialah Doron Bergerbest Eilon [bekas pegawai kanan di Agensi Keselamatan Israel], Itamar Rabinovich [bekas duta Israel ke Amerika Syarikat & presiden Tel Aviv University ] dan Shimon Stein [ bekas duta rejim Israel ke Jerman ]

Dewan Pemuda PAS Pusat katanya, menyelar tindakan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian ini ketika kekejaman rejim Israel dan penderitaan di Palestin terutamanya Gaza masih tiada kesudahan seperti yang diperakui oleh semua pihak.

"Serangan darat dan udara oleh rejim Isreal tanpa henti ke atas ummat Islam Palestine bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda, tetapi kehilangan ribuan nyawa yang tidak berdosa tanpa mengenal usia dan jantina," jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam ucaptema Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sempena dengan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke 51 yang diadakan di Kelantan Trade Center, Kota Bharu yang bertajuk “Murniakan Perjuangan, Maknakan Kemenangan” yang telah dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

"Jelas sekali, pelbagai maklumat dan harta strategik negara telah terdedah kepada anasir luar negara seperti APCO Worldwide sepanjang perkhidmatan mereka, apatah lagi telah terbukti adanya hubungan APCO Worldwide dengan rejim zionis Israel," ujarnya.

Malaysia sebagai sebuah Negara yang menganggotai OIC, kerap kali menyuarakan kecaman terhadap kekejaman rejim zionis Israel.
"Oleh sebab itu, bagaimana mungkin Malaysia boleh membenarkan sebuah syarikat yang ada hubungan rapat dengan rejim zionis Israel untuk menguruskan perkara strategik negara?" soal beliau.

Justeru itu, Dewan Pemuda PAS amat kesal dengan sikap bermuka-muka dan hipokrit yang dipamerkan oleh kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN berhubung dengan perkara ini.

"Maka dengan ini Dewan Pemuda PAS mendesak agar perjanjian antara kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worlwide ini ditamatkan dengan serta-merta, atau kami akan menggerakkan rakyat untuk sekali lagi turun beramai-ramai menyatakan bantahan terhadap pengkhianatan ini," ujarnya lagi.

KERAJAAN PR DIMINTA TIDAK BEKERJASAMA LULUSKAN LESEN JUDI BOLA KERAJAAN BN

KOTA BHARU, 10 Jun - Dewan Pemuda PAS kini melihat satu lagi ancaman yang bakal melanda, malah indeks jenayah negara dijangka menunjukkan tanda aras yang lebih parah apabila kerajaan UMNO dan BN dengan angkuh sombongnya meluluskan Lesen Judi Sukan dan kemudiannya dianugerahkan kepada tauke judi yang banyak berjasa kepada mereka.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasharuddin Hasan Tantawi berkata demikan dalam ucapan tema dewan tersbut pagi tadi.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS memberikan komitmen 200 % untuk menggerakkan rakyat agar bangkit menentang kemungkaran judi yang tiada agama membenarkannya . Kini rakyat mula tertanya – tanya, agama apakah yang sedang dianuti oleh kerajaan UMNO dan BN tatkala mereka meluluskan lesen perjudian ini.

"Kami turut melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan Menteri Agama, penasihat agama dan mufti–mufti dalam negara kita membisu sejuta bahasa berdepan dengan kemungkaran yang tiada ruang khilaf dan takwil ini," jelasnya.

Justeru itu, menurutnya, sebagai satu pengajaran dan didikan berkesan, Dewan Pemuda PAS menyeru agar negeri–negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak memberi kerjasama kepada kerajaan pusat pimpinan UMNO dan BN dalam menyuburkan amalan mungkar judi yang keji ini.

"Negeri–negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mesti dilihat lebih baik dan mulia berbanding kerajaan UMNO dan BN dengan terlebih dahulu memberi contoh dan tauladan kepada mereka," katanya.

Jelasnya, Kerajaan Pakatan Rakyat mestilah memberikan komitmen serupa untuk memerangi jenayah judi ini dengan tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian yang beroperasi dibawah wilayah penguasaan mereka.

"Lantaran itu kami (pemuda) yakin, pengundi memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan, menjaga serta memelihara tanahair dan seluruh penghuninya dari terjebak dalam kancah mungkar seperti judi yang mampu membinasakan tamaddun ummah," tambahnya lagi.

10 ELEMEN PACU PERJUANGAN PEMUDA PAS





KOTA BHARU, 10 Jun - Dewan Pemuda PAS menekankan bahawa perjuangannya adalah berlandaskan manhaj tarbiyah, dakwah dan siasah [politic] an-Nabawi. Sekurang–kurangnya 10 elemen utama yang menunjangi manhaj tarbiyah, dakwah dan siasah [politic] Baginda Rasul s.a.w :

• Menanam Aqidah
• Menyelamatkan Maruah
• Membina Ukhuwwah
• Menyatupadukan Ummah
• Membenteras Kezaliman
• Mendirikan Institusi Masjid
• Membina Penguasaan Ekonomi Serantau
• Mewujudkan Jaring Hubungan Antarabangsa
• Mengasaskan Kaedah dan Garis Pandu Mendepani Musuh

Elemen-elemen ini mestilah difahami oleh setiap ahli dewan Pemuda PAS agar pemantapan organisasi ini dapat direalisasikan. Seluruh kepimpinan dan ahli pemuda diseru supaya berusaha memiliki keupayaan par excellence ini dalam usaha memacu perubahan yang dicita-citakan. Pemerkasaan aktiviti tarbiyyah, pembudayaan intelek dan pembinaan kualiti ahli menjadi matlamat utama dalam menyediakan Pemuda PAS yang siap-saga mendepani krisis dan cabaran semasa yang melatari negara hari ini.

PENDEKATAN DAKWAH DPPP MUDAH DITERIMA GOLONGAN MUDA - KETUA DPPP

KOTA BHARU, 10 Jun - Sidang muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke-51 ini menyaksikan 10 pendekatan dakwah Dewan Pemuda PAS Pusat telah dibentangkan Ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi pagi tadi.

Beliau dalam ucap temanya itu menyatakan, pendekatan dakwah ini lebih akan mudah diterima oleh golongan muda dan berkongi cita-cita untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang lebih sejahtera, adil dan saksama.

Menurut beliau, untuk memantapkan pendekatan dakwah bagi golongan muda, Dewan Pemuda PAS melalui Lajnah Tarbiyah, Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam serta Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) akan meneruskan usaha mencetak pemuda-pemuda yang berkualiti tinggi dan memilik skil dakwah yang hebat untuk mendekati masyarakat lantas memahamkan halatuju perjuangan PAS kepada mereka.

"Selain golongan muda, golongan bukan melayu juga merupakan golongan yang semakin terbuka kepada dakwah PAS,
" ujarnya.

Atas dasar itu, Pemuda PAS berusaha membuka lebih luas ruang dialog dalam mengahadapi provokasi yang menggugat keharmonian rakyat sekaligus mendekatkan lagi golongan bukan Melayu dengan PAS.

Menurut beliau lagi, Dewan Pemuda PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasional akan menubuhkan Pusat Dialog antara Agama dan Peradaban yang akan mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti dialog dengan masyarakat bukan Melayu supaya berkongsi harapan dengan PAS ke arah negara Malaysia yang sejahtera, adil, saksama dan diampunkan oleh Allah s.w.t.

Selain mensasarkan golongan bukan Melayu, golongan Melayu juga tidak ketinggalan menjadi sasaran dakwah PAS untuk golongan Melayu lebih berfikiran terbuka dari pemikiran politik perkauman yang ditanam oleh UMNO dan BN.

"Hanya golongan yang berpegang kepada politik perkauman yang sempit seperti UMNO dan BN beranggapan masyarakat Melayu akan terancam sekiranya keadilan diberikan kepada masyarakat bukan Melayu,

"Sedangkan menurut Islam, keadilan itu merupakan sesuatu yang wajib juga diberikan kepada golongan bukan Islam," tambahnya.

Di akhir ucapannya itu, beliau menyeru kepada semua golongan yang mencintai tertegaknya keadilan Rabbani, supaya berganding bahu untuk menyempurnakan tanggungjawab melakukan perubahan Tsunami Politik yang berlaku sekarang.

KERAJAAN DIGESA AMBIL INISIATIF LAKSANAKAN 'PENDIDIKAN POLITIK'

KOTA BHARU, 10 Jun - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menggesa agar kerajaan mengambil inisiatif untuk melaksanakan pendidikan politik bagi menyediakan mereka sebagai generasi pelapis kepimpinan negara.

Ketika menyampaikan perkara demikian, Ketuanya, Ustaz Nasharuddin Hasan Tantawi berkata pihak DPPP sendiri akan mengambil inisiatif untuk melaksanakan agenda ini .

"Ianya adalah bertujuan untuk menyedarkan golongan anak muda tentang tanggungjawab mereka sebagai warganegara Malaysia," ujarnya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di Kelantan Trade Center, pagi ini.

Tambahnya, apa yang paling mengejutkan adalah mereka ini terdiri daripada golongan bumiputera.

"Kita menyedari peranan golongan belia dan anak muda bukan hanya perlu diperkasakan dalam sektor sosial dan ekonomi tetapi juga dalam politik dan ianya telah dibuktikan dalam pilihan raya umum ke-12 dan pilihan raya-pilihan raya kecil lalu.


"Kami menyedari bahawa golongan anak mudda ini tidak mewarisi politik lama yang lebih menjurus kepada perkauman dan konflik, sebalik golongan ini lebih terbuka dan rasional," katanya lagi.

Pemuda PAS ujarnya mensasarkan pengurangan masalah pendaftaran pemilih yang kini masih kurang memuaskan terutamanya di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

"Kita mensasarkan menjelang 2012, peratusan mereka yang tidak mendaftar akan menurun daripada 28 peratus kepada 15 peratus khususnya di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, seperti Selangor yang mempunyai paling ramai pengundi yang layak tetapi belum mendaftar, iaitu seramai 787,000 orang," ujarnya.

Beliau yakin sekiranya anak muda ini terdidik dengan pendidikan politik mereka akan menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dalam memilih pemimpin negara.

"Dan kemungkinan untuk mereka menjana satu lagi tsunami politik adalah lebih besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

"Para pemuda PAS sewajarnya mendalami perubahan ini yang bakal mewarnai wajah politik Malaysia di masa hadapan," ujarnya lagi.

MUSLIMAT BAHAS 6 USUL

PANTAI CAHAYA BULAN, 10 Jun - Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) kali ke-50 akan berlangsung di Dewan Duyung 2, Perdana Resort, Kota Bharu, Kelantan pada 10 Jun bermula jam 8.00 pagi hingga 5 petang.


Muktamar kali ini merupakan kali pertama bagi setiap kawasan menghantar 5 perwakilannya selepas pindaan perlembagaan PAS tahun 2009. Berbanding muktamar-muktamar yang lepas hanya 17 perwakilan akan dihantar mengikut negeri, termasuk Ketua dan Setiausaha Dewan Muslimatnya.

Tahun ini juga, buat pertama kalinya, semua perwakilan Dewan Muslimat kawasan memakai pakaian seragam berwarna hijau pucuk pisang.

DMPP turut menjemput pimpinan Wanita Pakatan Rakyat dan wakil wanita NGO yang telah bersetuju untuk hadir ke Muktamar.

Antara yang hadir ialah Saudari Kumutha Dewi a/p Raman mewakili Dewan Himpunan Penyokong PAS yang ditubuhkan baru-baru ini juga Exco Pimpinan Parti Keadilan Rakyat.
Berhubung dengan usul, beberapa buah negeri telah menghantar usul dan dijangkakan panas untuk dibincangkan dalam Muktamar nanti.

Enam usul telah diterima untuk dibahaskan dalam muktamar kali ini. Antaranya usul mewujudkan jawatan Naib Presiden IV dan Timbalan Pesuruhjaya IV dicadangkan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kubang Kerian.

Manakala Dewan Muslimat PAS Kawasan Pengkalan Chepa mengusulkan penubuhan Dewan Muslimat Muda. Muktamar 2008 lalu, Dewan Muslimat PAS Melaka pernah mencadangkan penubuhan Dewan Muslimat Muda. Merasakan golongan genarasi muda sebagai aset modal insan yang bakal mengambil alih kepimpinan negara maka usul ini dicadangkan semula pada muktamar kali ini untuk dibahaskan.

USAHA UMNO TAKUT-TAKUTKAN PAS SEBAGAI "HANTU" GAGAL - MURSYIDUL AM PAS

KOTA BHARU, 10 JUN - PAS selama ini telah ditakut-takutkan sebagai "hantu" kepada rakyat di negara ini dan parti-parti pembangkang lain khususnya DAP. Atas nama Pakatan Rakyat, Parlimen Sibu boleh dimenangi hasil pakatan dan kerjasama erat PAS, DAP dan PKR, tegas Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

ketika berucap merasmikan secara serentak muktamar ketiga-tiga sayap PAS di Putik, malam tadi.

Mood rakyat hari ini, tegasnya menyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Laluan ke Putrajaya sudah dibuka luas. Rakyat akan mengiringi Pakatan Rakyat ke sana (Putrajaya). Persoalannya, lontar Tok Guru Nik Aziz, sejauh manakah PAS menangani strategi menuju ke Putrajaya untuk membentuk pemerintahan baru menggantikan BN? PAS mesti mengikut mood rakyat dan jangan sesekali silap kerana padahnya amat teruk, ujar beliau.

"Ulama jangan berehat, teruskan membaja ummat dengan dasar-dasar Islam. Gigih lahirkan ulama muda sebagai pelapis. Pemuda pula mesti wala dan teruskan perjuangan dan memasakan keyakinan, mengembelingkan tenaga untuk menegakkan keadilan dalam sebuah perjuangan yang sarat dengan suka duka, halangan dan rintangan.

"Begitu juga Muslimat. Muslimat kukuhkan jamaah mendekati golongan pengundi wanita. Lebih kehadapan, menampilkan kepimpinan di tengah-tengah masyarakat. Turun terus kepada massa," tegas beliau.

Selesai berucap, Mursyidul Am turut menyampaikan anugerah Tokoh Pemuda PAS kepada Ustaz Haji Hassan Shukri yang mempunyai pelbagai sejarah pembabitan dalam PAS sejak mudanya hingga kini. Pernah memikul amanah Setiausaha Agung PAS, Naib Presiden PAS dan jawatan terakhir beliau, Timbalan Presiden PAS. Ustaz Hassan kini Ahli majlis Syura Ulama PAS dan pernah dilantik menjadi Senator.

Sementara Tokoh Muslimat PAS dianugerahkan kepada Ustazah Jamilah Ibrahim, bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan pernah juga dilantik Senator oleh PAS. Hadiah dan cenderahati disampaikan oleh Tok Guru Nik Aziz sebaik usai tayangan slide berkenaan tokoh muslimat itu dipancarkan pada skrin besar dewan.

3K DI PERASMIAN MUKTAMAR TAHUNAN TIGA DEWAN

KOTA BHARU, 9 Jun - Perasmian muktamar tahunan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dimulakan dengan upacara perbarisan kehormat oleh Unit Amal Malaysia seramai 24 orang kira-kira jam 8 malam tadi.

Upacara tersebut diadakan di hadapan perkarangan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) dekat sini yang menjadi tempat berlangsungnya perasmian muktamar ketiga-tiga dewan malam.

Majlis bermula dengan ketibaan Mursyidul Am PAS, Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ahli Majlis Syura, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Timbalan Dewan Ulama, Hj Ahmad bin Yaakob, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Muktamar yang dirasmikan Tuan Guru Nik Aziz itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS.

Seterusnya, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari surah An-nisa oleh Ustaz Abdul Bari Abdullah.

Buat kali pertamanya perasmian ketiga-tiga dewan yang diadakan serentak ini menyaksikan seramai kira-kira 3000 perwakilan dari ketiga-tiga dewan termasuk perwakilan kawasan yang datang dari seluruh negara.

Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali dan ucapan Tuan Guru Nik Aziz melahirkan harapan tinggi kepada ketiga-tiga dewan bersama Dewan Penyokong PAS melangkah jauh kehadapan mengorak langkah PAS sebagai sebuah parti Islam di Malaysia.

Para hadirin turut dihidangkan dengan persembahan montaj Anugerah Emas DMPP sempena Jubli Emas ke-50 dan persembahan multimedia yang dibangunkan Jabatan IT PAS Pusat.

Sebelum itu, majlis turut menyampaikan anugerah-anugerah kepada tokoh Dewan Ulama PAS Ustaz Hassan Syukri dan tokoh Dewan Muslimat, Ustazah Jamilah Ibrahim.

Anugerah Emas pula dianugerahkan kepada Tuan Guru Nik Aziz.

Majlis berakhir kira-kira jam 11 malam dengan persegaran untuk para perwakilan.

Wednesday, June 9, 2010

MUKTAMAR PAPAR KEJAYAAN 20 TAHUN PAS PERINTAH KELANTAN

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Sebagai tuan rumah Muktamar Tahunan PAS ke-56 yang bakal berlangsung pada 10 hingga 13 Jun ini, PAS Kelantan akan memaparkan sejarah perjuangan mereka memerintah negeri itu yang kini sudah lebih 20 tahun.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, ia berkisar bentuk-bentuk kejayaan yang telah dicapai di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta pembaharuan yang dibuat sepanjang mengambil alih pemerintahan negeri daripada Umno BN sejak 1990.

Kerajaan PAS Kelantan, katanya telah membuktikan kemampuan mereka mentadbir sebuah negeri dengan baik (good governance) sehingga beberapa pendekatan mereka dilihat mendahului dan terkedepan berbanding negeri lain.

"PAS Kelantan mendahului, yang lain ikut. Negeri yang miskin, menerima beban hutang daripada zaman Umno dulu tetapi mampu mengurus negeri membuat perubahan seperti negeri lain.

"Kelantan juga mampu menurunkan kadar kemiskinan mengatasi Terengganu dan Sabah yang diperintah Umno," katanya kepada Harakahdaily.

Kelantan juga, katanya boleh dijadikan bukti bahawa Pakatan Rakyat mampu memerintah negara Malaysia dengan lebih baik berbanding 50 tahun diperintah Umno BN.

Sebagai bukti katanya, pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi yang menjangkakan Malaysia akan bankrap dalam masa sembilan tahun lagi.

"Sebab itu kita yakin kalau Idris Jala kata Malaysia bankrap sembilan tahun lagi, nak selamat kena bagi kat kita (Pakatan Rakyat) sebab kita dah buktikan di Kelantan dan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, itu negeri yang tidak ada hasil banyak.

"Kalau Malaysia diperintah Pakatan Rakyat, rakyat bukan setakat kenyang tapi muntah balik, sebab terlalu kenyang," katanya seloroh.

BLOGGER PAS, PAKATAN BOLEH POHON "PAS PEMERHATI"

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad pagi ini mencadangkan para blogger pro Pakatan Rakyat yang gagal mendapatkan pas media supaya memohon untuk mendapatkan pas pemerhati daripada ad-hoc Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu.

Cadangan tersebut sebagai respons pada rungutan beberapa blogger pro PAS dan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak dilayan oleh ad-hoc muktamar ketika memohon pas media sejak kelmarin.

“Opsyen yang ada, blogger-blogger kita ini boleh cuba pohon pas pemerhati,” ujar beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Bagi beliau, tidak ada sebab untuk ad-hoc menghalang mana-mana pihak membuat liputan tentang muktamar PAS.

Ini kerana, PAS menurut beliau sebenarnya mengamalkan dasar terbuka untuk mana-mana pihak untuk mengakses muktamar PAS.

“Setakat yang saya tahu, muktamar kita terbuka,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan ad-hoc muktamar enggan memberi pas media kepada para blogger mungkin disebabkan mereka kurang mengenali para blogger terbabit.

Bagaimanapun, beliau berjanji untuk merujuk semula isu terpencil tersebut daripada ad-hoc di Kota Bharu, petang ini.

Bagi beliau, tidak ada gunanya PAS menghalang para blogger dari membuat liputan tentang muktamar PAS sebagaimana Umno menghalang media alternatif dan media baru (blog) dari membuat liputan tentang pemilihan agung Umno parti itu sebelum ini.

“Yang menghalang media buat liputan tentang pemilihan hanya Umno saja, itu beza kita dengan mereka,” ujarnya lagi.

Tindakan tersebut, bagi beliau, akhirnya mencemarkan nama parti itu sendiri.

Ditambah dengan perkembangan teknologi maklumat di samping realiti dunia tanpa sempadan sekarang, bagi beliau, sudah tentu membolehkan media-media baru untuk mengakses muktamar PAS walaupun ad-hoc cuba menghalang mereka dari berbuat sedemikian.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Pengarah Muktamar, Datuk Takiyuddin Hassan membenarkan akhbar pro kerajaan untuk membuat liputan tentang muktamar PAS.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan berkata, kematangan yang ditunjukkan oleh PAS sebenarnya demi menghormati profesionalisme media pro kerajaan tersebut.

KEMERIAHAN MUKTAMAR PAS SUDAH BERMULA

PENGKALAN CHEPA, 9 Jun - Sesuai dengan temanya, Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 yang berlangsung di Pusat Tarbiyyah Islam Kelantan (Putik) membuka tirainya dengan begitu baik sekali.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan daripada pintu masuk ke negeri Cik Siti Wan Kembang daripada Lembah Kelang mendapati para perwakilan dan pemerhati disambut dengan kain rentang dan bendera yang menghiasi gerbang di daerah Gua Musang.

Ianya turut kelihatan di beberapa bandar utama seperti Gua Musang, Machang, Ketereh, Kota Bharu, dan lain-lain.

Jalan-jalan di sekitar bandar yang menjadi lokasi muktamar dewan-dewan seperti Dewan Pemuda di Kelantan Trade Center di Kota Bharu, Dewan Ulama di Markaz Dewan Ulama (Madu) di Machang dan Dewan Muslimat di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan.

Manakala di Putik yang merupakan lokasi bagi muktamar penuh pula meriah dengan gerai-gerai yang telah beroperasi sejak beberapa hari sebelum tarikh ianya bermula iaitu 11 Jun.

Perasmian ekspo dan gerai-gerai tersebut disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah semalam yang di ikuti ceramah yang disampaikan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Antara keistimewaan acara tahunan parti Islam Se-Malaysia pada kali ini ialah pameran sempena 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan serta bukan kerajaan yang bertempat di ruang lobi Putik.

Selain itu, satu jamuan rakyat juga akan diadakan sempena perasmian muktamar tersebut dengan menu istimewa gulai kawah beserta umbut kelapa.

Pelbagai acara telah diatur bagi memeriahkan muktamar yang berlangsung beberapa minggu selepas Kongres Parti Keadilan Rakyat pada 28 Mei lalu.

Ianya termasuk ceramah perdana serta sambutan jubli emas Dewan Muslimat PAS Pusat.

Tuesday, June 8, 2010

Jangan anggap usul Naib Presiden Muslimat isu feminisme

KUALA LUMPUR, 8 Jun - Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Siti Zailah Mohd Yusoff (gambar) meminta semua perwakilan muktamar supaya tidak menganggap usul ‘Naib Presiden Muslimat’ sebagai isu feminisme.

Bercakap ketika merasmikan Kempen Meriahkan Jubli Emas DMP semalam, beliau berkata, cadangan tersebut sekadar untuk mengiktiraf sumbangan muslimah sebagai tiang seri pada pergerakan Islam PAS.

“Usul muslimat ini semata-mata untuk mengiktiraf sumbangan muslimat dan bukan niat kita sebenarnya untuk mengejar jawatan itu,” ujar beliau.

Melihat pada representasi muslimah dalam Dewan Harian iaitu hanya Ketua DMPP sahaja, beliau berpandangan bahawa usul yang dibuat itu adalah suatu keperluan demi memperkukuhkan pergerakan PAS pada masa depan.


Pun begitu, beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, para perwakilan seharusnya terlebih dahulu meneliti mekanisme berkaitan tiga kerusi Naib Presiden sebagaimana yang telah pun termaktub dalam Fasal 14, Perlembagaan PAS.

“Memang perlembagaan kita (PAS) tidak menghalang pencalonan muslimah untuk kerusi Naib Presiden, namun mekanisme khusus perlu sekiranya perwakilan bersetuju dengan usul Dewan Muslimat PAS tersebut,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya ditambah satu lagi kerusi Naib Presiden yang hanya menerima percalonan muslimat sahaja, di samping tiga kerusi Naib Presiden yang sedia ada terus dibenarkan muslimat untuk bertanding secara terbuka bersama-sama perwakilan muslimin.

Bagaimanapun, beliau memulangkan kepada para perwakilan untuk memperhalusi cadangan tersebut atas semangat untuk memperkukuhkan parti.

Ditanya tentang kesediaan perwakilan muslimat dalam menerima usul tersebut, beliau berkata, kepemimpinan DMPP umumnya bersedia untuk menggalas cabaran tersebut sekiranya usul tersebut diterima.

Namun, beliau berkata, rata-rata perwakilan muslimat mungkin masih menganggap bahawa kepemimpinan muslimin lebih diperlukan untuk mengisi jawatan setinggi itu di peringkat parti.

Bercakap pada sidang media yang sama di Pejabat Agung PAS itu, Ketua Lajnah Dakwah DMPP, Aiman Athirah al-Jundi pula berpandangan bahawa cadangan tersebut tidak wajar dijadikan usul dalam muktamar kali ini, walaupun beliau mengakui keperluan muslimat mengisi jawatan itu seperti yang dijelaskan oleh Siti Zailah.

Ini kerana, usul tersebut boleh menggamit para perwakilan untuk berbahas atas dasar gender walaupun niat kepemimpinan DMPP sebenarnya demi memperkukuh serta mengangkat peranan muslimat di dalam parti.

Tambahnya lagi, mana-mana kepemimpinan DMPP sepatutnya bertanding secara terbuka untuk ketiga-tiga kerusi Naib Presiden yang sedia ada sekiranya mereka merasa keperluan muslimat dalam memperkukuhkan parti.

Baginya, usul tersebut seakan tidak menggalakkan pendemokrasian dalam memilih kepemimpin terbaik di peringkat parti, sedangkan kaum wanita dalam sektor awam dan swasta sebelum ini telahpun membuktikan bahawa mereka berkemampuan dalam mengisi jawatan strategik dalam sektor masing-masing.