Thursday, June 10, 2010

DPPP SELAR TINDAKAN KERJASAMA KERAJAAN MALAYSIA & APCO

KOTA BHARU, 10 Jun - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hasan menyatakan berita mengenai kerajaan Malaysia yang telah menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara di peringkat antarabangsa sangatlah memeranjatkan dan mendukacitakan.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS tidak boleh bertolak ansur dengan perlantikan firma asing semata-mata untuk membersihkan imej kepimpinan negara yang tercalar di peringkat antarabangsa.

Tambahan lagi apabila status kredibiliti syarikat APCO yang dilantik sangat diragukan kerana sayarikat tersebut mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis Israel.

"Kita didedahkan bahawa APCO mempunyai Majlis Penasihat Antarabagsa (IAC) dari pelbagai latar belakang dan pengalaman termasuklah bekas duta, pemimpin negara dan penasihat dari pelbagai badan dan organisasi dunia," katanya.

Malah, antara ketiga-tiga penasihat yang mempunyai bertanggungjawab itu mempunyai pengalaman bekerja dengan Israel.

Mereka ialah Doron Bergerbest Eilon [bekas pegawai kanan di Agensi Keselamatan Israel], Itamar Rabinovich [bekas duta Israel ke Amerika Syarikat & presiden Tel Aviv University ] dan Shimon Stein [ bekas duta rejim Israel ke Jerman ]

Dewan Pemuda PAS Pusat katanya, menyelar tindakan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian ini ketika kekejaman rejim Israel dan penderitaan di Palestin terutamanya Gaza masih tiada kesudahan seperti yang diperakui oleh semua pihak.

"Serangan darat dan udara oleh rejim Isreal tanpa henti ke atas ummat Islam Palestine bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda, tetapi kehilangan ribuan nyawa yang tidak berdosa tanpa mengenal usia dan jantina," jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam ucaptema Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sempena dengan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke 51 yang diadakan di Kelantan Trade Center, Kota Bharu yang bertajuk “Murniakan Perjuangan, Maknakan Kemenangan” yang telah dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

"Jelas sekali, pelbagai maklumat dan harta strategik negara telah terdedah kepada anasir luar negara seperti APCO Worldwide sepanjang perkhidmatan mereka, apatah lagi telah terbukti adanya hubungan APCO Worldwide dengan rejim zionis Israel," ujarnya.

Malaysia sebagai sebuah Negara yang menganggotai OIC, kerap kali menyuarakan kecaman terhadap kekejaman rejim zionis Israel.
"Oleh sebab itu, bagaimana mungkin Malaysia boleh membenarkan sebuah syarikat yang ada hubungan rapat dengan rejim zionis Israel untuk menguruskan perkara strategik negara?" soal beliau.

Justeru itu, Dewan Pemuda PAS amat kesal dengan sikap bermuka-muka dan hipokrit yang dipamerkan oleh kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN berhubung dengan perkara ini.

"Maka dengan ini Dewan Pemuda PAS mendesak agar perjanjian antara kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worlwide ini ditamatkan dengan serta-merta, atau kami akan menggerakkan rakyat untuk sekali lagi turun beramai-ramai menyatakan bantahan terhadap pengkhianatan ini," ujarnya lagi.

KERAJAAN PR DIMINTA TIDAK BEKERJASAMA LULUSKAN LESEN JUDI BOLA KERAJAAN BN

KOTA BHARU, 10 Jun - Dewan Pemuda PAS kini melihat satu lagi ancaman yang bakal melanda, malah indeks jenayah negara dijangka menunjukkan tanda aras yang lebih parah apabila kerajaan UMNO dan BN dengan angkuh sombongnya meluluskan Lesen Judi Sukan dan kemudiannya dianugerahkan kepada tauke judi yang banyak berjasa kepada mereka.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasharuddin Hasan Tantawi berkata demikan dalam ucapan tema dewan tersbut pagi tadi.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS memberikan komitmen 200 % untuk menggerakkan rakyat agar bangkit menentang kemungkaran judi yang tiada agama membenarkannya . Kini rakyat mula tertanya – tanya, agama apakah yang sedang dianuti oleh kerajaan UMNO dan BN tatkala mereka meluluskan lesen perjudian ini.

"Kami turut melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan Menteri Agama, penasihat agama dan mufti–mufti dalam negara kita membisu sejuta bahasa berdepan dengan kemungkaran yang tiada ruang khilaf dan takwil ini," jelasnya.

Justeru itu, menurutnya, sebagai satu pengajaran dan didikan berkesan, Dewan Pemuda PAS menyeru agar negeri–negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak memberi kerjasama kepada kerajaan pusat pimpinan UMNO dan BN dalam menyuburkan amalan mungkar judi yang keji ini.

"Negeri–negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mesti dilihat lebih baik dan mulia berbanding kerajaan UMNO dan BN dengan terlebih dahulu memberi contoh dan tauladan kepada mereka," katanya.

Jelasnya, Kerajaan Pakatan Rakyat mestilah memberikan komitmen serupa untuk memerangi jenayah judi ini dengan tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian yang beroperasi dibawah wilayah penguasaan mereka.

"Lantaran itu kami (pemuda) yakin, pengundi memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan, menjaga serta memelihara tanahair dan seluruh penghuninya dari terjebak dalam kancah mungkar seperti judi yang mampu membinasakan tamaddun ummah," tambahnya lagi.

10 ELEMEN PACU PERJUANGAN PEMUDA PAS





KOTA BHARU, 10 Jun - Dewan Pemuda PAS menekankan bahawa perjuangannya adalah berlandaskan manhaj tarbiyah, dakwah dan siasah [politic] an-Nabawi. Sekurang–kurangnya 10 elemen utama yang menunjangi manhaj tarbiyah, dakwah dan siasah [politic] Baginda Rasul s.a.w :

• Menanam Aqidah
• Menyelamatkan Maruah
• Membina Ukhuwwah
• Menyatupadukan Ummah
• Membenteras Kezaliman
• Mendirikan Institusi Masjid
• Membina Penguasaan Ekonomi Serantau
• Mewujudkan Jaring Hubungan Antarabangsa
• Mengasaskan Kaedah dan Garis Pandu Mendepani Musuh

Elemen-elemen ini mestilah difahami oleh setiap ahli dewan Pemuda PAS agar pemantapan organisasi ini dapat direalisasikan. Seluruh kepimpinan dan ahli pemuda diseru supaya berusaha memiliki keupayaan par excellence ini dalam usaha memacu perubahan yang dicita-citakan. Pemerkasaan aktiviti tarbiyyah, pembudayaan intelek dan pembinaan kualiti ahli menjadi matlamat utama dalam menyediakan Pemuda PAS yang siap-saga mendepani krisis dan cabaran semasa yang melatari negara hari ini.

PENDEKATAN DAKWAH DPPP MUDAH DITERIMA GOLONGAN MUDA - KETUA DPPP

KOTA BHARU, 10 Jun - Sidang muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke-51 ini menyaksikan 10 pendekatan dakwah Dewan Pemuda PAS Pusat telah dibentangkan Ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi pagi tadi.

Beliau dalam ucap temanya itu menyatakan, pendekatan dakwah ini lebih akan mudah diterima oleh golongan muda dan berkongi cita-cita untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang lebih sejahtera, adil dan saksama.

Menurut beliau, untuk memantapkan pendekatan dakwah bagi golongan muda, Dewan Pemuda PAS melalui Lajnah Tarbiyah, Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam serta Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) akan meneruskan usaha mencetak pemuda-pemuda yang berkualiti tinggi dan memilik skil dakwah yang hebat untuk mendekati masyarakat lantas memahamkan halatuju perjuangan PAS kepada mereka.

"Selain golongan muda, golongan bukan melayu juga merupakan golongan yang semakin terbuka kepada dakwah PAS,
" ujarnya.

Atas dasar itu, Pemuda PAS berusaha membuka lebih luas ruang dialog dalam mengahadapi provokasi yang menggugat keharmonian rakyat sekaligus mendekatkan lagi golongan bukan Melayu dengan PAS.

Menurut beliau lagi, Dewan Pemuda PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasional akan menubuhkan Pusat Dialog antara Agama dan Peradaban yang akan mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti dialog dengan masyarakat bukan Melayu supaya berkongsi harapan dengan PAS ke arah negara Malaysia yang sejahtera, adil, saksama dan diampunkan oleh Allah s.w.t.

Selain mensasarkan golongan bukan Melayu, golongan Melayu juga tidak ketinggalan menjadi sasaran dakwah PAS untuk golongan Melayu lebih berfikiran terbuka dari pemikiran politik perkauman yang ditanam oleh UMNO dan BN.

"Hanya golongan yang berpegang kepada politik perkauman yang sempit seperti UMNO dan BN beranggapan masyarakat Melayu akan terancam sekiranya keadilan diberikan kepada masyarakat bukan Melayu,

"Sedangkan menurut Islam, keadilan itu merupakan sesuatu yang wajib juga diberikan kepada golongan bukan Islam," tambahnya.

Di akhir ucapannya itu, beliau menyeru kepada semua golongan yang mencintai tertegaknya keadilan Rabbani, supaya berganding bahu untuk menyempurnakan tanggungjawab melakukan perubahan Tsunami Politik yang berlaku sekarang.

KERAJAAN DIGESA AMBIL INISIATIF LAKSANAKAN 'PENDIDIKAN POLITIK'

KOTA BHARU, 10 Jun - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menggesa agar kerajaan mengambil inisiatif untuk melaksanakan pendidikan politik bagi menyediakan mereka sebagai generasi pelapis kepimpinan negara.

Ketika menyampaikan perkara demikian, Ketuanya, Ustaz Nasharuddin Hasan Tantawi berkata pihak DPPP sendiri akan mengambil inisiatif untuk melaksanakan agenda ini .

"Ianya adalah bertujuan untuk menyedarkan golongan anak muda tentang tanggungjawab mereka sebagai warganegara Malaysia," ujarnya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di Kelantan Trade Center, pagi ini.

Tambahnya, apa yang paling mengejutkan adalah mereka ini terdiri daripada golongan bumiputera.

"Kita menyedari peranan golongan belia dan anak muda bukan hanya perlu diperkasakan dalam sektor sosial dan ekonomi tetapi juga dalam politik dan ianya telah dibuktikan dalam pilihan raya umum ke-12 dan pilihan raya-pilihan raya kecil lalu.


"Kami menyedari bahawa golongan anak mudda ini tidak mewarisi politik lama yang lebih menjurus kepada perkauman dan konflik, sebalik golongan ini lebih terbuka dan rasional," katanya lagi.

Pemuda PAS ujarnya mensasarkan pengurangan masalah pendaftaran pemilih yang kini masih kurang memuaskan terutamanya di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

"Kita mensasarkan menjelang 2012, peratusan mereka yang tidak mendaftar akan menurun daripada 28 peratus kepada 15 peratus khususnya di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, seperti Selangor yang mempunyai paling ramai pengundi yang layak tetapi belum mendaftar, iaitu seramai 787,000 orang," ujarnya.

Beliau yakin sekiranya anak muda ini terdidik dengan pendidikan politik mereka akan menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dalam memilih pemimpin negara.

"Dan kemungkinan untuk mereka menjana satu lagi tsunami politik adalah lebih besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

"Para pemuda PAS sewajarnya mendalami perubahan ini yang bakal mewarnai wajah politik Malaysia di masa hadapan," ujarnya lagi.

MUSLIMAT BAHAS 6 USUL

PANTAI CAHAYA BULAN, 10 Jun - Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) kali ke-50 akan berlangsung di Dewan Duyung 2, Perdana Resort, Kota Bharu, Kelantan pada 10 Jun bermula jam 8.00 pagi hingga 5 petang.


Muktamar kali ini merupakan kali pertama bagi setiap kawasan menghantar 5 perwakilannya selepas pindaan perlembagaan PAS tahun 2009. Berbanding muktamar-muktamar yang lepas hanya 17 perwakilan akan dihantar mengikut negeri, termasuk Ketua dan Setiausaha Dewan Muslimatnya.

Tahun ini juga, buat pertama kalinya, semua perwakilan Dewan Muslimat kawasan memakai pakaian seragam berwarna hijau pucuk pisang.

DMPP turut menjemput pimpinan Wanita Pakatan Rakyat dan wakil wanita NGO yang telah bersetuju untuk hadir ke Muktamar.

Antara yang hadir ialah Saudari Kumutha Dewi a/p Raman mewakili Dewan Himpunan Penyokong PAS yang ditubuhkan baru-baru ini juga Exco Pimpinan Parti Keadilan Rakyat.
Berhubung dengan usul, beberapa buah negeri telah menghantar usul dan dijangkakan panas untuk dibincangkan dalam Muktamar nanti.

Enam usul telah diterima untuk dibahaskan dalam muktamar kali ini. Antaranya usul mewujudkan jawatan Naib Presiden IV dan Timbalan Pesuruhjaya IV dicadangkan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kubang Kerian.

Manakala Dewan Muslimat PAS Kawasan Pengkalan Chepa mengusulkan penubuhan Dewan Muslimat Muda. Muktamar 2008 lalu, Dewan Muslimat PAS Melaka pernah mencadangkan penubuhan Dewan Muslimat Muda. Merasakan golongan genarasi muda sebagai aset modal insan yang bakal mengambil alih kepimpinan negara maka usul ini dicadangkan semula pada muktamar kali ini untuk dibahaskan.

USAHA UMNO TAKUT-TAKUTKAN PAS SEBAGAI "HANTU" GAGAL - MURSYIDUL AM PAS

KOTA BHARU, 10 JUN - PAS selama ini telah ditakut-takutkan sebagai "hantu" kepada rakyat di negara ini dan parti-parti pembangkang lain khususnya DAP. Atas nama Pakatan Rakyat, Parlimen Sibu boleh dimenangi hasil pakatan dan kerjasama erat PAS, DAP dan PKR, tegas Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

ketika berucap merasmikan secara serentak muktamar ketiga-tiga sayap PAS di Putik, malam tadi.

Mood rakyat hari ini, tegasnya menyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Laluan ke Putrajaya sudah dibuka luas. Rakyat akan mengiringi Pakatan Rakyat ke sana (Putrajaya). Persoalannya, lontar Tok Guru Nik Aziz, sejauh manakah PAS menangani strategi menuju ke Putrajaya untuk membentuk pemerintahan baru menggantikan BN? PAS mesti mengikut mood rakyat dan jangan sesekali silap kerana padahnya amat teruk, ujar beliau.

"Ulama jangan berehat, teruskan membaja ummat dengan dasar-dasar Islam. Gigih lahirkan ulama muda sebagai pelapis. Pemuda pula mesti wala dan teruskan perjuangan dan memasakan keyakinan, mengembelingkan tenaga untuk menegakkan keadilan dalam sebuah perjuangan yang sarat dengan suka duka, halangan dan rintangan.

"Begitu juga Muslimat. Muslimat kukuhkan jamaah mendekati golongan pengundi wanita. Lebih kehadapan, menampilkan kepimpinan di tengah-tengah masyarakat. Turun terus kepada massa," tegas beliau.

Selesai berucap, Mursyidul Am turut menyampaikan anugerah Tokoh Pemuda PAS kepada Ustaz Haji Hassan Shukri yang mempunyai pelbagai sejarah pembabitan dalam PAS sejak mudanya hingga kini. Pernah memikul amanah Setiausaha Agung PAS, Naib Presiden PAS dan jawatan terakhir beliau, Timbalan Presiden PAS. Ustaz Hassan kini Ahli majlis Syura Ulama PAS dan pernah dilantik menjadi Senator.

Sementara Tokoh Muslimat PAS dianugerahkan kepada Ustazah Jamilah Ibrahim, bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan pernah juga dilantik Senator oleh PAS. Hadiah dan cenderahati disampaikan oleh Tok Guru Nik Aziz sebaik usai tayangan slide berkenaan tokoh muslimat itu dipancarkan pada skrin besar dewan.

3K DI PERASMIAN MUKTAMAR TAHUNAN TIGA DEWAN

KOTA BHARU, 9 Jun - Perasmian muktamar tahunan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dimulakan dengan upacara perbarisan kehormat oleh Unit Amal Malaysia seramai 24 orang kira-kira jam 8 malam tadi.

Upacara tersebut diadakan di hadapan perkarangan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) dekat sini yang menjadi tempat berlangsungnya perasmian muktamar ketiga-tiga dewan malam.

Majlis bermula dengan ketibaan Mursyidul Am PAS, Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ahli Majlis Syura, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Timbalan Dewan Ulama, Hj Ahmad bin Yaakob, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Muktamar yang dirasmikan Tuan Guru Nik Aziz itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS.

Seterusnya, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari surah An-nisa oleh Ustaz Abdul Bari Abdullah.

Buat kali pertamanya perasmian ketiga-tiga dewan yang diadakan serentak ini menyaksikan seramai kira-kira 3000 perwakilan dari ketiga-tiga dewan termasuk perwakilan kawasan yang datang dari seluruh negara.

Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali dan ucapan Tuan Guru Nik Aziz melahirkan harapan tinggi kepada ketiga-tiga dewan bersama Dewan Penyokong PAS melangkah jauh kehadapan mengorak langkah PAS sebagai sebuah parti Islam di Malaysia.

Para hadirin turut dihidangkan dengan persembahan montaj Anugerah Emas DMPP sempena Jubli Emas ke-50 dan persembahan multimedia yang dibangunkan Jabatan IT PAS Pusat.

Sebelum itu, majlis turut menyampaikan anugerah-anugerah kepada tokoh Dewan Ulama PAS Ustaz Hassan Syukri dan tokoh Dewan Muslimat, Ustazah Jamilah Ibrahim.

Anugerah Emas pula dianugerahkan kepada Tuan Guru Nik Aziz.

Majlis berakhir kira-kira jam 11 malam dengan persegaran untuk para perwakilan.

Wednesday, June 9, 2010

MUKTAMAR PAPAR KEJAYAAN 20 TAHUN PAS PERINTAH KELANTAN

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Sebagai tuan rumah Muktamar Tahunan PAS ke-56 yang bakal berlangsung pada 10 hingga 13 Jun ini, PAS Kelantan akan memaparkan sejarah perjuangan mereka memerintah negeri itu yang kini sudah lebih 20 tahun.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, ia berkisar bentuk-bentuk kejayaan yang telah dicapai di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta pembaharuan yang dibuat sepanjang mengambil alih pemerintahan negeri daripada Umno BN sejak 1990.

Kerajaan PAS Kelantan, katanya telah membuktikan kemampuan mereka mentadbir sebuah negeri dengan baik (good governance) sehingga beberapa pendekatan mereka dilihat mendahului dan terkedepan berbanding negeri lain.

"PAS Kelantan mendahului, yang lain ikut. Negeri yang miskin, menerima beban hutang daripada zaman Umno dulu tetapi mampu mengurus negeri membuat perubahan seperti negeri lain.

"Kelantan juga mampu menurunkan kadar kemiskinan mengatasi Terengganu dan Sabah yang diperintah Umno," katanya kepada Harakahdaily.

Kelantan juga, katanya boleh dijadikan bukti bahawa Pakatan Rakyat mampu memerintah negara Malaysia dengan lebih baik berbanding 50 tahun diperintah Umno BN.

Sebagai bukti katanya, pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi yang menjangkakan Malaysia akan bankrap dalam masa sembilan tahun lagi.

"Sebab itu kita yakin kalau Idris Jala kata Malaysia bankrap sembilan tahun lagi, nak selamat kena bagi kat kita (Pakatan Rakyat) sebab kita dah buktikan di Kelantan dan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, itu negeri yang tidak ada hasil banyak.

"Kalau Malaysia diperintah Pakatan Rakyat, rakyat bukan setakat kenyang tapi muntah balik, sebab terlalu kenyang," katanya seloroh.

BLOGGER PAS, PAKATAN BOLEH POHON "PAS PEMERHATI"

KUALA LUMPUR, 9 Jun - Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad pagi ini mencadangkan para blogger pro Pakatan Rakyat yang gagal mendapatkan pas media supaya memohon untuk mendapatkan pas pemerhati daripada ad-hoc Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu.

Cadangan tersebut sebagai respons pada rungutan beberapa blogger pro PAS dan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak dilayan oleh ad-hoc muktamar ketika memohon pas media sejak kelmarin.

“Opsyen yang ada, blogger-blogger kita ini boleh cuba pohon pas pemerhati,” ujar beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Bagi beliau, tidak ada sebab untuk ad-hoc menghalang mana-mana pihak membuat liputan tentang muktamar PAS.

Ini kerana, PAS menurut beliau sebenarnya mengamalkan dasar terbuka untuk mana-mana pihak untuk mengakses muktamar PAS.

“Setakat yang saya tahu, muktamar kita terbuka,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan ad-hoc muktamar enggan memberi pas media kepada para blogger mungkin disebabkan mereka kurang mengenali para blogger terbabit.

Bagaimanapun, beliau berjanji untuk merujuk semula isu terpencil tersebut daripada ad-hoc di Kota Bharu, petang ini.

Bagi beliau, tidak ada gunanya PAS menghalang para blogger dari membuat liputan tentang muktamar PAS sebagaimana Umno menghalang media alternatif dan media baru (blog) dari membuat liputan tentang pemilihan agung Umno parti itu sebelum ini.

“Yang menghalang media buat liputan tentang pemilihan hanya Umno saja, itu beza kita dengan mereka,” ujarnya lagi.

Tindakan tersebut, bagi beliau, akhirnya mencemarkan nama parti itu sendiri.

Ditambah dengan perkembangan teknologi maklumat di samping realiti dunia tanpa sempadan sekarang, bagi beliau, sudah tentu membolehkan media-media baru untuk mengakses muktamar PAS walaupun ad-hoc cuba menghalang mereka dari berbuat sedemikian.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Pengarah Muktamar, Datuk Takiyuddin Hassan membenarkan akhbar pro kerajaan untuk membuat liputan tentang muktamar PAS.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan berkata, kematangan yang ditunjukkan oleh PAS sebenarnya demi menghormati profesionalisme media pro kerajaan tersebut.

KEMERIAHAN MUKTAMAR PAS SUDAH BERMULA

PENGKALAN CHEPA, 9 Jun - Sesuai dengan temanya, Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 yang berlangsung di Pusat Tarbiyyah Islam Kelantan (Putik) membuka tirainya dengan begitu baik sekali.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan daripada pintu masuk ke negeri Cik Siti Wan Kembang daripada Lembah Kelang mendapati para perwakilan dan pemerhati disambut dengan kain rentang dan bendera yang menghiasi gerbang di daerah Gua Musang.

Ianya turut kelihatan di beberapa bandar utama seperti Gua Musang, Machang, Ketereh, Kota Bharu, dan lain-lain.

Jalan-jalan di sekitar bandar yang menjadi lokasi muktamar dewan-dewan seperti Dewan Pemuda di Kelantan Trade Center di Kota Bharu, Dewan Ulama di Markaz Dewan Ulama (Madu) di Machang dan Dewan Muslimat di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan.

Manakala di Putik yang merupakan lokasi bagi muktamar penuh pula meriah dengan gerai-gerai yang telah beroperasi sejak beberapa hari sebelum tarikh ianya bermula iaitu 11 Jun.

Perasmian ekspo dan gerai-gerai tersebut disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah semalam yang di ikuti ceramah yang disampaikan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Antara keistimewaan acara tahunan parti Islam Se-Malaysia pada kali ini ialah pameran sempena 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan serta bukan kerajaan yang bertempat di ruang lobi Putik.

Selain itu, satu jamuan rakyat juga akan diadakan sempena perasmian muktamar tersebut dengan menu istimewa gulai kawah beserta umbut kelapa.

Pelbagai acara telah diatur bagi memeriahkan muktamar yang berlangsung beberapa minggu selepas Kongres Parti Keadilan Rakyat pada 28 Mei lalu.

Ianya termasuk ceramah perdana serta sambutan jubli emas Dewan Muslimat PAS Pusat.

Tuesday, June 8, 2010

Jangan anggap usul Naib Presiden Muslimat isu feminisme

KUALA LUMPUR, 8 Jun - Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Siti Zailah Mohd Yusoff (gambar) meminta semua perwakilan muktamar supaya tidak menganggap usul ‘Naib Presiden Muslimat’ sebagai isu feminisme.

Bercakap ketika merasmikan Kempen Meriahkan Jubli Emas DMP semalam, beliau berkata, cadangan tersebut sekadar untuk mengiktiraf sumbangan muslimah sebagai tiang seri pada pergerakan Islam PAS.

“Usul muslimat ini semata-mata untuk mengiktiraf sumbangan muslimat dan bukan niat kita sebenarnya untuk mengejar jawatan itu,” ujar beliau.

Melihat pada representasi muslimah dalam Dewan Harian iaitu hanya Ketua DMPP sahaja, beliau berpandangan bahawa usul yang dibuat itu adalah suatu keperluan demi memperkukuhkan pergerakan PAS pada masa depan.


Pun begitu, beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, para perwakilan seharusnya terlebih dahulu meneliti mekanisme berkaitan tiga kerusi Naib Presiden sebagaimana yang telah pun termaktub dalam Fasal 14, Perlembagaan PAS.

“Memang perlembagaan kita (PAS) tidak menghalang pencalonan muslimah untuk kerusi Naib Presiden, namun mekanisme khusus perlu sekiranya perwakilan bersetuju dengan usul Dewan Muslimat PAS tersebut,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya ditambah satu lagi kerusi Naib Presiden yang hanya menerima percalonan muslimat sahaja, di samping tiga kerusi Naib Presiden yang sedia ada terus dibenarkan muslimat untuk bertanding secara terbuka bersama-sama perwakilan muslimin.

Bagaimanapun, beliau memulangkan kepada para perwakilan untuk memperhalusi cadangan tersebut atas semangat untuk memperkukuhkan parti.

Ditanya tentang kesediaan perwakilan muslimat dalam menerima usul tersebut, beliau berkata, kepemimpinan DMPP umumnya bersedia untuk menggalas cabaran tersebut sekiranya usul tersebut diterima.

Namun, beliau berkata, rata-rata perwakilan muslimat mungkin masih menganggap bahawa kepemimpinan muslimin lebih diperlukan untuk mengisi jawatan setinggi itu di peringkat parti.

Bercakap pada sidang media yang sama di Pejabat Agung PAS itu, Ketua Lajnah Dakwah DMPP, Aiman Athirah al-Jundi pula berpandangan bahawa cadangan tersebut tidak wajar dijadikan usul dalam muktamar kali ini, walaupun beliau mengakui keperluan muslimat mengisi jawatan itu seperti yang dijelaskan oleh Siti Zailah.

Ini kerana, usul tersebut boleh menggamit para perwakilan untuk berbahas atas dasar gender walaupun niat kepemimpinan DMPP sebenarnya demi memperkukuh serta mengangkat peranan muslimat di dalam parti.

Tambahnya lagi, mana-mana kepemimpinan DMPP sepatutnya bertanding secara terbuka untuk ketiga-tiga kerusi Naib Presiden yang sedia ada sekiranya mereka merasa keperluan muslimat dalam memperkukuhkan parti.

Baginya, usul tersebut seakan tidak menggalakkan pendemokrasian dalam memilih kepemimpin terbaik di peringkat parti, sedangkan kaum wanita dalam sektor awam dan swasta sebelum ini telahpun membuktikan bahawa mereka berkemampuan dalam mengisi jawatan strategik dalam sektor masing-masing.

Friday, May 21, 2010

1000 bantah kerajaan luluskan lesen judi bola



KUALA TERENGGANU - 1000 orang telah berhimpun secara aman di hadapan Masjid Kampung Pengadang Baru Jalan Kuala Berang, bagi menyatakan membantah tindakan kerajaan pusat meluluskan judi bola sepak sempena piala dunia 2010.

Demonstrasi aman itu bermula kira-kira jam 2.10 petang sebaik sahaja selesai solat Jumaat yang diimamkan oleh Presiden PAS, Dato’ Abdul Hadi Awang.

Antara pimpinan PAS Terengganu yang berucap kepada orang ramai adalah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Yahaya Ali, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Setiausaha Pemuda PAS Terengganu, Wan Mohd Faizol Wan Abas, Ketua Pemuda PAS Hulu Terengganu, Ustaz Kamarulzaman Abdullah dan Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Ahmad Kamal Ali.

Turut berucap memberikan ucapan dalam himpunan tersebut adalah Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Faris Muda.

Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali berkata pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak wajar ditaati kerana menganjurkan kemungkaran dalam beragama.

Malah, katanya pemimpin Umno-BN tersebut harus ditentang kerana meluluskan lessen judi yang bertentangan dengan perintah Allah SWT.

“Kita (PAS) ingin menyatakan sikap dan pendirian kita (umat Islam) dengan sekeras-kerasnya bahawa, kita (PAS) menentang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan kerajaan yang ada pada hari ini.

“Mereka (pemimpin Umno-BN) telah menghalalkan perjudian yang merupakan suatu kemaksiatan dan kemungkaran kepada Allah SWT.

“Walau pun, ajaran Islam mengajar taat kepada pemimpin tetapi pemimpin Umno dan Barisan Nasional hari ini adalah pemimpin yang harus ditentang kerana keputusan yang mereka (Umno) buat itu bertentangan dengan perintah dari Allah SWT,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menyatakan bantahan dalam Perhimpunan Aman Membantah Lesen Judi Bola di hadapan Masjid Pengadang Baru, dekat sini, 21 Mei lalu.

Kata Yahaya, sekiranya perjudian ini diteruskan bakal mengundang kerosakkan kepada umat manusia dan rakyat seluruhnya.

Manakala Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah menyifatkan pemimpin Uno dan kerajaan Barisan Nasional bersikap biadap terhadap bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.

Katanya, bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini sedar dan benci terhadap semua jenis perjudian yang diharamkan oleh Allah Ta’ala.

“Demo kita (PAS) pada hari ini untuk menyatakan kebencian dan kemarahan umat Islam. Bahkan, rakyat seluruhnya.

“Kita (PAS) menentang kelulusan lesen judi yang dibuat oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional. Sikap yang sangat biadap terhadap agama.

“Waktu, mereka (Umno) menyatakan mereka memperjuangkan bangsa Melayu, memperjuangkan agama tetapi diwaktu yang sama, mereka (Umno) menyakiti bangsa Melayu yang bangsa Melayu sedar judi itu adalah haram,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong mendakwa kemungkinan Umno-BN mendapat bantuan serta ‘habuan’ besar dari taukeh judi di negara ini.

Katanya, taukeh-taukeh judi tesrebut telah membelanjakan sejumlah wang yang besar kepada pemimpin Umno-BN setiap kali pilihan raya.

“Umno mungkin mendapat bantuan dan ‘habuan’ besar daripada taukeh-taukeh judi dalam pilihan raya.

“Oleh itu, tidak ada cara lain untuk mereka (Umno) membalas budi kepada taukeh-taukeh judi yang telah membelanjakan jumlah wang yang besar dalam setiap kali pilihan raya,” ujarnya.

Menurutnya, perjudian bukan sahaja dibenci dan diharamkan oleh Islam tetapi turut ditentang oleh bangsa bukan Melayu dan penganut agama lain.

Sementara itu, Ketua AMK Terengganu, Faris Musa berkata tindakan kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak meluluskan lesen judi merupakan suatu kesilapan besar.

Ini, katanya secara jelas menggambarkan sikap serta wajah pemimpin sebenar Umno-BN yang meletakkan agama di bawah ‘tapak kaki’.

“Inilah wajah dan sikap Umno dan Barisan Nasional yang secara jelas terbukti bahawa agama dia (pemimpin) letak bawah ‘tapak kaki’.

“Inilah sikap Umno-BN yang dipimpin oleh ‘agen’ Yahudi di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan AMK Pusat menyatakan pendirian parti menentang bersama-sama dengan Pemuda PAS terhadap kelulusan lesen judi tersebut.

Malah, menurutnya tindakan pemimpin Umno-BN yang meluluskan lesen judi kepada Berjaya Group itu merupakan kesilapan besar Najib.

“Rakyat harus menyatakan pendirian untuk menolak segala tindakan kelulusan lesen judi oleh Umno-BN kepada Berjaya Group.

“Kami (AMK) akan bersama dengan Pemuda PAS untuk bangkit menentang sehingga lesen judi ditarik balik dan dibatalkan.

“Tindakan pemimpin Umno-BN meluluskan lesen judi itu adalah suatu kesilapan besar Najib dan tindakan yang bodoh, biadap, tidak bermoral dan tidak berakhlak,” jelasnya.

Perhimpunan secara aman tersebut berakhir dengan bacaan doa oleh Ketua Pemuda PAS Hulu Terengganu, Ustaz Kamarulzaman Abdullah kira-kira jam 2.30 petang tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini serta aman.

Thursday, May 13, 2010

Langkah Mundur oleh Kerajaan Dalam Isu Judi Sukan - PRESIDEN PAS

Langkah pihak kerajaan ingin memperkenalkan lesen judi sukan dalam negara kita pada masa sekarang ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini. Ianya menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan UMNO-BN yang ada pada waktu sekarang ini telah bankrap idea dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam. Inilah yang dirancang oleh penjajah dan UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan yang ada di waktu ini telah membawa semakin banyak perkara-perkara negatif selepas negara mencapai kemerdekaan, malah lebih banyak dari yang dilaksanakan oleh penjajah itu sendiri.

Hasilnya wajah Islam yang cuba dibawa oleh UMNO dengan mendirikan masjid, Pusat Islam dan aktiviti keagamaan ini menjadi topeng dan tempelan kosmetik sahaja, dan dalam masa yang sama mereka merobek Islam dari belakang. Akibatnya UMNO juga telah menunjukkan satu wajah yang sangat salah dengan hakikat tasawwur ajaran Islam yang sebenar.

Maka sudah tiba masanya bagi orang Melayu beragama Islam untuk memahami bahawa di sana terdapat perbezaan di antara Islam dengan bangsa. Islam adalah agama untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan kaum. Dalam hal ini kita telah mendapat respon yang sangat baik dari kalangan orang bukan Islam, malah kita juga telah berjaya menarik sokongan rakan-rakan dari DAP dan PKR yang bukan Islam untuk menyokong bagi mengharamkan judi. Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam.

PAS menyeru kepada penyokong-penyokong UMNO yang cintakan agama untuk membuat muhasabah terhadap diri mereka supaya melaksanakan perubahan secara ilmu dan mengkaji kefahaman Islam yang betul melalui sumber-sumber Islam dan bukan melalui media-media yang memberikan maklumat yang salah yang terus menerus menjahilkan mereka dari ajaran Islam.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

26 JamadilAwal 1431 bersamaan 11 Mei 2010

Saturday, May 1, 2010

POLIS DIMINTA SIASAT UGUTAN BUNUH TOK GURU NIK AZIZ

KUALA LUMPUR, 1 Mei: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menggesa pihak polis menyiasat ugutan bunuh terhadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh seorang pemilik akaun Facebook, Mohd Safuan Hilmi.

Nasrudin yang membaca kenyataan berbaur ugutan itu pada 30 April 2010 meminta supaya kes tersebut ditangani secara berkesan bagi mengelakkan budaya mengugut yang mengancam keselamatan orang lain berleluasa.

"Saya juga meminta supaya pergerakan Pemuda Umno menafikan bahawa Mohd Safuan ini adalah ahli mereka," kata beliau merujuk pendirian politik Mohd Safuan di dalam profil Facebooknya.

Dalam profil tersebut juga turut menyatakan bahawa Safuan bekerja di Syarikat Prasarana Berhad.

Nasrudin turut menyatakan bahawa Facebook Safuan Hilmi telah di tutup selepas perkara itu menjadi perbincangan orang ramai di laman web sosial tersebut.

"Perkara ini jelas bertentangan dengan norma masyarakat dan adat ketimuran orang Melayu.

"Saya juga menyeru kepada semua pihak supaya mengamalkan politik sihat dan mengelakkan budaya ugut dan kekerasan antara sesama kita," tambahnya yang membuat laporan di Balai Polis Chot Kit, di sini tengah hari tadi.

Turut hadir bersama ialah timbalannya, Azman Shapawi Abdul Rani dan Kamaruzaman Mohamad.

Sementara itu, Nasrudin dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara itu di Balai Polis Dang Wangi pada jam 3.00 petang ini.

TEGUR PEMIMPIN : MUKTAMAR PLATFORM SEBENAR

MARANG – Muktamar atau mesyuarat agung parti merupakan platform paling sesuai untuk menegur pemimpin atau memberikan pandangan tehadap apa-apa dasar parti.

Namun sesetangah ahli PAS cenderung menggunakan teknologi maklumat seperti blog, facebook dan laman sembang sosial bagi menyalurkan kritikan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata tindakan tersebut kurang sesuai dan boleh mendedahkan PAS kepada perselisihan sesame sendiri dan perpecahan dalaman

Beliau berkata ahli-ahli PAS boleh memberi pandangan dan teguran kepada pimpinan parti tetapi mesti menggunakan saluran yang betul.

“Kita (ahli PAS) boleh beri pandangan, teguran dan nasihat kepada pimpinan parti tetapi atas platform yang betul.

“Kritikan kita (ahli) bukan diblog atau di alam maya yang boleh dilihat oleh semua orang termasuk musuh-musuh Islam,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu Kali Ke-41, di Dewan Banat, Rusila, Marang, hari ini.

Menurutnya, kecenderungan manusia menggunakan kemudahan teknologi maklumat mendorong kepada kritikan terbuka melalui blog-blog di alam maya ini.

Akhirnya, kata Ustaz Idris perbuatan tersebut boleh mengundang perselisihan serta perpecahan sesama sendiri dalam parti.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Mohammad Zawawi Salleh, Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Khairil Nizam Khairuddin dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Tok Guru diugut Bunuh oleh Pemuda UMNO!

1. Insyaallah , Esok [sabtu / 1 Mei] jam 12.30 tengahari , Dewan Pemuda PAS Pusat akan membuat satu report polis [ di Balai Polis Jalan Chow Kit ] terhadap satu ugutan bunuh ke atas Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat al Mursyidul Am PAS oleh Mohd Safuan Hilmi yang mengaku sebagai anggota pemuda UMNO .

2. Dewan Pemuda PAS Pusat [DPPP] mengesa pihak Polis menyiasat ugutan bunuh tersebut yang disiarkan dalam laman sosial facebook .

3. Mohd Safuan Hilmi, 24 bekas pelajar UiTM yang mengaku sebagai ahli pemuda Umno membuat ugutan itu dengan berkata "aku sanggup dihukum gantung jika aku dapat bunuh Nik Aziz".


4. Sama ada beliau mempunyai niat untuk melakukan jenayah itu atau tidak pihak Polis perlu menyiasat dan jika benar ia adalah anggota pemuda Umno maka ia sangatlah dikesali kerana terdapat anggotanya yang samseng dan sanggup melakukan ugutan jenayah sebegini.

5. DPPP menyeru Pemuda PAS disemua negeri turut membuat laporan Polis bagi memastikan percubaan untuk melakukan jenayah ini dapat dihalang dan kita sesekali tidak akan membiarkan peristiwa lama berulang kembali.

6. Dalam lipatan sejarah :

a] Julai 1967, Ahli Parlimen PAS-Pasir Mas Hulu, YB Abdul Samad Gul Ahmad Mianji mati ditetak dengan kapak ketika selesai sahaja acara Maulid Nabi di bangunan Pas Kelantan di Kota Bharu, Kelantan. Beliau yang ketika itu Ketua Pemuda PAS diserang ketika sedang membuka pintu keretanya.

b] 8 Mac 1970, YB Cikgu Tahrim Ariffin
wakil tunggal PAS dalam Dewan Undangan Negeri Perlis, meninggal dunia dalam satu peristiwa pembunuhan yang memeranjatkan di rumahnya di Perlis.

c] 18 Januari 1985, tragedi ngeri Lubuk Merbau dalam pilihanraya kecil Parlimen Padang Terap. Seramai lebih 200 ahli Umno bersenjata parang, botol pecah, batu-bata telah menyerang, menetak, memukul dan menghentak petugas PAS di Felda Lubuk Merbau. Tujuh daripada ahli PAS cedera parah, berpuluh cedera ringan dan seorang daripada mereka, saudara Osman Talib syahid.

7. Serangan berulang beberapa kali lagi semasa Pilihanraya kecil Ijok dan Bagan Pinang tahun lepas hingga menyebabkan petugas PAS tercedera.





sumber : http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Saturday, April 24, 2010

SEKITAR MESYUARAT AGUNG DPPK MARANG


YM DR Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakub ketika dalam ucapan perasmiannya


Sof Kepimpinan Pemuda Pas Kawasan Marang Bergambar kenangan bersama YM DR Raja Ahmad Iskandar


Wakil Pas Kawasan marang(Ketua Penerangan Pas Marang) Ust Sidiq Abu Bakar sedang menyampaikan ucapan

Ketua DPPKM sedang menyampaikan uucapan




Sebahagian Perwakilan yang hadir



Saturday, April 17, 2010

Lebih 500 Bantah APCO 1 Malaysia di masjid Pengadang Bharu

ustaz mohd noor hamzah sedang meyampaikan ucapan

turut mengambil bahagian berucap s/u dppn terengganu

tidak ketinggalan timbalan ketua dpp kawasan marang turut meyampaikan ucapan



antara yang hadir pada bantahan APCO

KDPPN Terengganu sedang membacakan doa

bendera israil dibakar menamdakan perasaan marahnya umat islam terhadap israil


KUALA TERENGGANU – Penglibatan syarikat Yahudi Aco Worlwide dalam menentukan halatuju Negara dibantah oleh lebih 500 orang dalam satu himpunan aman yang diadakan di hadapan Masjiod Pengadang Baru disini, 16 April.

Himpunan aman yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS negeri Terengganu (DPPNT) dimulakan sebaik selesai jamaah masjid menyemprnakan solat Jumaat.

Antara yang berucap dalam himpunan tersebut adalah Ketua Dewan Pemuda Ustaz Mohd Nor Hamzah, Setiausaha, Wan Faizul Abas, Ketua Penerangan, Sheikh Hanafi dan Exco DPPNT Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi kdpp timbalan ketua pemuda kawasan marang.

Himpunan tersebut turut membakar bendera Negara Israel, menjadi lambing syarikat Apco Worldwide yang telah dibayar sebanyak RM77 juta oleh kerajaan Malaysia bagi menasihatkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

Antara program yang dikaitakan dengan perundingan Apco adalah program 1 Malaysia yang telah dipopularkan oleh Najib.

Thursday, April 15, 2010

HIMPUNAN AMAN

CALON TEMPATAN : BELUM MULA, MUHYIDIN TELAH BOHONG

HULU SELANGOR, 15 April(HRKH): Belum lagi penamaan calon bermula, timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin telah berbohong kepada penduduk Hulu Selangor.

Ini kerana, beliau dengan tegas sebelum ini berkata, akan menamakan anak tempatan sebagai calon BN di Hulu Selangor.

Muhyidin membuat janji ini Isnin lalu ketika bercakap kepada penduduk Sungai Buaya, Hulu Selangor dan disiarkan kemudiannya oleh media Umno sendiri.

Tetapi, hari ini beliau mengumumkan seorang penduduk Rawang dari bahagian Selayang, Selangor iaitu P Kamalanathan sebagai calon BN di Hulu Selangor.

“Hari itu (Isnin lalu) timbalan perdana menteri mengatakan anak tempatan... tapi hari ini orang luar dibawa masuk. Apakah ini bukan cakap bohong?

“Kalau mengatakan bahawa hendakkan anak tempatan, dan jika tidak mahu Datuk G. Palanivel juga, lebih baik pilih V. Mugilan atau Balasundram (naib ketua MIC Hulu Selangor,” kata Ketua Penerangan MIC Hulu Selangor Raily Muniandy ketika dihubungi laman web The Malaysian Insider.

Menurut beliau, MIC mempunyai ramai calon anak tempatan, yang berpelajaran. Tetapi mereka kesal kerana BN telah membawa calon dari luar iaitu dari Bahagian Selayang.

Kamalanathan, menurut beliau adalah calon yang pernah kalah dalam saingan merebut Ketua Pemuda MIC bahagian Selayang.

Sebelum ini, MIC Hulu Selangor menolak cadangan agar V. Mugilan, Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat diletakkan sebagai calon.

Muhyidin mengumumkan Kamalanathan (gambar atas), seorang ahli perhubungan awam sebagai calon BN di Bilik Gerakan BN Bukit Sentosa, Bukit Beruntung petang tadi.

“Kita memilih beliau kerana pengundi mahukan orang baru sebagai wakil rakyat.

“Beliau seorang yang kuat bekerja, lurus dah seorang yang pegang janji,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan Kamalanathan sebagai calon BN.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat mengumumkan calonnya dari PKR, Datuk Zaid Ibrahim akan diletakkan bertanding untuk pilihan raya kecil ini.

Tuesday, April 13, 2010

PRK P94 : ZAHID IBRAHIM CALON PAKATAN RAKYAT

HULU SELANGOR, 13 April: Datuk Zaid Ibrahim (gambar) yang dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mewakili Pakatan Rakyat adalah tokoh yang telah teruji, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Mana ada menteri Umno yang sanggup letak jawatan untuk pertahankan hak rakyat,” ujarnya yang mengumumkan Zaid sebagai calon PR dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Pengumuman itu dibuat pada jam 11.00 malam ini di hadapan kira-kira 5,000 orang yang memenuhi Dewan Komuniti Serendah dan pekarangannya.

Zaid yang berucap selepas diberikan laluan oleh Anwar berkata, beliau menyedari dan menginsafi amanah yang dipikul itu sangat berat.

“(Tuan Guru) Nik Aziz sewaktu bercakap dengan saya minta kita semua bekerja untuk umat. Saya bukan asing di Selangor, saya tahu masalah orang Selangor, saya tahu masalah orang Hulu Selangor. “Saya boleh menjadi suara untuk semua rakyat di sini,” ujarnya.

Berucap sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon PR yang ditonjolkan PKR itu.

“Saya mengarahkan seluruh jentera PAS seluruh kawasan Hulu Selangor turun padang dan bekerja keras. Calon yang dipilih adalah yang terbaik untuk bawa suara rakyat ke parlimen. “Pilihan raya kecil ini medan rakyat untuk tegur kerajaan, rakyat perlu jadi hakim,” ujarnya.

Zaid yang dilahirkan pada 10 April 1951 di Kota Bharu adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas kapasiti senator yang pernah mencetuskan kontroversi apabila bertindak melepaskan jawatannya pada 15 September 2008 selepas beberapa bulan saja dilantik sebagai menteri ekoran tidak dapat menerima penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pengamal media, orang awam dan ahli politik.

Dalam memperjuangkan isu-isu seperti ISA, Zaid di antara tokoh pemimpin Umno yang paling berani apabila mengirim surat terbuka kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Badawi di samping mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan akta tersebut.

Pada 3 Disember 2008, beliau dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakannya termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang dan menyalahi peraturan parti.

Antaranya dilaporkan pernah menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam. Justeru Zaid menyertai PKR di Bangi, Selangor pada 13 Jun 2009.

Sehubungan itu, Anwar menyifatkan Zaid sebagai serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia dalam memperjuangkan isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman.

Sepanjang penglibatan Zaid bersama PKR, beliau dilihat sebagai tokoh amat komited dalam usaha merangka dasar bersama PR sehingga berjaya merapatkan lagi jurang pakatan yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.

Friday, April 2, 2010

MEB: PAS bantah hapus kuota Bumiputera, bukan Bumiputera

KUALA LUMPUR,(hrkh) 2 April: PAS menolak sebarang usaha untuk menafikan kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera yang jelas menghina kedaulatan negara dan seluruh warga negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad terkejut dengan pendedahan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz yang mengakui bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin akan menghapuskan kuota pemilikan termasuk Bumiputera.

Tambahnya, tahun lepas Perdana Menteri mengumumkan Dasar Liberalisasi Ekonomi negara di mana kerajaan menurunkan pegangan ekuiti Bumiputera daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus dan menurunkan ekuiti bukan Bumiputera daripada 25 peratus kepada 12.5 peratus.

Seterusnya, kata beliau pegangan ekuiti asing telah ditingkatkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus, serta pemansuhan FIC dan Penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) manakala nilai hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing pula ditingkatkan daripada RM250,000 kepada RM500,000.

“Dengan pendedahan Pengerusi MPEN itu, bermakna kuota 12.5 peratus Bumiputera dan bukan Bumiputera akan terhapus sama sekali. Secara ekonominya, saham-saham syarikat di Malaysia sudah boleh dimiliki oleh pelabur asing 100 peratus,” ujarnya.

PAS, katanya menganggap MEB adalah dasar yang jelas menindas rakyat dan akan menyebabkan rakyat di negara ini akan menjadi 'hamba' yang bekerja keras untuk kepentingan individu dan pelabur asing di masa hadapan.

Baginya, pengkhianatan Umno/BN yang menghapuskan kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera itu tidak boleh dimaaf.

“PAS mencabar ahli Umno dalam Perkasa untuk bangkit menentang dasar ini dan mengembalikan hak Bumiputera dan rakyat bukan Bumiputera di negara ini untuk menguasai kuota 30 peratus dan 25 peratus,” ujarnya lagi.

Tegasnya, PAS yakin kalau perkara penghapusan kuota Bumiputera itu disuarakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat maka akan berlakulah demonstrasi jalanan oleh abdi Umno dari kalangan NGO dan pembodek Umno.

“Tetapi apabila yang mengeluarkan idea ini tuan kepada hamba-hamba moden di negara ini, maka suara mufti Umno dan profesor Umno macam cicak makan kapur.

“PAS yakin bahawa keputusan ini banyak dipengaruhi oleh beberapa pihak lain yang dilantik sebagai perunding atau penasihat Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, tidak mustahil syarikat-syarikat yang dikuasai Yahudi akan masuk ke negara ini melalui proksi mereka dan mengambil alih aset-aset penting negara seperti Pos Malaysia yang sedang dalam proses penjualan sekarang.

Katanya lagi, jelas dasar yang tidak dibentang di Parlimen itu juga adalah satu dasar yang dipaksakan kepada rakyat dan membelakangi mandat rakyat.

Beliau berkata, seharusnya dasar sepenting itu dibentang di Parlimen kerana rakyat mahu tahu kerangka nasional yang ada dalam dasar itu.

“Umno/BN dilihat sedang menjual negara dan hilang semangat patriotisme melalui dasar yang menafikan kepentingan rakyat di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Malaysia tidak kekurangan pelabur dan pemodal tempatan, seharusnya kuota itu dikekalkan bagi memberikan peluang kepada mereka agar tidak melabur di luar negara.