Tuesday, January 5, 2010

MB Kecewa Dewan Bedah Tiga Hospital Terengganu Lambat Siap

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kecewa dengan keadaan hampir kesemua dewan bedah di hospital di Terengganu yang tidak dapat beroperasi seperti dijadualkan.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja merugikan kerajaan daripada segi kos tetapi turut merisikokan nyawa pesakit.

"Hampir semua dewan bedah hospital di negeri ini gagal... dewan bedah Hospital Besut hampir enam tahun, Hospital Kemaman tiga empat tahun, dewan bedah Hospital Setiu dah masuk tujuh tahun... teruk, rakyat marah kerajaan.

"Bukan sahaja kita rugi daripada segi kos, tapi ia juga melibatkan soal nyawa, pakar bedah pun kecewa sebab tak boleh nak buat kerja," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Peralatan Tomografi Berkomputer Multislice (MSCT) kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.

Katanya, kebanyakan masalah yang dihadapi oleh dewan bedah hospital di negeri ini hampir sama iaitu masalah hama dan kebocoran.

"Saya kecewa dengan apa yang berlaku, kalau sekali berlaku tak mengapalah, tetapi berulang kali, semua hospital mengalami masalah hampir sama," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertanggungjawab dalam pembinaan dan membaik pulih dewan bedah berkenaan mengambil perhatian dan tindakan segara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebuah institut jantung akan diwujudkan di Kijal, Kemaman membabitkan kos RM27 juta.

Ahmad berkata, kerajaan negeri telah membeli resort Strawberry Park Kijal untuk dijadikan institut tersebut dan kerja-kerja mengubahsuai akan dijalankan segera.

Sementara itu, Terengganu mencipta sejarah menjadi negeri pertama di Asia Tenggara menggunakan mesin MSCT. Mesin berharga RM5.7 juta itu merupakan mesin pemeriksaan menggunakan sinaran x-ray yang dapat menghasilkan imej radiografi digital struktur dalaman badan pesakit dengan pantas dan berupaya mengesan sebarang penyakit dengan lebih terperinci dan tepat.

Ia dapat menghasilkan 64 imej pada setiap imbasan dan dapat ditingkatkan keupayaannya kepada 128 imej. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment