Sunday, June 13, 2010

PAS tukar nama? PAS jaga semua kaum - Ustaz Nasaruddin Mat Isa

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Haji Nasaruddin Mat Isa dalam reaksi kepada laporan media yang mengatakan PAS perlu menukar nama kerana sudah hilang prinsip apabila membenarkan bukan Islam bertanding atas tiket PAS berkata,

"Melalui keputusan majlis syura ulama', PAS telah menubuhkan DHPP, Dewan Himpunan Penyokong PAS Hakikat sebenarnya, PAS bukanlah berjuang untuk satu kaum sahaja dan ini merupakan salah satu uslub dakwah kepada bukan Islam," jelasnya memberitahu pastinya isu itu akan dimainkan Umno hingga ke PRU 13 nanti.

Mengenai persoalan kepada perjuangan isu-isu bukan Islam di dalam Parlimen yang dibangkitkan oleh DHPP, ahli-ahli parlimen PAS sudahpun melaksanakannya dan akan terus mempergiatkan perbahasan di peringkat Parlimen lebih-lebih lagi perbahasan Rancangan Malaysia ke-10, RMK10.

"Ini kerana RMK10 banyak menimbulkan kekeliruan yang mana akhlak dan masa depan iaitu modal insan tidak disentuh," ujarnya.

PAS juga banyak memainkan peranan di peringkat antarabangsa terutamanya isu Palestin, Mindanao, Selatan Thailand yang mana ada yang diumumkan dan ada yang tidak.

"PAS yang juga telah dijemput oleh dua buah negara di Timur Tengah yang dipengerusikan Yusoff al-Qardawi jelas menunjukkan PAS adalah satu entiti yang berkaliber dan dihormati di peringkat antarabangsa," katanya.

Wakil parti di Iraq juga katanya kagum akan PAS yang dapat bergerak dan berkembang sehingga menjadi perhatian antarabangsa.

Beliau juga turut menegaskan agar setiap negeri segera mengaktifkan majlis mesyuarat Pakatan Rakyat peringkat negeri yang telah ditubuhkan bagi melancarkan lagi kerjasama dan gerak kerja Pakatan Rakyat.

Selain itu, sempena bulan Rejab ini, beliau mencadangkan kepada negeri yang diperintah PAS dan Pakatan Rakyat, semua peringkat cawangan dan negeri melaksanakan program menghayati dan menghidupkan sirah Israk Mikraj bagi memperingati Gaza.

Beliau sebelum itu merakamkan ucapan tahniah kepada semua perwakilan yang mengambil bahagian dalam muktamar tahunan PAS Kali Ke 56. Segala pandangan, pendapat dan kritikan yang dilontarkan oleh sidang muktamirin tidak lain tidak bukan tanda kasih sayang dan prihatin kepada parti.

No comments:

Post a Comment